Popular Posts

Monday 16 May 2011

5 Kaedah Kenaikan Pangkat Dalam Kalangan Guru

by Norlaily Abdul Rahman on Monday, May 16, 2011 at 9:42pm
Isnin, 16 Mei 2011
Guru akan nikmati 5 kaedah kenaikan pangkat: PM
2011/05/16
KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini mengumumkan berita baik buat warga pendidik yang akan menikmati lima kaedah kenaikan pangkat berkuat kuasa 1 Januari depan, dalam usaha menambahbaik skim perkhidmatan guru.

Dalam perutusan khas Hari Guru melalui rakaman video yang ditayangkan sempena pelancaran sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan Ke-40 di sini, beliau berkata kerajaan memutuskan sedemikian kerana menyedari bebanan tugas dan pengorbanan yang dibuat guru.

Pelancaran sambutan Hari Guru bertema "Guru Penjana Transfromasi Pendidikan Negara" itu di rasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pendidikan.

Perkhidmatan perguruan adalah satu-satunya perkhidmatan yang diperuntukkan dengan lima kaedah kenaikan pangkat iaitu kenaikan pangkat mengisi kekosongan jawatan, kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP), kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan, kenaikan pangkat untuk pengetua atau guru besar cemerlang dan kenaikan pangkat guru cemerlang.

Najib berkata, sebagai kesinambungan kepada keperluan transformasi kecemerlangan dalam perkhidmatan berkenaan dan dalam memartabatkan profesion keguruan di samping mengambil kira keunikan fungsi tugas guru, kaedah kenaikan pangkat khususnya berdasarkan tempoh perkhidmatan perlu diberi nafas baru.

"Kerajaan mendapati sekarang ini, majoriti guru yang bertungkus lumus di bilik darjah hanya akan mengakhiri perkhidmatan mereka cuma pada Gred DG48 setelah sekian waktu menabur bakti selama 25 tahun," katanya.

Najib berkata, kini sampai masanya laluan kerjaya guru ditambah baik demi memastikan mereka yang membentuk modal insan negara diberi pengiktirafan dan ganjaran sewajarnya.
Katanya, kaedah baru kenaikan pangkat diperkenalkan khusus kepada guru yang terbabit dalam pengajaran dan pembelajaran (PDP) iaitu guru wibawa dan pendeta guru, yang akan dikategorikan mengikut empat lapisan jawatan pertamanya.

"Pewujudan lapisan tersebut, termasuk guru biasa, guru kanan, guru wibawa dan pendeta guru, akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan," katanya.

Melalui konsep guru wibawa dan pendeta guru itu, Najib berkata laluan kerjaya guru dalam PDP akan diperluaskan sehingga mencapai ke gred DG54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta lain-lain syarat yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan.

"Satu lagi berita baik bagi mereka yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka mutunya seperti ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan," katanya sambil menambah bahawa mereka boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara.

Najib berkata, guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas masih berpeluang untuk menikmati Pergerakan Gaji Tahunan.

Beliau berkata, kerajaan bersetuju menambahkan lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan pengajaran dan pembelajaran sebanyak seratus peratus dengan menambah sejumlah 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep guru wibawa dan pendeta guru.

"Kerajaan juga bersetuju untuk menaikkan gred jawatan semua pengetua sekolah menengah Gred DG48 ke gred DG52 yang membabitkan 1,228 jawatan sebagai membuktikan lagi kesungguhan kerajaan dalam memartabatkan profesion keguruan.

"Manakala semua guru penolong kanan (GPK) pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum sekolah menengah gred DG44 dinaikkan ke gred DG48, akan melibatkan 6,585 jawatan," katanya.

Najib berkata, semua GPK pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum di sekolah rendah kluster turut dinaikkan dari gred DGA32 ke gred DGA34 yang membabitkan sejumlah 99 jawatan.

"Hakikatnya, setiap seorang daripada kita tidak kiralah sama ada beliau seorang pemimpin, pentadbir, doktor, peguam, akauntan, jurutera, ahli sukan atau apa jua pun kerjayanya, terasuh dan dibimbing oleh insan yang bernama guru," katanya. - BERNAMA

Berita Harian Online: 16 Mei 2011

Saturday 14 May 2011

Selamat Hari Guru "Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara"

Guru Oh Guru

by Norlaily Abdul Rahman on Saturday, May 14, 2011 at 9:36am
BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Wednesday 11 May 2011

Ulasan Jurnal; Kesan Penyeliaan Pihak Pengurusan Terhadap Kecemerlangan Kerja Guru. By Laily


1.0          PENGENALAN
Perbincangan artikel adalah terhadap perkaitan antara kecemerlangan kerja guru dengan penyeliaan yang dijalankan oleh pihak pengurusan sekolah termasuklah Pengetua/Guru Besar dan Guru-guru Kanan yang telah diturunkan kuasa oleh Pengetua/Guru Besar.  Dewasa ini peranan guru dilihat sangat signifikan dalam membentuk generasi akan datang. Ini bermakna profesion perguruan yang berkualiti mampu menjana dan mengubah paradigma serta perilaku mereka. Sebab itu, profesion perguruan yang mantap dan berkesan perlu diwujudkan agar aspirasi untuk memartabatkan profesion ini menjadi kenyataan.
            Keperluan kepada tahap pendidikan berkualiti menuntut perubahan dalam kalangan guru. Sebab itu, guru seharusnya sedar akan hakikat tuntutan itu dan bersedia menyahut cabaran ke arah memartabatkan profesion keguruan di negara ini. Maka, di sinilah letaknya peranan dan kecemerlangan guru dalam memastikan kecemerlangan pelajar dalam sesebuah institusi pendidikan. Justeru itu, penyeliaan oleh pihak pengurusan sekolah amat perlu dalam memastikan kecemerlangan kerja guru secara berterusan.
Dengan adanya penyeliaan akan dapat membantu guru menyelaraskan aktiviti pengajaran dan merangsang guru untuk mencapai prestasi kerja yang cemerlang. Secara tidak langsung penyeliaan turut membantu guru membina kemahiran dalam perancangan pengajaran dan memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar. Hakikatnya menurut penulis, penyeliaan secara berterusan akan dapat meningkatkan kualiti pengajaran guru dan memperbaiki kelemahan guru dalam proses pengajaran.
    
2.0          PEMAHAMAN TERHADAP KONSEP PENYELIAAN
Sejarah perkembangan dan kesedaran tentang keperluan penyeliaan di Malaysia bermula hasil Laporan Pelajaran Tinggi di Malaya (1939), Laporan Bornes (1951) dan Laporan Razak (1956) yang menyarankan penubuhan Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan yang berfungsi sebagai badan professional yang bebas, bertanggungjawab memeriksa sekolah-sekolah dan menyelia pengajaran di seluruh negara  (Mak Soon Sang, 2006). Penyeliaan ketika itu  berfungsi sebagai pendekatan untuk memeriksa sekolah, memerhati aktiviti-aktiviti di sekolah dan pembelajaran (seksyen 96a Akta Pelajaran 1961). Secara ringkasnya fungsi penyeliaan ketika itu ialah ‘penyeliaan adalah pemeriksaan dan penyelia adalah pemeriksa.’
Namun demikian perubahan secara dinamik dalam sistem pendidikan di Malaysia kini telah mewujudkan suatu matlamat baru dalam pendidikan yakni ‘Pendidikan Berkualiti Untuk Semua’. Untuk mencapai matlamat tersebut Kementerian Pelajaran Malaysia telah menyarankan bahawa semua sekolah perlu menjadi sekolah berkesan. Menurut Mortimore (1995), sekolah berkesan dimaksudkan sebagai sekolah di mana murid-muridnya mencapai keputusan yang menyamai atau melampaui jangkaan. Antara ciri-ciri yang perlu ada pada sekolah berkesan menurut Mortimore (1995) ialah penumpuan terhadap pengajaran dan pembelajaran dan pemantauan kemajuan sekolah.
Selaras dengan pandangan Mortimore (1995), Penyeliaan pengajaran dilihat sebagai salah satu usaha penting dalam memantau keberkesanan pengajaran di sesebuah sekolah. Ini bertujuan memastikan guru-guru dapat memperkembangkan potensi diri dan mengatasi sebarang kekurangan sekiranya ada. Penyeliaan pengajaran yang dilihat sebagai usaha mendorong, menyelaras dan membimbing guru-guru dalam hal pengajaran supaya mereka terus mampu berfungsi sejajar dengan perkembangan semasa. Kenyataan ini disokong oleh Boardman, Douglas dan Bent (1953) dalam Ramaiah (1995) yang menyatakan bahawa penyeliaan sebagai satu usaha untuk mendorong dan membimbing guru dalam hal pengajaran supaya guru-guru lebih berupaya meningkatkan kebolehan guru-guru dalam mendorong dan membimbing perkembangan berterusan pelajar ke arah penyertaan cergas dan efektif.
Pemantauan dan penyeliaan yang sistematik adalah merupakan salah satu ciri penting yang perlu ada di sekolah berkesan. Pemantauan dan penyeliaan ini adalah untuk memastikan core business, pengajaran dan pembelajaran berjalan sebagaimana yang dirancang. Menurut Conrath N. (1983), tujuan pemantauan atau penyeliaan adalah untuk memperbaiki lagi mutu pengajaran. Untuk melaksanakan aktiviti ini dengan berkesan, pengetua atau penyelia seharusnya menguasai pengetahuan dan kemahiran teknikal khusus dalam bidang kurikulum pengajaran, pengesanan dan penilaian serta juga hubungan manusia. Kecekapan pengetua dalam melakukan penyeliaan atau pemantauan membolehkannya membuat diagnosis masalah pendidikan, membantu guru untuk memajukan kecekapan dan amalan mereka dalam melaksanakan pengajaran (Glickman, 1985).

