Popular Posts

Monday 28 March 2011

Huraikan faktor-faktor sikap murid terhadap mata pelajaran Matematik

by Wana

1.0       Pengenalan
Pembentukan sikap yang positif terhadap pembelajaran matematik adalah satu matlamat dan harapan yang akan memastikan keberkesanan pembelajaran matematik seterusnya membentuk generasi akan datang yang mempunyai pemikiran mantik, analisis, bersistem dan kritis, berkemampuan menyelesaikan masalah kompleks dan mempunyai kebolehan menggunakan pengetahuan matematik. Ini semua akan dapat membantu individu tersebut berfungsi dalam kehidupan seharian yang berkesan dan bertanggungjawab, serta menghargai kepentingan dan keindahan matematik.

Tumpuan utama pendidikan matematik adalah untuk membentuk sikap pelajar yang positif dan melibatkan diri dengan aktif dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran matematik. Guru mempunyai pengaruh yang amat besar dalam membentuk sikap pelajar terhadap matematik. Guru seterusnya berperanan mencari jalan bagaimana pengajaran mata pelajaran matematik ini dapat berjalan lancar di sekolah disamping berusaha membentuk sikap yang positif terhadap mata pelajaran matematik.


2.0       Faktor-faktor sikap terhadap mata pelajaran Matematik

Matematik dikatakan suatu subjek yang sangat kompleks dan memerlukan bahan atau kaedah yang khas untuk mempelajarinya. Matematik juga sering dikaitkan sebagai subjek yang mempunyai taraf dan jenis pembelajaran yang tinggi. Isi kandungannya juga adalah sangat berturutan dan berhirarki iaitu melibatkan proses mental yang tinggi dan perlu memenuhi tuntutan kognitif iaitu berfikir secara analisis, rasional, logik, berupaya membuat penaakulan dan mahir dalam menyelesaikan sebarang masalah .

Oleh itu, terdapat faktor-faktor sikap yang mempunyai kaitan rapat terhadap mata pelajaran matematik. Faktor-faktor tersebut terdiri daripada faktor dalaman dan faktor luaran.

2.1       Faktor Dalaman

Faktor dalaman ini adalah berkait rapat dengan minat dan sikap atau kecenderungan pelajar itu sendiri. Antara sikap-sikap negatif atau faktor-faktor yang ada pada para pelajar ialah kurang minat terhadap matematik. Ramai di antara pelajar yang tidak suka membuat latihan matematik sedangkan dalam mata pelajaran matematik, latihan atau latih tubi adalah amat penting. Sesetengahnya pula belajar dengan cara yang mudah, hanya membaca tanpa membuat sebarang catatan atau rumusan. Malah terdapat pelajar yang kurang kemahiran dalam mendengar, ini menyumbang kepada masalah dalam pembelajaran matematik. Selain itu, terdapat juga pelajar yang mempelajari Matematik dengan cara menghafal tanpa memahami konsep dan kemudian meluahkannya dalam peperiksaan. Pelajar juga tidak memastikan kefahaman yang sepenuhnya sebelum mempelajari topik yang seterusnya. Mereka juga kurang teliti atau lalai dari segi pengiraan atau tulisan. Pelajar yang tidak menguasai kemahiran matematik juga tidak mahu menggunakan bahan bantu dalam pelajaran seperti penggunaan buku-buku rujukan selain daripada buku teks, mereka juga enggan ke perpustakaan untuk mendapatkan bahan rujukan.

2.2       Faktor Luaran
Faktor-faktor luaran juga akan mempengaruhi pencapaian para pelajar dalam Matematik. Antara faktor-faktor tersebut ialah latar belakang pelajar, alat bantu yang digunakan, guru, ibu bapa dan keluarga, sosio-ekonomi, persekitaran dan media massa .
Latar belakang keluarga menjadi faktor sangat berperanan dalam membentuk sikap pelajar terhadap matematik. Pelajar yang datang dari keluarga yang berpendapatan tinggi mungkin telah didedahkan tentang peranan matematik dalam penghidupan mereka. Ibu bapa dan keluarga memainkan peranan dengan menyokong dan menasihati pelajar akan pentingnya matematik dalam menentukan kejayaan seseorang  di dalam pelajaran dan kehidupan.
Guru mempunyai peranan yang amat besar serta perlu mengenali dan memahami sikap pelajarnya terhadap mata pelajaran matematik. Sikap pelajar terhadap pelajaran sering dikaitkan dengan pencapaian pelajar dalam subjek tersebut. Gurulah yang  perlu menilai sikap pelajar mereka terhadap matematik. Keberkesanan pengajarannya pula bergantung kepada kaedah atau pendekatan yang digunakan dalam pengajaran. Guru yang tidak aktif (pasif) akan menzahirkan pembelajaran yang membosankan. Guru juga perlu pandai mempelbagaikan kaedah pengajaran supaya pelajar tidak cepat berasa bosan terhadap pelajaran terutamanya bagi subjek  Matematik yang memerlukan tumpuan sepenuhnya daripada pelajar. Guru juga harus memberi galakan dan semangat kepada pelajar supaya para pelajar akan berasa lebih yakin dan percaya kepada kebolehan diri sendiri. Jika tidak, sudah tentu para pelajar akan mudah berputus asa dan mudah mengalah. Ini akan menyebabkan prestasi mereka terutamanya dalam subjek Matematik tidak begitu memberangsangkan.
Suasana persekitaran juga mempengaruhi pembelajaran kerana suasana atau keadaan persekitaran yang nyaman dan tenteram akan membolehkan pelajar untuk belajar dengan lebih tenang dan fokus. Sebaliknya jika persekitaran di sekelilingnya agak bising dan sibuk maka pembelajaran para pelajar akan terganggu.
3.0       Kesimpulan
Sikap mempunyai pengaruh yang besar terhadap kejayaan serta kecemerlangan seseorang pelajar di dalam mata pelajaran matematik. Oleh itu, pemupukan sikap yang positif adalah amat penting dan ini akan meningkatkan peratusan pelajar yang dan lulus dan mahir di dalam mata pelajaran ini.

No comments:

Post a Comment