Popular Posts

Sunday 27 March 2011

Apakah Permainan Matematik? Mengapa Perlu Permainan Matematik? by Laily

Permainan matematik boleh dikatakan sebagai suatu aktiviti yang melibatkan seorang atau lebih daripada seorang pemain, mempunyai peraturan-peraturan tertentu, memerlukan pemain memikir tentang strategi-strategi tertentu untuk menguasai permainan, disusun berasaskan kepada prinsip matematik dan direka serta dipersembahkan dengan gaya, lakaran, warna serta corak yang menarik. Apa yang lebih penting dalam setiap permainan matematik terdapat kemahiran tersirat dan apabila dimainkan ia dapat membantu murid dalam pembelajaran matematik itu sendiri.
Ada masanya mata pelajaran matematik dianggap suatu pelajaran yang sukar dan membosankan oleh murid apabila guru gagal memilih kaedah atau teknik pengajaran yang menarik dan dapat menarik minat pelajar belajar dan memahami sesuatu konsep matematik yang hendak diajar. Teknik pengajaran boleh dipelbagaikan melalui pelbagai kaedah termasuklah dengan kaedah permainan matematik.
Terdapat pelbagai jenis permainan dalam matematik iaitu (1) permainan yang melibatkan nombor, (2) permainan yang melibatkan geometri, (3) permainan bersifat inferential games, (4) permainan yang berasaskan komputer dan (5) permainan yang melibatkan rekreasi matematik seperti kembara matematik, pentas matematik, buru matematik dan sebagainya. Permainan matematik itu sendiri diwujudkan dalam pelbagai situasi sama ada untuk dimainkan bagi tujuan menimbulkan keseronokan di samping membina konsep mahupun permainan matematik yang diolah untuk mewujudkan persaingan dan ada pula pemenangnya. Namun apa pun bentuk permainan matematik itu, asas permainan matematik adalah bertujuan untuk meningkatkan motivasi dan menarik minat pelajar dalam mata pelajaran matematik itu sendiri. Ini disokong oleh Jonassen (1996) yang menyatakan murid mempunyai motivasi yang tinggi untuk belajar apabila mereka dilibatkan dengan permainan matematik.
Teori Pembelajaran Kognitif Piaget (1952) menyatakan bahawa perkembangan kognitif kanak-kanak adalah berbeza-beza dan berubah-ubah melalui empat peringkat mengikut umur di mana pada umur 7 hingga 11 tahun murid-murid berada pada peringkat operasi konkrit. Murid pada peringkat ini berupaya untuk berfikir secara logik tetapi masih terbatas kepada sesuatu yang bersifat nyata. Sehubungan itu, aktiviti pembelajaran pada peringkat ini masih bergantung kepada objek maujud dan menggunakan ‘hand-on material’. Memandangkan permainan matematik menyediakan bahan maujud dan bersifat ‘hand-on material’ maka permainan matematik merupakan salah satu bahan bantu yang dapat merangsang perkembangan kognitif dan meningkatkan pemahaman murid dalam pembelajaran mereka. Justeru itu, permainan matematik dilihat mampu membina daya kreativiti yang tinggi dalam kalangan murid memandangkan dalam permainan matematik yang dibina memerlukan murid berfikir bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.
Malah bukan itu sahaja, menurut Arsmah dan rakan-rakan (2005) menyatakan bahawa permainan matematik juga dapat menangani sikap dan persepsi negatif murid terhadap mata pelajaran matematik. Sekiranya sebelum ini murid menganggap matematik adalah mata pelajaran yang membosankan, menyusahkan, memerlukan penghafalan, memerlukan tumpuan yang serius dan pelbagai lagi tanggapan negatif lain maka dengan menggunakan permainan matematik dalam proses pengajaran dan pembelajaran matematik serta melibatkan murid secara langsung dalam permainan matematik murid dapat mempelajari sesuatu konsep secara tidak langsung. Unsur-unsur hiburan dan keseronokan yang dimasukkan dalam permainan ini juga akan merangsang murid untuk menyelesaikan masalah yang diberi tanpa menyedari bahawa mereka perlu mengaplikasikan konsep-konsep atau kemahiran-kemahiran yang telah dipelajarinya terlebih dahulu. Dengan ini permainan matematik itu telah membantu pelajar menggunakan kemahiran matematik yang mereka ada untuk menyelesaikan masalah. Sebab itu, tidak mustahil permainan matematik mampu mengubah sikap dan persepsi negatif murid terhadap mata pelajaran matematik.
Permainan matematik melalui komputer pula melibatkan aktiviti permainan berbentuk pertandingan di mana murid dikehendaki membuat keputusan, mengikut arahan dan peraturan di samping terdapat  juga unsur-unsur hiburan dan keseronokan di dalamnya. Secara tidak langsung aktiviti dalam permainan matematik bentuk ini akan dapat memperkembangkan kemahiran mental, logik, pengetahuan dan penyelesaian masalah dalam kalangan murid yang terlibat. Murid juga akan mempunyai motivasi yang tinggi untuk menjadi juara. Pengajaran Matematik yang menggunakan kaedah permainan matematik secara komputer ini juga dapat menarik minat murid. Murid-murid juga akan merasa lebih seronok dan gembira kerana dilampirkan dengan pelbagai bentuk grafik yang menarik. Oleh itu, melalui kaedah permainan matematik ini juga dapat membantu pelajar mencapai kemahiran yang sepatutnya mereka pelajari pada hari itu dengan lebih mudah.