3.0          TEORI KLINIKAL
Model Penyeliaan Klinikal adalah satu penyeliaan secara langsung yang boleh dilakukan oleh penyelia yang melibatkan pengetua atau guru besar bagi membantu menyelesaikan masalah pengajaran pembelajaran. Penyeliaan Klinikal hanya dapat dijalankan  sepenuhnya apabila mendapat kerjasama atau timbul persefahaman di antara kedua pihak yang boleh mencapai ke arah perubahan positif sepanjang proses penyeliaan berjalan.

 Model  Penyeliaan Klinikal amat mementingkan perkara-perkara yang telah dipersetujui antara penyelia dan guru untuk memperbaiki kelemahan, mempertingkatkan kemahiran  sedia ada melalui perbincangan dan maklumbalas berlandaskan kriteria-kriteria yang dipersetujui. Menurut Cogan (1973) dan Goldhammer (1969), model ini mengandungi program persendirian mengambilkira rupabentuk putaran kegiatan yang melibatkan lima langkah yang perlu diambil oleh penyelia dan guru iaitu; (1) Persidangan pra-pemerhatian (Pre Observing Planning Conference); (2) Pemerhatian di bilik darjah (Classroom Observation); (3) Analisis selepas pemerhatian (Post Observation Analysis); (4) Perbincangan selepas pemerhatian (Post Observation Conference); dan (5) Analisis selepas perbincangan (Post Conference Analysis).

Menurut Alimuddin Mohd Dom (2006:17), penyeliaan atau pemantauan klinikal ini dilaksanakan melalui empat peringkat :

a) Prapemantauan/penyeliaan
Sebelum penyeliaan/pemantauan dilakukan, pengetua atau guru besar akan mengadakan perbincangan dengan guru untuk melihat aspek-aspek yang berkaitan iaitu dari segi objektif, tajuk, pendekatan pengajaran dan jangkaan outcome yang akan dicapai melalui pengajaran yang akan dilaksanakan. Di samping itu latar belakang tahap kebolehan pelajar juga turut dibincangkan supaya penyeliaan/pemantauan mendapat gambaran awal.

b) Pemantauan/penyeliaan
Proses penyeliaan/pemantauan dilakukan di bilik darjah; guru besar/pengetua kebiasaannya akan duduk di suatu sudut belakang bilik darjah. Kaedah, teknik dan cara pengajaran guru dan pembelajaran pelajar menjadi fokus utama penyeliaan/pemantauan. Catatan akan dibuat semasa pemantauan iaitu menekankan dari segi kekuatan dan kelemahan guru. Pengetua dan guru besar hendaklah menurunkan keupayaan dan kebolehan diri mereka sesuai seperti seorang pelajar yang ada di bilik darjah berkenaan. Apa yang perlu dilihat ialah dari segi pengajaran, ilmu yang disampaikan, kejelasan suara, penggunaan alat bantu mengajar, kawalan bilik darjah, memahami apa yang disampaikan dan pelajar-pelajr mendapat pengetahuan serta kemahiran daripada pengajaran guru tersebut.

c) Analisis
Proses ini dilakukan oleh pengetua dan guru besar yang akan membuat refleksi dan merangka kesimpulan daripada proses pengajaran dan pembelajaran tersebut bersama guru. Catatkan segala kekuatan dan kelemahan yang ada pada diri guru, teknik penyampaian, ilmu yang disampaikan, penerimaan pelajar dan jangkaan yang ingin dicapai. Penggunaan alat video dan perakan kadang-kadang boleh membantu dalam membuat sesuatu analisis.

d) Pascapemantauan/penyeliaan
Pengetua/guru besar dan guru bertemu bagi membincangkan analisis yang telah dibuat dan memberikan cadangan penambahbaikan yang perlu dilakukan. Pada peringkat ini, kekuatan dan kebolehan guru besar diperlukan bagi membimbing dan memandu anak buahnya. Guru-guru yang didapati mempunyai kelebihan dalam cara penyampaian dan pengajaran boleh dijadikan sebagai penanda aras untuk menjadi contoh kepada guru lain terutama guru baru.

Seterusnya Alimuddin Mohd Dom (2006:59) menyatakan kaedah pengurusan dalam organisasi pembelajaran yang paling berkesan ialah melalui aktiviti penyeliaan/pemantauan dan pencerapan yang kerap dan selalu dilakukan oleh guru besar terhadap guru-gurunya. Dengan melihat dan menyelia/memantau sendiri pengajaran guru di bilik darjah akan memberi peluang kepada kepimpinan sekolah mengetahui tahap keupayaan dan kebolehan guru-guru serta memudahkannya mengambil tindakan penambahbaikan. Maklumat mengenai keupayaan dan kebolehan guru tersebut membolehkan guru besar menyediakan program yang sesuai bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka. Penyeliaan/pemantauan dan pencerapan hendaklah dijadikan amalan kebiasaan dan budaya di sekolah di mana guru besar serta guru-guru kanan terlibat secara langsung dalam aktiviti ini. Apabila aktiviti telah menjadi amalan dan budaya di sekolah, guru-guru tidak akan berasa bimbang dan mereka sentiasa bersedia untuk dipantau atau dicerap pada bila-bila masa.
4.0          AMALAN PENYELIAAN OLEH PENGETUA/GURU BESAR

Melalui SPK Bil. 3/1987, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menegaskan bahawa selain sebagai pemimpin profesinalisme, pengurus dan pentadbir, pengetua atau guru besar bertanggungjawab memastikan kejayaan pelaksanaan kurikulum di sekolahnya. Dengan kata lain pengetua atau guru besar bertanggungjawab memastikan proses di mana guru mengajar dan murid belajar terus berjalan di sekolahnya tanpa gangguan. Bagi memastikan matlamat ini terlaksana maka pengetua atau guru besar disaran menjadikan penyeliaan pengajaran pembelajaran terhadap guru menjadi perkara utama dalam senarai tugas dan tanggungjawab mereka.

            Penyeliaan yang dijalankan seharusnya dapat mewujudkan suasana yang sihat dan berkesan. Sehubungan dengan itu Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewujudkan suatu garis panduan bagi melaksanakan tugas penyeliaan dalam kelas. Penyeliaan pengajaran dan pembelajaran hendaklah difokuskan kepada dua bidang iaitu bidang organisasi dan bidang pengajaran dan pembelajaran. Ciri-ciri organisasi yang perlu diberi perhatian dalam bilik darjah ialah iklim bilik darjah itu sendiri meliputi organisasi bilik darjah, kawalan murid oleh guru, komunikasi, motivasi, sikap murid, kebersihan serta perhiasan, penyeliaan pekerja, penilaian prestasi, profil murid dan panitia mata pelajaran. Manakala bidang pengajaran dan pembelajaran pula meliputi rancangan pengajaran seperti objektif, isi kandungan, teknik bersoal jawab, interaksi guru murid dan pengurusan masa. Sekiranya semua perkara di atas diambil kira dan diberi perhatian oleh pengetua atau guru besar dalam proses penyeliaan mereka dan dilakukan secara berkala dan berterusan, sudah pastilah akan mempengaruhi kecemerlangan kerja guru.
           
            Perlu diingat amalan penyeliaan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah perlu dijalankan secara sistematik dan berlandaskan kepada hubungan profesionalisme dengan guru-guru dan bukan untuk mencari kesalahan guru. Amalan penyeliaan terhadap guru juga hendaklah bertujuan untuk meningkatkan perkembangan profesionalisme para guru. Di samping itu juga, amalan penyeliaan bertujuan untuk memperbaiki atau memajukan lagi kualiti pengajaran guru serta memperbaiki kelemahan mereka. Untuk berbuat demikian, adalah menjadi tanggungjawab pengetua atau guru besar sebagai pemimpin pengajaran menjalankan penyeliaan atau pencerapan bercorak klinikal, sokongan, membina sama ada secara formal atau tidak formal dan formatif.

            Sekiranya amalan penyeliaan terhadap guru dibuat secara sistematik dan bermakna, prestasi pengajaran dapat dipertingkatkan. Mengikut pendapat Neidermeyer (1987) pula, penyeliaan yang berfokus kepada pencapaian pelajar, iaitu hasilan yang telah ditetapkan dan dipersetujui bersama serta bukan berfokuskan kepada proses, boleh meningkatkan hasil pembelajaran. Justeru itu, kesan tingkah laku guru terhadap pengajaran dan pembelajaran dapat juga dipertingkatkan. Ini melibatkan kebolehan mengdiagnosis masalah pendidikan, membantu guru untuk memajukan kecekapan atau amalan mereka dalam melaksanakan pengajaran dan penyeliaan yang berkesan sama ada dalam bentuk umum atau klinikal. Menurut Martin ct. al. (1976) yang telah mengkaji keberkesanan penyeliaan, melaporkan bahawa guru yang terlibat dalam amalan penyeliaan berkaitan dengan matlamat (goal-related) telah mengubah tingkah laku mereka secara positif.  
           

5.0          PERUBAHAN ATAU INOVASI DALAM PENYELIDIKAN

Menurut hasil kajian penulis mendapati bahawa kecemerlangan kerja guru ada berkaitan dengan proses penyeliaan dan pencerapan yang dilakukan oleh pihak pengurusan sekolah. Oleh itu, kadar penyeliaan yang tinggi dapat meningkatkan lagi prestasi akademik di sekolah. Justeru, penyeliaan dan pencerapan oleh pihak pengurusan amat perlu dan ia perlu diteruskan serta dijalankan dengan telus dalam memastikan kecemerlangan kerja guru. Malah, penyeliaan dan pencerapan oleh pihak pengurusan akan dapat meningkatkan kualiti pengajaran guru dan memperbaiki kelemahan dalam proses pengajaran.

            Hasil kajian juga mendapati faktor latar belakang guru yang mempunyai kelulusan yang diiktiraf dari segi akademik dan kelulusan ikhtisas yang melayakkan mereka menyandang jawatan sebagai pendidik turut juga membantu ke arah kecemerlangan kerja guru. Di samping itu, pengalaman dan kemahiran dalam bidang tertentu turut membantu guru menguasai mata pelajaran yang diajar serta menarik minat pelajar untuk belajar. Namun jika penyeliaan yang berterusan oleh pihak pengurusan sekolah dilakukan, ia akan dapat membantu guru membina kemahiran dalam perancangan dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran serta menghadapi masalah pengajaran dan pembelajaran.

            Malah bukan itu sahaja, hasil kajian penulis juga mendapati walaupun guru sibuk terlibat dalam pelbagai aktiviti kokurikulum seperti persatuan, kelab, unit beruniform dan sukan serta permainan, tetapi guru tetap memberi keutamaan kepada akauntabiliti mereka iaitu pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Ini jelas menunjukkan bahawa kejayaan penyeliaan terhadap guru turut dipengaruhi oleh peranan pengetua atau guru besar dalam meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran serta memupuk nilai murni dan sikap positif dalam kalangan pelajar.

            Seterusnya juga, melalui hasil kajian didapati kecemerlangan hasil kerja guru dapat dipertingkatkan apabila guru menggunakan strategi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dan sentiasa membuat perancangan serta menguasai subjek pengajaran. Malah peranan penyeliaan oleh pihak pengurusan sekolah turut membantu meningkatkan kecemerlangan dan profesionalisme guru serta pelajar.

            Jika dilihat dalam hasil kajian Nazaruddin dan rakan-rakan (1992), mendapati guru-guru menjangkakan penyeliaan dapat membantu mereka untuk mengajar dengan lebih berkesan serta melicinkan tugas-tugas pengajaran. Jangkaan guru ini hanya akan dicapai jika pengetua atau guru besar  yang menjalankan penyeliaan mempunyai kepimpinan pengajaran yang tinggi dan memiliki pengetahuan serta kemahiran yang lebih baik daripada guru yang diselia.

            Namun demikian, menurut Radi (2007) sistem penyeliaan pengajaran dan pembelajaran yang diamalkan sekarang menimbulkan perasaan cemas dan resah dalam kalangan guru-guru. Penyeliaan oleh pengetua atau guru besar serta wakil yang diberi kuasa menurut Hashim (2000) bersifat hanya kadang-kadang menyelia di dalam bilik darjah dan menyemak buku rekod persediaan mengajar sahaja. Aspek meningkatkan profesionalisme guru kurang diberi penekanan. Menurut Ramaiah (1999), guru-guru dikatakan berasa ragu-ragu terhadap kebolehan, kemahiran dan kepakaran penyelia untuk melakukan penyeliaan tambahan pula persepsi guru yang penyeliaan adalah suatu penilaian terhadap prestasi kerja guru. Manakala pentadbiran sekolah menganggap penyeliaan satu perkara rutin sahaja.

            Sebab itu, beberapa cadangan penambahbaikan telah disarankan oleh Radi (2007) bagi mempertingkatkan kecekapan dan kemahiran penyelia-penyelia dalam melaksanakan tugas mereka. Kefahaman guru-guru dan murid-murid terhadap tujuan sebenar penyeliaan pengajaran dilakukan perlu ditingkatkan. Antara cadangan tersebut ialah (1) kualiti penyeliaan dalam kalangan penyelia perlu dipertingkatkan dengan memberikan pemahaman mendalam terhadap setiap peringkat proses penyeliaan secara klinikal seharusnya dilakukan; (2) konsep penyeliaan pengajaran harus benar-benar difahami oleh semua pihak yang terlibat; penyelia, guru dan pelajar bagi memastikan masing-masing dapat memainkan peranan ke arah mewujudkan satu sistem penyeliaan yang lebih sistematik dan berjaya; (3) penyelia harus benar-benar faham keseluruhan konsep dan proses penyeliaan untuk disampaikan kepada guru-guru; (4) program penyeliaan berjadual perlu diberi perhatian serius dan dilaksanakan secara berterusan bagi mengelakkan unsur bias dalam penyeliaan; (5) penyelia juga perlu bersifat sebagai pemimpin pengajaran di mana beliau perlu mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang apa yang hendak diselia agar dapat dijadikan sebagai pakar rujuk oleh guru-guru; dan (6) penggunaan instrument bagi merekod hasil penyeliaan perlu dikaji semula. Angka atau skor yang tercatat dalam boring pelaporan penyeliaan akan dilihat sebagai satu [enilaian atau pengredab dalam kalangan guru-guru. Keadaan ini menimbulkan tanggapan yang kurang selesa. Bagi tujuan itu instrument yang bersifat lebih terbuka dan mesra guru perlulah digunapakai.

6.0       KESIMPULAN

Tanggungjawab utama pengetua atau guru besar sebagai pengurus kurukulum adalah menjamin proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar dan berkesan. Pelbagai kaedah dan pendekatan yang sistematik digunakan untuk mencapai matlamat tersebut. Daripada menyemak buku rekod mengajar, buku latihan murid sehinggalah kepada penyeliaan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Pelaksanaan proses penyeliaan ini telah ditegaskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia melalui SPK Bil. 3/1987. Walaupun pelbagai model atau pendekatan penyeliaan bebas digunapakai oleh pengetua atau guru besar, namun jika dilihat kepada objektif penyeliaan yang disarankan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sebagaimana yang disebut dalam kerangka kajian, maka pendekatan klinikal dilihat paling relevan.

Maka, secara keseluruhan daripada dapatan kajian penulis bolehlah disimpulkan bahawa penyeliaan merupakan satu daripada tugas rutin dalam bidang kurikulum yang dilaksanakan di sekolah. Penyeliaan pengajaran yang dijalankan secara bersama dengan guru ialah kunci kepada keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah dan sekolah. Ini berdasarkan hakikat bahawa guru yang terlibat dalam amalan penyeliaan berkaitan dengan matlamat biasanya akan mengubah tingkah laku mereka secara positif. Dalam konteks ini, penyeliaan pihak pengurusan terhadap pihak yang diselia iaitu guru merupakan satu usaha ke arah meningkatkan kebolehan warga pendidik menghadapi cabaran dunia pendidikan dalam era globalisasi.


BIBLIOGRAFI

Alimuddin Mohd Dom (2006). Kepimpinan instruktional : Peranan pengetua dan guru
besar dalam meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Putrajaya : Sektor Penaziran Kepimpinan Institusi Pendidikan.

Faridah dan rakan-rakan (2005). Kesan penyeliaan pihak pengurusan terhadap kecemerlangan kerja guru di SM Teknik, Kluang. Seminar Pendidikan, Fakulti Pendidikan; Universiti Teknologi Malaysia.

Nor Ashikin Dr. dan Azizan (2006). Organisasi pembelajaran sebagai satu faktor keberkesanan sekolah. Kajian Kes.

Radi Yahya (2007). Amalan penyeliaan pengajaran terhadap guru-guru sains di sekolah menengah daerah Muar, Johor. Tesis; Universiti Teknologi Malaysia.

Ramiah (1986). Penyeliaan kIinikal satu pendekatan terhadap pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kertas Kerja Persidangan Tahunan Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan: RECSAM  Pulau Pinang, 9 hingga 19 November, 1986.

Monday 9 May 2011

Teman...Sahabat....Kawan...

Apakah kefahaman kita tentang teman, sahabat dan kawan? Mari kita bincangkannya di sini...

Friday 6 May 2011

ASPEK PERUNDANGAN DI SEKOLAH by; Laily, Sri n Wana

1.0  PENGENALAN
Aspek kecuaian guru berpunca daripada konsep tanggungjawab berjaga-jaga dari segi undang-undang yang dipertanggungjawabkan kepada guru. Guru mempunyai kewajipan berjaga-jaga untuk mengambil tindakan yang munasabah bagi memelihara keselamatan pelajar di bawah pengawasan mereka. Kewajipan ini melibatkan semua pelajar tanpa mengira di mana pelajar itu berada, misalnya di padang permainan, bilik guru, perpustakaan, tapak perhimpunan ataupun dalam aktiviti di luar kawasan sekolah. Guru sering terdedah kepada ancaman dakwaan terutamanya apabila pelajar mengalami kecederaan dalam kemalangan sewaktu menjalankan aktiviti sekolah. Guru terpaksa membayar denda dalam bentuk ganti rugi jika mahkamah memutuskan wujud liabiliti guru dalam sesuatu keadaan. Biasanya ganti rugi dibayar kepada ibu bapa pelajar berkenaan (Mohd Ismail Othman, 2008).