Rekreasi matematik pula merupakan permainan yang menyiasat matematik di mana murid perlu menggunakan pelbagai bahan seperti kertas, pencungkil gigi, mancis, tangram dan bermacam lagi untuk menyelesaikan masalah yang diberi. Aktiviti dapat membuka minda pelajar, memberi suatu idea baru dan menyedarkan mereka bahawa penyelesaian matematik tidak hanya bergantung kepada formula matematik semata-mata tetapi masalah matematik boleh juga diselesaikan dalam pelbagai cara dan keadaan termasuklah semasa beriadah berorentasikan matematik.

Seterusnya melalui aktiviti pentas matematik murid boleh menunjukkan bakat mereka menggunakan seberapa banyak istilah atau konsep matematik yang mereka tahu dalam mana-mana tajuk matematik. Melalui aktiviti ini guru dapat mengesan sama ada murid memahami konsep apabila mereka menggunakan istilah pada tempat yang sepatutnya. Selain daripada itu,  melalui persembahan ini juga dapat membantu murid lain yang menjadi penonton untuk sama-sama menambah atau mengukuhkan pemahaman konsep dan penggunaan istilah di tempat yang sesuai dalam matematik. Selain ia dapat menimbulkan keseronokan dengan gelagat kawan-kawan yang membuat persembahan dengan jalan cerita yang menarik.

Semua aktiviti yang boleh dibuat dalam permainan matematik ini secara tidak langsung akan mengurangkan kebimbangan dalam kalangan murid terhadap mata pelajaran matematik. Permainan matematik menjadi bukti bahawa matematik bukanlah satu mata pelajaran yang sukar dan susah untuk dipelajari. Ia juga bukan mata pelajaran yang memerlukan latihan dan latih tubi yang berterusan, bukan juga bersifat hafalan serta menuntut murid agar sangat fokus semasa sesi pembelajaran dijalankan. Sebaliknya melalui aktiviti permainan matematik murid boleh meneroka, memahami matematik dengan cara yang mereka boleh pilih sendiri walaupun masih dibantu oleh guru.     

Sebagai kesimpulannya jika dilihat kepada pendapat Withall (1991) yang menyatakan bahawa “skills are not acquired by drill and rote memorization but by activities that the learners, with the aid of educator, employ to serve their interests and need” , tidak keterlaluan jika dikatakana di sini bahawa guru matematik perlu bijak memilih kaedah dan bahan pembelajaran mereka agar dapat menarik minat serta mampu memenuhi kehendak murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran matematik. Dengan itu, jelaslah di sini bahawa permainan matematik mampu menyelesaikan banyak masalah yang dialami oleh murid seperti di atas.

No comments:

Post a Comment