 Kecuaian guru biasanya dikaitkan dengan  kemalangan dan kecederaan fizikal yang menimpa pelajar. Kecuaian guru hanya akan dapat dibuktikan di mahkamah sekiranya empat elemen penting boleh dibuktikan oleh pihak pendakwa. Empat elemen penting itu ialah (1) wujud elemen kewajipan berjaga-jaga; (2) kewajipan itu dilanggar; (3) akibat pelanggaran kewajipan tersebut; dan (4) terdapat hubungan rapat antara tingkah laku defenden dengan kecederaan yang dialami oleh plaintif (Tie, 2002).
Pihak pentadbir dan guru sekolah memegang tanggungjawab sebagai ‘ibu bapa yang baik dan munasabah’. Istilah ‘in loco parentis’ digunakan untuk menghuraikan peranan dan tanggungjawab tersebut. Mereka dikehendaki mengambil langkah yang sesuai untuk menjaga keselamatan pelajar yang berada di bawah jagaan dan kawalan mereka (Tie, 2002). Oleh itu, guru berkewajipan menyediakan penyeliaan yang munasabah terhadap pelajar ketika mereka berada di sekolah dan ketika menjalani aktiviti di luar sekolah seperti aktiviti perkhemahan, lawatan, kem motivasi dan perkhelahan. Menurut Tie (2002) tahap kewajipan berjaga-jaga ditentukan oleh beberapa faktor seperti umur, pengalaman dan tingkah laku lepas pelajar. Tahap kewajipan berjaga-jaga adalah tinggi apabila pelajar keluar dari persekitaran sekolah yang selamat ke persekitaran luar yang terdedah dengan pelbagai risiko.
Kecuaian hanya akan dijadikan isu utama oleh ibu bapa dan penjaga untuk mengemukakan saman terhadap guru dan pihak sekolah. Dalam kes saman menyaman, biasanya guru akan dijadikan sebagai defendan utama dalam kes yang dibawa oleh ibu bapa plaintif, pengetua atau Guru Besar sebagai defendan kedua dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan ketiga (Tie, 2004). Keadaan ini memerlukan semua pihak yang berada di dalam sesebuah sekolah terutamanya pengurus sekolah peka dengan peraturan-peraturan, akta dan pekeliling-pekeliling dari pihak Kementerian Pelajaran Malaysia untuk tujuan perlindungan.

2.0  OBJEKTIF KAJIAN
Pada akhir kajian kes ini diharapkan kami akan dapat;
i.      Mengetahui dan mengenalpasti Undang-Undang yang berkaitan dengan aktiviti kokurikulum.
ii.             Mengetahui Undang-undang yang berkaitan dengan kes kecuaian guru dan sekolah.
iii.            Mengetahui langkah-langkah pencegahan dan pengurusan risiko yang betul.
iv.            Merangka perancangan yang wajar apabila mengadakan aktiviti kokurikulum.
v.     Menganalisis implikasi-implikasi yang akan timbul sekiranya berlaku kecuaian di pihak guru dan sekolah.

3.0  FAKTA KES

MALANG TIDAK BERBAU
Tn. Hj. Salleh b Idris (Lampiran 1), Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kerayong, Daerah Hulu Selangor memikirkan satu Program Kem Motivasi dan Pemantapan Diri khusus bagi pelajar tahun enam yang akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (bulan September). Kem ini perlu diadakan segera pada masa cuti sebelum peperiksaan UPSR. Beliau telah mengarahkan Pn. Azrinah selaku guru bimbingan dan kaunseling (Lampiran 1) agar merancang kem tersebut secepat mungkin. Beliau amat berharap kem itu diadakan lebih awal berbanding pada tahun yang lepas. Satu mesyuarat khas telah diadakan bersama PK HEM (Lampiran 1), Penyelaras Program serta guru-guru tahun 6 yang lain.

Mesyuarat Khas Kem Motivasi Tahun Enam (KEMUDI)
Hasil daripada Mesyuarat Khas Kem Motivasi Tahun Enam (KEMUDI) telah diputuskan kem akan diadakan pada cuti Tahun Baru Cina iaitu pada 4 dan 5 Februari 2009 (hari Sabtu dan Ahad). Lokasi kem yang diputuskan dalam mesyuarat tersebut adalah di Kem Lembah Genting, di Batang Kali kerana tempat tersebut lengkap dengan kemudahan seperti asrama pelajar perempuan dan lelaki, surau, dewan kuliah, dewan makan dan peralatan untuk latihan kecergasan. Kem tersebut juga ada menyediakan pakej lengkap termasuk jurulatih program, latihan kecergasan, penyediaan makanan sebanyak 6 kali sehari, peralatan P.A. Sistem. Harga yang dikenakan kepada setiap pelajar juga adalah berpatutan iaitu RM 60.00 untuk dua hari satu malam bagi seorang pelajar.

Walau bagaimanapun Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (En. Dzul Arfi) dan beberapa orang guru lain tidak bersetuju dengan cadangan tersebut dengan memberikan alasan ramai guru yang ingin balik ke kampung kerana cuti sekolah agak panjang. Sungguhpun mendapat tentangan, tetapi En Dzul tetap diarahkan oleh guru besar untuk memaklumkan kepada unit HEM di Jabatan Pelajaran Negeri secepat mungkin tentang program berkenaan. Guru besar juga menyatakan jika tidak sempat secara surat rasmi hendaklah diuruskan melalui menelefon pihak yang berkenaan.

Mesyuarat Jawatankuasa Kem Motivasi (KEMUDI)  
Pada 15 Januari 2009 telah berlangsung Mesyuarat Jawatankuasa Kem Motivasi (KEMUDI). Dalam mesyuarat tersebut Pn. Azrinah selaku penyelaras program telah membentangkan kertas kerja program Kem Motivasi. Manakala En. Dzul Arfi (PK HEM) telah memberi penjelasan berkenaan kedudukan dan perjalanan kem. Menurut En. Dzul, program kem ini akan disertai seramai 66 orang pelajar tahun enam iaitu 33 orang pelajar lelaki dan 33 orang pelajar perempuan. Mereka akan bertolak ada pukul 3.00 petang pada 4 Februari 2009 (Sabtu) dengan menaiki bas. Pihak sekolah akan menyewa sebanyak 2 buah bas untuk perjalanan pergi manakala waktu pulang mereka akan diambil oleh ibu bapa pelajar sendiri. Dua oang guru pengiring iaitu jawatankuasa keselamatan akan menaiki bas bersama-sama pelajar untuk ke kem. Kem Komandan diarahkan untuk meninjau dan memastikan kawasan kem sempurna untuk digunakan.

Menurut Pn. Azrinah (penyelaras program) pelajar-pelajar ini telah mendapat kebenaran daripada ibu bapa untuk menyertai program ini. Surat kebenaran mengikuti aktiviti ini telah diterima oleh penyelaras program. Anggaran kos perbelanjaan telah dibentangkan di dalam mesyuarat tersebut dan senarai tugas jawatankuasa telah diedarkan kepada guru-guru dan dibincangkan satu persatu sekiranya terdapat permasalahan untuk dibincangkan bagi melicinkan perjalanan program Kem Motivasi tersebut.

Di Tapak Kem
4 Februari 2009 (Sabtu)
Pelajar-pelajar tiba di tapak Kem Lembah Genting, Batang Kali pada jam 3.45 petang. Pelajar-pelajar beratur di tapak perhimpunan di kem tersebut untuk mendengar  taklimat daripada Kem Komandan dan wakil pihak kem. Pelajar diberi taklimat berkenaan kemudahan, kebersihan, disiplin dan keselamatan di kem tersebut. Penyelaras Program dan guru-guru lain juga sampai tidak lama kemudian. Guru Penolong Kanan HEM, En.  Dzul belum sampai. Begitu juga dengan sesetengah guru yang sependapat dengan En.  Dzul tidak kelihatan pada petang itu.

Guru Besar, Penolong Kanan Kurikulum dan Penolong Kanan HEM tiba waktu pelajar sedang makan malam. Guru Besar dan PK Kurikulum turut makan setelah dipelawa oleh Pn.  Azrinah dan para pelajar. En. Dzul menolak pelawaan untuk makan bersama dengan alasan telah kenyang.

“Tak patut sekali kem ini diadakan pada cuti umum begini”, dengus En. Dzul di satu sudut kawasan kem.
“Memang betul tu!”, balas Cikgu Wari yang juga guru disiplin sekolah.
“Akupun malas mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti kem ini..”, tambahnya lagi.
“ Kita tengok dari jauh saja dahlah”, sampuk En. Dzul tanda menyokong.

5 Februari 2009 (Ahad)
Pada hari terakhir, jam 2.00 petang telah diadakan majlis penutup yang dirasmikan oleh Guru Penolong Kanan Kurikulum. Guru Besar tidak dapat hadir kerana menghadiri Majlis Anugerah Sekolah Kebangsaan Cemerlang peringkat negeri di Dewan Besar Sekolah Kebangsaan Bukit Gayong. Sekolah Kebangsaan Lembah Bertam berjaya meraih gelaran Sekolah Kebangsaan Terbaik pada tahun itu. Pada pukul 3.00 petang selesai majlis penutup dan pelajar-pelajar mengemas semua peralatan individu. Pukul 3.30 petang pelajar menunggu ibu bapa mereka datang menjemput untuk bercuti di rumah masing-masing  pada hari Isnin  dan Selasa.
Ramai pelajar telah menemui Pn.  Azrinah meminta izin mandi di sungai yang terdapat di dalam kawasan Kem Lembah Genting itu, cuaca begitu baik sekali. Airnya tidak dalam dan tidak deras. Melihatkan cuaca sedemikian, tanpa ragu-ragu, Pn. Azrinah telah membenarkannya tanpa memberi apa-apa amaran atau arahan agar berada bersama-sama guru mereka. Mereka mandi-manda dengan ditemani  oleh tiga orang guru disiplin sekolah yang turut sama mandi. Pelajar-pelajar itu kelihatan gembira dan seronok sekali. Malang tidak berbau, tiba-tiba tanpa disedari seorang pelajar tahun 6 Jujur  Azlin bt  Abu Bakar  tergelincir dari atas batu yang licin lalu jatuh ke dalam air. Kepalanya  terhantuk di atas batu yang besar dan menyebabkan pendarahan yang banyak. Guru yang berada berhampiran Azlin cuba untuk menyelamatkannya, malangnya tidak sempat untuk memberi  bantuan. Azlin didapati mengalami cedera parah di bahagian kepala dan tangan kanannya.

Pn. Azrinah segera membawa Azlin ke hospital berhampiran tanpa memberi apa-apa bantuan untuk menghalang kecederaan itu. En. Dzul segera menelefon Guru Besar untuk memberitahu kejadian tersebut. Hasil rawatan mendapati Azlin mengalami kecederaan patah tangan di sebelah kanan dan terpaksa menerima 26 jahitan di bahagian kulit kepala yang koyak akibat hentakan di atas batu. Pn. Azrinah amat sugul sekali kerana kesilapannya membuat keputusan membenarkan pelajar-pelajarnya mandi di sungai tersebut  tanpa apa-apa arahan atau teguran kepada semua pelajar yang mandi itu. Tn. Hj. Salleh b. Idris begitu terkejut dan kebingungan mendengar berita sedih itu. Dalam kotak fikirannya timbul kebimbangan untuk menghadapinya dan menguruskan perkara-perkara yang berkait dengan tragedi itu.

8 Febuari 2009 (Rabu) di Pejabat Guru Besar SK. Kerayong
Pada pagi hari Rabu ibu bapa Azlin telah datang ke sekolah dengan perasaan marah dan tidak puas hati dengan tragedi yang menimpa Azlin. Encik Abu Bakar ingin mendakwa pihak sekolah kerana cuai melepaskan pelajar mandi di sungai tanpa pengawasan dan pengawalan yang cukup sehingga menyebabkan anaknya terpaksa menerima 26 jahitan dan patah tangan kanannya. Azlin kini berada di dalam keadaan trauma, malu, sedih mengenangkan kecacatan  fizikal yang dialaminya, tambahan lagi beliau akan menduduki peperiksaan penting (UPSR) pada tahun tersebut. Tn. Hj. Salleh cuba menenangkan ibu bapa Azlin lantas memohon maaf atas tragedi yang menimpa Azlin. Guru Besar berharap kes itu tidak dibawa ke muka pengadilan. Tetapi Encik Abu Bakar tetap berkeras kerana atas kecuaian pihak sekolah menyebabkan kecacatan fizikal Azlin untuk selamanya. Tn. Hj. Salleh pasrah dan sedar akan kecuaian dari pihaknya.

4.0  ISU-ISU PERUNDANGAN YANG ASAS DAN UMUM TETAPI RELEVAN
Utusan Malaysia, 16 September 2006
12 Pelajar Cedera Dihempap Konkrit

SUNGAI SIPUT 15 Sept. – Seramai 12 pelajar cedera, tiga daripadanya parah apabila dihempap tembok konkrit penghadang tanah sepanjang 10 meter yang runtuh. Kejadian berlaku ketika kanak-kanak itu sedang menyertai sukaneka di sebuah padang permainan berhampiran Sekolah Rendah Kebangsaan Methodist, di sini, hari ini.
Dalam kejadian pukul 10.45 pagi itu, kesemua murid berkenaan dikejarkan ke Hospital Sungai Siput dan tiga daripada yang cedera parah iaitu Bawani Krishnan, M. Naduvany dan N. Steven, 12, dimasukkan ke wad hospital berkenaan. Mereka yang cedera parah, kebanyakannya patah di bahagian kaki setelah tersepit akibat dihempap tembok konkrit setinggi satu meter itu.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu yang melawat tempat kejadian berkata, keadaan pelajar tersebut adalah stabil. Katanya, daripada siasatan yang dijalankan, punca penghadang tanah itu runtuh kerana konkritnya yang tidak kukuh ekoran keadaan tanah di kawasan berkenaan. ‘‘Kita akan berusaha untuk membina semula penghadang tanah konkrit itu untuk mengelak kemalangan di sekolah berkenaan. ‘‘Saya telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) membina semula konkrit yang lebih kukuh supaya murid-murid dapat bermain di padang itu,” katanya.
Sementara itu seorang saksi, M. Periyanan, 56, berkata, semasa kejadian, beliau melihat beberapa murid yang berusia antara 11 dan 12 tahun menangis kesakitan setelah kaki mereka tersepit di celah-celah konkrit berkenaan.
Periyanan yang juga tukang kebun di sekolah itu berkata, beliau kemudiannya meminta perrtolongan daripada beberapa orang guru untuk menarik murid-murid berkenaan. ‘‘Saya terpaksa menggunakan batang besi dan peralatan lain untuk memecahkan konkrit

Utusan Malaysia, 27 Oktober 2009
Kaji Segala Risiko Sebelum Laksana Kegiatan Murid

Kuala Dipang 27 Oktober. – Jambatan gantung di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang di sini runtuh sehingga menyebabkan 22 pelajar hanyut. Tindakan beberapa budak nakal melompat-lompat dikatakan menjadi penyebab jambatan gantung di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang di sini runtuh sehingga menyebabkan 22 pelajar hanyut. Suasana ketika itu kelam kabut dengan jeritan minta tolong dan tangisan murid yang berpaut pada tali jambatan, kata pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang, Zulkifli Mohamad, 38, kepada pemberita. Dalam kejadian pada pukul 10.30 malam itu, 22 murid terjatuh ke dalam Sungai Kampar semasa sedang menaiki jambatan gantung yang baru dibina dua minggu lepas untuk ke jamuan makan di SK. Kuala Dipang. Kumpulan itu adalah antara 298 murid dari 64 sekolah rendah dari Tronoh, Batu Gajah dan Kampar yang menyertai perkhemahan 1Malaysia di pusat berkenaan yang terletak di tebing berdepan sekolah berkenaan.

Bernama, 17Januari 2010 (Ahad)
Bot Terbalik: Guru dan Pelajar Lemas, Empat Masih Hilang
PULAU PINANG: Seorang guru dan seorang pelajar lemas manakala empat lagi masih hilang selepas bot perahu naga yang membawa 18 orang terbalik akibat dipukul ombak kira-kira 100 meter dari pantai Lebuh Macallum di sini hari ini, kata polis.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata kejadian berlaku pada pukul 10.20 pagi dan mayat guru berkenaan, Chin Ai Fang, berusia 20-an, ditemui pasukan mencari dan menyelamat kira-kira sepuluh minit selepas kejadian.
Jurucakap pasukan gerakan mencari dan menyelamat berkata mayat pelajar yang lemas, Jason Ch’ng, 17, ditemui di kawasan berhampiran tempat kejadian pada pukul 2.45 petang. Mereka yang masih hilang ialah Brandon Yeoh, 17, Yong Xiang, 16, Koh Yiz Hiang, 17, dan Cheah Zi Jun, 17 dari Sekolah Tinggi Chung Ling, Air Itam. “Daripada lima yang hilang itu, hanya seorang  dilapor memakai jaket keselamatan,” kata Ayub kepada pemberita di sini.
Kawasan perairan itu sememangnya menjadi tempat pasukan pendayung sekolah berkenaan menjalani latihan mingguan bagi persiapan menyertai Kejohanan Perahu Naga Antarabangsa Pulau Pinang pada pertengahan tahun ini.
Ayub berkata pasukan pendayung perahu naga lelaki sekolah itu terdiri daripada 18 orang iaitu seorang guru (Chin), dua jurulatih dan 15 pelajar. Mereka memulakan latihan pada pukul 8 pagi dan perahu naga mereka dikatakan terbalik akibat dipukul ombak pada pukul 10.20 pagi. – BERNAMA
5.0  ISU-ISU PERUNDANGAN YANG BERBANGKIT DAN
6.0  APLIKASI UNDANG-UNDANG YANG RELEVEN

Isu Perundangan 1:
Adakah Cikgu Azrinah dan pihak sekolah mempunyai kewajipan berjaga-jaga terhadap pelajar di bawah penyeliaan mereka?
Undang-undang yang releven:
i.      Kewajipan berjaga-jaga wujud dalam situasi di mana terdapat suatu perhubungan yang rapat antara guru dengan pelajar. Andaian umum terhadap situasi ini di mana yang mengawal perhubungan guru-murid ini adalah seorang guru itu lebih bijak, berpengalaman, matang dan peka terhadap situasi yang berbahaya berbanding pelajar (Tie, 2004).

ii.    Undang-undang Tort – In loco parentis di mana guru-guru dan pihak sekolah akan menggantikan peranan ibu bapa di sekolah. Oleh itu, guru dan pihak sekolah berkewajipan menyediakan penyeliaan yang munasabah terhadap pelajar. Kewajipan berjaga-jaga wujud apabila tiga faktor berikut wujud iaitu (1) kerugian atau kecederaan dapat dijangkakan secara munasabah; (2) terdapat suatu hubungan rapat dan kaitan langsung antara plaintif dengan defendan; dan (3) dalam situasi tersebut adalah adil dan munasabah untuk mengatakan bahawa kewajipan berjaga-jaga wujud (Tie,2002).


Aplikasi:
Pihak sekolah dan Cikgu Azrinah seharusnya sedar bahawa kewajipan berjaga-jaga wujud apabila adanya hubungan guru-murid antara Cikgu Azrinah dengan murid-muridnya. Situasi ini menuntut pihak sekolah dan Cikgu Azrinah sebagai orang yang lebih berpengalaman, matang dan seharusnya lebih peka dan dapat mengawal perhubungan guru-murid terutama terhadap situasi yang berbahaya yang bakal dihadapi oleh pelajar di bawah penyeliaan mereka semasa aktiviti mandi sungai dijalankan. Ini selaras dengan pendapat Tie (2002) yang menyatakan bahawa wujud kewajipan berjaga-jaga dalam situasi di mana terdapat suatu perhubungan yang rapat antara guru dengan pelajar. Andaian umum terhadap situasi ini di mana yang mengawal perhubungan guru-murid ini adalah seorang guru itu lebih bijak, berpengalaman, matang dan peka terhadap situasi yang berbahaya berbanding pelajar.
Istilah In loco parentis dalam undang-undang tort menyatakan secara jelas bahawa guru-guru dan pihak sekolah akan menggantikan peranan ibu bapa di sekolah dan semasa aktiviti dijalankan bawah pengelolaan pihak sekolah. Oleh itu, guru dan pihak sekolah berkewajipan menyediakan penyeliaan yang munasabah terhadap pelajar. Kewajipan berjaga-jaga wujud apabila tiga faktor berikut wujud iaitu (1) kerugian atau kecederaan dapat dijangkakan secara munasabah; (2) terdapat suatu hubungan rapat dan kaitan langsung antara plaintif dengan defendan; dan (3) dalam situasi tersebut adalah adil dan munasabah untuk mengatakan bahawa kewajipan berjaga-jaga wujud (Tie,2002). Dalam kes Cikgu Azrinah, dia seharusnya sedar wujud kewajipan berjaga-jaga apabila dia membenarkan murid-muridnya mandi di sungai. Cikgu Azrinah juga seharusnya sedar bahawa dia merupakan penyelaras program pada hari itu dan bertindak sebagai in loco parentis serta mempunyai hubungan rapat dan kaitan langsung terhadap murid-muridnya yang mandi di sungai tersebut. Namun demikian, Cikgu Azrinah yang sepatutnya mengambil langkah berjaga-jaga seperti memberi amaran dan peringatan kepada pelajar serta membuat penyeliaan terhadap aktiviti telah tidak berbuat demikian.
Rumusan Isu Perundangan 1:
Cikgu Azrinah dan pihak sekolah mempunyai kewajipan berjaga-jaga terhadap pelajar di bawah penyeliaan mereka.

Isu Perundangan 2
Adakah pihak sekolah mempunyai tahap kewajipan berjaga-jaga yang  tinggi terhadap pelajar?
Undang-undang yang releven:
i.      Kewajipan berjaga-jaga guru boleh wujud dalam berbagai-bagai cara misalnya apabila dikehendaki oleh undang-undang yakni apabila peruntukan undang-undang seperti yang terdapat dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) telah menetapkan bahawa ibu bapa wajib menghantar anak mereka ke sekolah setelah mencapai suatu peringkat umur tertentu. Syarat ini adalah wajib dan undang-undang telah menetapkan kewajipan berjaga-jaga untuk kanak-kanak lima belas (15) tahun yang menghadiri sekolah (Tie, 2002 : 88).

ii.     Tahap dan mutu kewajipan berjaga-jaga ditentukan oleh beberapa faktor yang lain, iaitu dari segi umur, situasi, kebolehan fizikal, keadaan mental dan pengalaman lepas pelajar. Secara umum, pelajar yang berusia lebih muda, misalnya lima (5) tahun, memerlukan tahap penjagaan yang lebih rapi dan teliti jikalau dibandingkan dengan pelajar yang berusia lima belas (15) tahun. Di samping, itu faktor kebolehan mental dan fizikal juga diambil kira. Dalam situasi di mana aktiviti yang dilakukan adalah berbahaya, kewajipan berjaga-jaga yang diharapkan daripada guru adalah lebih tinggi (Tie, 2002 : 87).

Aplikasi:
Pihak sekolah sememangnya mempunyai tahap kewajipan berjaga-jaga yang tinggi terhadap murid-muridnya memandangkan murid-murid sekolah ini adalah murid-murid tahun enam (6) berumur dua belas (12) tahun dan wajib menerima penjagaan yang rapi dan tinggi daripada pihak sekolah dan guru-guru seperti yang telah termaktub di dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) yang menetapkan bahawa kewajipan berjaga-jaga untuk kanak-kanak lima belas (15) tahun yang menghadiri sekolah adalah wajib.
           
            Menurut  Tie, 2002 tahap dan mutu kewajipan berjaga-jaga ditentukan oleh beberapa faktor yang lain, iaitu dari segi umur, situasi, kebolehan fizikal, keadaan mental dan pengalaman lepas pelajar. Secara umumnya pelajar yang berusia lebih muda memerlukan tahap penjagaan yang lebih rapi dan teliti. Selain daripada itu, menurut Tie, 2002 aktiviti yang lebih berbahay menuntut kewajipan berjaga-jaga yang lebih tinggi daripada guru-guru. Dalam kes Cikgu Azrinah, memandangkan pelajar adalah pelajar sekolah rendah dan aktivitinya adalah mandi manda di sungai yang dianggap berisiko dan berbahaya maka semestinyalah murid-murid ini memerlukan kewajipan berjaga-jaga yang rapi dan teliti (tinggi) dalam kalangan guru-guru. Tambahan pula, murid-murid ini berumur bawah lima belas (15) tahun dianggap masih muda dan masih belum boleh berfikir dengan waras dan memerlukan bimbingan guru yang lebih berpengalaman terutama dalam aktiviti mandi sungai yang dianggap berisiko dan berbahaya.
Rumusan Isu Perundangan 2:
Pihak sekolah mempunyai tahap kewajipan berjaga-jaga yang tinggi terhadap pelajar.

Isu Perundangan 3
Adakah Cikgu Azrinah dan pihak sekolah telah melanggar undang-undang kerana mengadakan Kem Motivasi di luar kawasan sekolah?
Undang-undang yang releven:
i.      Seksyen 3(1) Peraturan-peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997: PU(A) 531/97, Kurikulum Kebangsaan ialah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang  diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.

ii.     Seksyen 2(1) Peraturan-peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997: PU(A) 531/97 telah memberi takrifan Kegiatan Kokurikulum ertinya apa-apa kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah yang memberikan murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan kemahiran dan nilai yang dipelajari di bilik darjah.

iii.    Mengikut SPI. Bil. 9/2000, mana-mana pelajar yang ingin menyertai  sebarang aktiviti yang diadakan di luar kawasan sekolah, perlu mendapat kebenaran daripada ibu bapa atau penjaga.

Aplikasi:
Menurut Seksyen 3(1) Peraturan-peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997: PU(A) 531/97,  Cikgu Azrinah dan pihak sekolah boleh mengadakan Kem Motivasi bagi tujuan untuk membantu perkembangan pelajar tahun enam di sekolahnya dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang  diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan. Tambahan pula Kem Motivasi ini merupakan persediaan awal pihak sekolah kepada pelajar tahun enam yang akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun berkenaan.

Dalam Seksyen 2(1) Peraturan-peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997: PU(A) 531/97 telah memberi takrifan Kegiatan Kokurikulum ertinya apa-apa kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah yang memberikan murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan kemahiran dan nilai yang dipelajari di bilik darjah. Tujuan ini selari dengan objektif Kem Motivasi yang dianjurkan oleh pihak sekolah yakni untuk meningkat, memantapkan pengetahuan kemahiran dan nilai yang diperoleh pelajar tahun enam di dalam bilik darjah dan dijadikan bekalan untuk mereka menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) nanti.
   
Mengikut SPI Bil. 9/2000 kebenaran bertulis daripada ibu bapa wajib diperolehi sebelum guru dibenarkan membawa pelajar ke tempat luar daripada kawasan sekolah untuk tujuan lawatan atau perkhemahan. Surat Kebenaran untuk mengikuti Kem Motivasi yang dianjurkan oleh pihak sekolah bagi Tahun Enam telah dikeluarkan oleh pihak sekolah. Ibu bapa Azlin telah menandatangani surat kebenaran tersebut tanpa paksaan. Ini bemaksud ibu bapa Azlin telah bersetuju membenarkan anak mereka menyertai program tersebut. Cikgu Azrinah dan pihak sekolah telah mengikut prosedur yang telah ditetapkan sebelum mengadakan  Kem Motivasi (KEMUDI) pada cuti sekolah.
Rumusan Isu Perundangan 3:
Cikgu Azrinah dan pihak sekolah tidak melanggar undang-undang apabila mengadakan kem motivasi di luar kawasan sekolah.

Isu Perundangan 4
Adakah pihak sekolah telah mematuhi tindakan pencegahan atau pengurusan risiko sebelum, semasa dan selepas menganjurkan Program Kem Motivasi di luar kawasan sekolah.

Undang-undang yang releven:
i.      GARIS PANDUAN UNTUK PERMOHONAN MELANCONG DI BAWAH PERATURAN (MELANCONG) SEKOLAH 1957 (THE SCHOOLS TOURS REGULATIONS 1957)
Di bawah perkara 4; pengendalian aktiviti lawatan meliputi pengurusan sebelum, semasa dan selepas aktiviti yang dianjurkan. Perancangan dan pelaksanaan ketiga-tiga peringkat ini dengan teliti akan dapat meningkatkan keselamatan, kebajikan dan pengalaman pendidikan kepada pelajar yang menyertai aktiviti. Antara langkah-langkah pengurusan yang perlu diambil ialah;
4.1  Menyedia dan menyerahkan kertas kerja aktiviti kepada Guru Besar untuk diluluskan.
4.2  Mengeluarkan surat kepada waris bertujuan memaklumkan aktiviti yang akan dianjurkan dan mendapat kebenaran bertulis tentang penglibatan pelajar untuk menyertai aktiviti. Surat kepada waris hendaklah mengandungi perkara-perkara berikut; (i) tarikh dan tempat aktiviti; (ii) jadual aktiviti; (iii) langkah-langkah yang diambil untuk menjaga keselamatan dan kebajikan murid; dan (iv) surat pengesahan kesihatan dan makluman perubatan/alahan pelajar.

ii.     SPI Bil. 8/2009 Perkara (2) mengingatkan semua Pengetua atau Guru Besar supaya mematuhi semua prosedur, peraturan dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia ketika menganjurkan aktiviti atau program luar yang melibatkan murid-murid di samping sentiasa berwaspada terhadap sebarang kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku terhadap murid-murid.

iii.    GARIS PANDUAN UNTUK PERMOHONAN MELANCONG DI BAWAH PERATURAN (MELANCONG) SEKOLAH 1957 (THE SCHOOLS TOURS REGULATIONS 1957)
Di bawah perkara 5. INGATAN :
5.1 Peraturan keselamatan hendaklah diterangkan kepada murid-murid dan guru sebelum lawatan itu dibuat.
5.2   Peti Pertolongan cemas hendaklah di bawa bersama semasa lawatan.
5.3   Untuk mengadakan kawalan yang lebih berkesan bilangan guru pengawas
 hendaklah bersesuaian dengan ramai murid.

Aplikasi:
Dalam Garis Panduan Peraturan-peraturan Melancong Sekolah 1957 Perkara 4 dengan jelas menyatakan bahawa pengendalian aktiviti lawatan meliputi pengurusan sebelum, semasa dan selepas aktiviti dianjurkan dan sekiranya perancangan dan pelaksanaan ketiga-tiga peringkat ini dibuat dengan teliti akan dapat meningkatkan keselamatan, kebajikan dan pengalaman pendidikan kepada pelajar yang menyertai aktiviti. Namun demikian, dalam perancangan awal aktiviti mandi-manda bukan merupakan aktiviti yang tersenarai dalam jadual aktiviti. Sebab itu, kewajipan berjaga-jaga dari peringkat awal tidak dapat disediakan oleh Cikgu Azrinah dan pihak sekolah. Sekiranya aktiviti dimasukkan dalam jadual perancangan sebelum pelaksanaan, pihak sekolah akan dapat menyediakan pelan tindakan pencegahan atau pengurusan risiko serta mengambil perhatian dan memberikan tumpuan terhadap keperluan berjaga-jaga semasa pelaksanaan aktiviti termasuklah bilangan guru yang akan membuat penyeliaan semasa aktiviti dijalankan memandangkan aktiviti mandi sungai merupakan aktiviti berisiko tinggi.  
            Pihak sekolah yakni Guru Besar perlu memastikan semua prosedur, peraturan serta garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia diikuti. Setelah itu beliau juga perlu memberi tumpuan dan penekanan serta peringatan yang lebih kepada guru-guru agar lebih berwaspada terhadap sebarang kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku terhadap pelajar. Peringatan serta langkah-langkah pengurusan risiko yang dibuat sebelum menjayakan sebarang aktiviti berisiko tinggi membuktikan pihak sekolah telah memberi tumpuan terhadap kewajipan berjaga-jaga. Tindakan sedemikian mampu menyelamatkan pihak sekolah dari didakwa terhadap aspek kewajipan berjaga-jaga yang perlu mereka beri perhatian dalam pengurusan risiko terhadap aktiviti mandi sungai yang dianggap berbahaya. 
            Selain daripada itu, pihak sekolah terikat dengan Garis Panduan Untuk Permohonan Melancong Di Bawah Peraturan (Melancong) Sekolah 1957, Perkara 5 yang menghendaki mereka (1) menerangkan peraturan keselamatan kepada pelajar dan guru sebelum program dijalankan; (2)  menyediakan peti pertolongan cemas dan membawanya sepanjang aktiviti dijalankan; dan (3) menyediakan bilangan guru pengawas yang mencukupi dan bersesuaian dengan bilangan pelajar bagi tujuan mengadakan kawalan yang lebih berkesan. Namun demikian, pihak sekolah yakni Cikgu Azrinah selaku penyelaras mengabaikan semua pengurusan risiko yang dinyatakan dalam Garis Panduan ini sehingga mengakibatkan kemalangan berlaku kepada pelajar semasa menjalani aktiviti mandi sungai.
Rumusan Isu Perundangan 4:
Pihak sekolah tidak mengambil  tindakan pencegahan atau pengurusan risiko sebelum, semasa dan selepas menganjurkan Program Kem Motivasi di luar kawasan sekolah.

Isu Perundangan 5
Adakah Cikgu Azrinah dan pihak sekolah gagal menyediakan bilangan guru yang  mencukupi bagi menyelia aktiviti mandi sungai oleh pelajar?
Undang-undang yang releven:
i.      Surat Siaran Pengurusan Kokurikulum Bil. 2/2010 Garis Panduan Pelaksanaan Program Pendidikan (Kokurikulum) Perkara 7.5 Guru atau Pegawai Pengiring;
7.5.1   Untuk setiap aktiviti 1 (satu) orang Guru/Pegawai Pengiring adalah diperlukan untuk seramai 1 (satu) orang sehingga 10 (sepilih) orang murid.
7.5.2  Nisbah maksimum adalah 1 (satu) orang Guru/Pegawai Pengiring bagi setiap 10 (sepuluh) orang murid.
7.5.3  Mesti ada Guru/Pegawai Pengiring perempuan jika program melibatkan murid perempuan, dan mesti ada Guru/Pegawai Pengiring lelaki jika program melibatkan murid lelaki.

ii.     GARIS PANDUAN UNTUK PERMOHONAN MELANCONG DI BAWAH PERATURAN (MELANCONG) SEKOLAH 1957 (THE SCHOOLS TOURS REGULATIONS 1957)
Di bawah perkara 5. INGATAN :
5.7 Untuk mengadakan kawalan yang lebih berkesan bilangan guru pengawas      hendaklah bersesuaian dengan ramai murid.

iii.    SPI Bil. 8/2009 Perkara (2) mengingatkan semua Pengetua atau Guru Besar supaya mematuhi semua prosedur, peraturan dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia ketika menganjurkan aktiviti atau program luar yang melibatkan murid-murid di samping sentiasa berwaspada terhadap sebarang kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku terhadap murid-murid.

Aplikasi:
Menurut Surat Siaran Pengurusan Kokurikulum Bil. 2/2010 berkaitan Garis Panduan Pelaksanaan Program Pendidikan (Kokurikulum) Perkara 7 (7.5) menyentuh tentang nisbah guru pengiring berbanding bilangan pelajar di mana jika dilihat dalam kes pihak sekolah dan Cikgu Azrinah hanya menyediakan 3 orang guru bagi mengawasi 66 orang pelajar untuk aktiviti mandi sungai. Sudahlah tidak mencukupi antara nisbah guru berbanding pelajar, guru-guru yang ditugaskan mengawasi pelajar turut sama mandi-manda bersama pelajar sehingga cuai dalam menjalankan penyeliaan rapi dan mengabaikan kewajipan berjaga-jaga terhadap pelajar yang sedang melakukan aktiviti mandi-manda di sungai itu.

            Perkara yang sama telah diperingatkan dalam Garis Panduan Untuk Permohonan Melancong di Bawah Peraturan (Melancong) Sekolah 1957: Perkara 5 yang berbunyi ‘untuk mengadakan kawalan yang lebih berkesan bilangan guru pengawas hendaklah bersesuaian dengan ramai murid’.  

            Cikgu Azrinah juga didapati cuai dalam mematuhi arahan atau peringatan yang terkandung dalam SPI Bil 8/2009 di mana prosedur, peraturan dan garis panduan dalam melaksanakan aktiviti luar telah diabaikan dengan tidak menyediakan guru pengiring yang mencukupi bagi membuat tugasan penyeliaan kepada pelajar. Sepatutnya nisbah guru berbanding pelajar yang perlu disediakan adalah 1:10 tetapi sebaliknya yang berlaku adalah 1:22.
Rumusan Isu Perundangan 5:
Cikgu Azrinah dan pihak sekolah gagal menyediakan bilangan guru yang  mencukupi bagi mengawasi aktiviti mandi sungai.

Isu Perundangan 6
Adakah kecederaan Azlin boleh diramalkan secara munasabah oleh Cikgu Azrinah dan guru-guru pengiring yang lain?
Undang-undang yang releven:
i.      Merujuk kepada Kes Mohamed Raihan Bin Ibrahim & Anor V. Government Of  Malaysia & Ors: Mohamed Raihan mengalami kecederaan di kepala kerana terkena cangkul yang digunakan oleh rakannya semasa kelas amali Sains Pertanian. Beliau mendakwa kecederaan berlaku kerana responden, guru mata pelajaran Sains Pertanian  gagal membuat penyeliaan ke atas pelajar yang mengikuti kelas perkebunan dan gagal memberi penerangan berkenaan cangkul. Tuntutan beliau ditolak oleh Mahkamah Tinggi. Plaintif membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Kesimpulan daripada hujah dalam perbicaraan di Mahkamah Persekutuan, erdapat kecuaian dan gagal mengambil tindakan munasabah dan langkah-langkah yang sepatutnya bagi mengelakkan perayu yang di bawah jagaan beliau daripada menanggung kecederaan.  Guru tidak memberi peringatan dan tidak mengambil langkah keselamatan mengikut keadaan pelajar jarak antara mereka bagi mengelakkan berlakunya kecederaan.                                                         
ii.     Tahap dan mutu kewajipan berjaga-jaga ditentukan oleh beberapa faktor yang lain, iaitu dari segi umur, situasi, kebolehan fizikal, keadaan mental dan pengalaman lepas pelajar (Tie, 2002).

iii.    Undang-undang Tort – In loco parentis di mana guru-guru dan pihak sekolah akan menggantikan peranan ibu bapa di sekolah. Oleh itu guru dan pihak sekolah berkewajipan menyediakan penyeliaan yang munasabah terhadap pelajar. Kewajipan berjaga-jaga wujud apabila tiga faktor berikut wujud iaitu (1) kerugian atau kecederaan dapat dijangkakan secara munasabah; (2) terdapat suatu hubungan rapat dan kaitan langsung antara plaintif dengan defendan; dan (3) dalam situasi tersebut adalah adil dan munasabah untuk mengatakan bahawa kewajipan berjaga-jaga wujud (Tie,2002).

Aplikasi:
Aktiviti mandi sungai merupakan aktiviti berisiko tinggi namun Cikgu Azrinah tetap memberi kebenaran kepada pelajar untuk mandi sungai tetapi mengabaikan tanggungjawabnya untuk memberi amaran kepada pelajar tentang bahaya dan risiko kecederaan yang mungkin dialami ketika mandi sungai. Keadaan ini sama dengan kes Mohamed Raihan di mana walaupun guru mengetahui risiko kecederaan ke atas peralatan yang digunakan namun guru tidak memberi sebarang peringatan seterusnya gagal membuat penyeliaan apabila hanya duduk di bawah pokok jauh dari aktiviti pelajar.  Cikgu Azrinah juga mengabaikan aspek penyeliaan ke atas pelajar ketika mereka mandi sungai walaupun dia tahu bahawa aktiviti mandi sungai itu merupakan aktiviti berisiko tinggi terhadap kecederaan.
Cikgu Azrinah juga mengabaikan faktor umur ,situasi, kebolehan fizikal, keadaan mental dan pengalaman lepas pelajar (Tie, 2002) di mana pada usia muda dalam situasi yang seronok bermandi-manda membataskan pemikiran mereka terhadap bahaya dan kecederaan yang boleh berlaku. Apa yang pelajar tahu hanyalah kegembiraan dan keseronokan.
Sebaliknya, guru yang bertindak sebagai in loco parentis kepada pelajar sepatutnya dapat meramal secara munasabah akan risiko kecederaan yang boleh menimpa pelajar (Tie, 2002). Dalam kes ini, Cikgu Azrinah ganti kepada ibu bapa pelajar menyedari secara munasabah akan risiko kecederaan yang boleh berlaku ke atas diri pelajar ketika mandi sungai. Maka, menjadi tanggungjawab Cikgu Azrinah mengingatkan pelajar akan risiko yang bakal pelajar alami sekiranya tidak berhati-hati.
Rumusan Isu Perundangan 6:
Kecederaan Azlin boleh diramalkan secara munasabah oleh Cikgu Azrinah dan guru-guru pengiring yang lain.

Isu Perundangan 7
Adakah kecederaan Azlin disebabkan oleh kecuaian Cikgu Azrinah dan pihak sekolah?

Undang-undang yang releven:
i.      SPI. Bil. 9/2000 – Panduan Keselamatan Diri Pelajar Semasa Pengajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan serta kegiatan Kokurikulum dan Sukan Di Dalam dan Di Luar Kawasan Sekolah.

ii.     Definisi kecuaian menurut Kamus Random House (1997 dalam Tie,2004) – kecuaian adalah kegagalan mengambil tindakan berjaga-jaga untuk melindungi individu lain sepertimana yang dikehendaki oleh undang-undang.

iii.    Undang-undang Tort (Undang-undang Sivil) – Yang Arif Hakim Lord Wright (1934 dalam Tie 2004) mentakrifkan kecuaian sebagai satu Tort yakni sebagai ‘kecuaian bukan setakat  tidak mengambil peduli atau perlakuan cuai tetapi menampilkan konsep yang kompleks mengenai kewajipan, kemungkinan dan kerugian yang dialami oleh seseorang’.

iv.    Kes Chen Soon Lee Lawan Chong Voon Pin dan Lain-lain [1966] 2MLJ 264 – Defenden terdiri daripada seorang pengetua dan dua orang guru di sebuah sekolah menengah. Mereka telah mengiringi pelajar dalam satu aktiviti perkelahan di tepi pantai. Semasa satu permainan bola di kawasan berair, beberapa orang pelajar telah tenggelam. Akibatnya, seorang pelajar telah mati lemas. Waris mangsa telah menuntut ganti rugi atas alasan bahawa defenden telah bertindak cuai. Mahkamah memberi andaian bahawa guru dianggap mempunyai kewajipan berjaga-jaga terhadap pelajarnya. Defenden didapati telah mengambil langkah tertentu bagi memastikan pelajar-pelajar tersebut mematuhi arahan mereka. Perkelahan tersebut telah dikelolakan atas permintaan pelajar dan pengetua sekolah telah memberikan kebenaran. Surat pemberitahuan telah diedarkan kepada ibu bapa pelajar untuk memaklumkan lawatan tersebut. 

v.     Kes Mohamed Raihan & SL lawan Kerajaan Malaysia & SL (1981) 2 MLJ 27 - Akibat pelanggaran kewajipan pelajar telah mengalami kerugian iaitu kecederaan. Guru cuai dengan memberikan arahan yang tidak jelas dan mencukupi ketika membuat persediaan untuk melakukan aktiviti yang dijangkakan berbahaya. Guru juga gagal menyampaikan arahan yang sesuai  untuk melakukan aktiviti yang berbahaya tersebut (kes Mohamed Raihan). Mahkamah menganggap guru adalah merupakan seorang yang lebih berpengalaman, bijak, berpengetahuan, terlatih dan peka terhadap risiko sesuatu perbuatan. Oleh itu guru bertanggungjawab untuk mengambil langkah-langkah awal untuk mencegah yang boleh diramalkan secara munasabah.

Aplikasi:
Menurut kamus Random House (1997) definisi kecuaian adalah kegagalan mengambil tindakan berjaga-jaga untuk melindungi individu lain sepertimana yang dikehendaki oleh undang-undang (Tie, 2004). Oleh itu, kecederaan yang dialami oleh Azlin adalah disebabkan oleh kegagalan Cikgu Azrinah dan pihak sekolah untuk mematuhi tahap kewajipan berjaga-jaga yang dikehendaki oleh undang-undang. Kecuaian juga dikenalpasti telah dilakukan oleh Cikgu Azrinah dan pihak sekolah kerana membenarkan pelajar mandi sungai sedangkan aktiviti itu tidak terdapat di dalam agenda Kem Motivasi itu.

Selain itu, Cikgu Azrinah dan pihak sekolah tidak mengingatkan dan memberi amaran kepada pelajar secara berulangkali sewaktu berada di kawasan sekitar sungai akan keadaan batuan yang licin dan tajam yang boleh mendatangkan bahaya kepada sesiapa sahaja terutamanya pelajar. Menurut SPI Bil. 9/2000 telah mengingatkan pihak sekolah dan guru-guru supaya  mengambil langkah-langkah proaktif untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini ke atas diri pelajar.

Cikgu Azrinah telah membenarkan pelajar-pelajar dalam  bilangan yang ramai mandi di sungai berhampiran tanpa pengawalan yang secukupnya. Sepatutnya pelajar itu dilarang mandi di sungai tanpa pengawalan yang cukup. Melalui kebenaran yang diberikan oleh Cikgu Azrinah, beliau telah mendedahkan pelajar kepada situasi yang berbahaya dan guru telah mengabaikan keselamatan pelajar. Guru tidak melakukan sebarang tindakan yang munasabah untuk mencegah dan mengelak kecederaan. Tahap dan mutu kewajipan berjaga-jaga ditentukan oleh beberapa faktor iaitu pelajar sekolah rendah memerlukan tahap penjagaan yang lebih rapi dan teliti berbanding pelajar sekolah menengah. Faktor kebolehan mental dan fizikal pelajar juga diambil kira. Aktiviti mandi sungai adalah berbahaya dan boleh mendatangkan kecederaan jika tiada pengawalan yang rapi oleh pihak sekolah. Ini disokong oleh Yang Arif Hakim Lord Wright (1934 dalam Tie, 2004) yang menyatakan bahawa kecuaian sebagai tort bukan setakat tidak mengambil peduli atau perlakuan cuai tetapi menampilkan konsep yang kompleks mengenai kewajipan, kemungkinan dan kerugian yang dialami oleh seseorang. 

            Merujuk Kes Chen Soon Lee di mana aktiviti yang melibatkan sungai atau laut yakni kawasan berisiko tinggi mestilah menuntut kewajipan berjaga-jaga yang tinggi juga dalam kalangan guru-guru pengiring. Keadaan dalam Kes Chen Soon Lee di mana semua guru pengiring dan Guru Besar telah melakukan penyeliaan yang rapi dan tiada bukti yang menunjukkan Guru Besar dan guru-guru pengiring cuai dalam tanggungjawab mereka. Tetapi sebaliknya berlaku dalam Kes Azlina di mana kewajipan berjaga-jaga Cikgu Azrinah dan 3 (tiga) orang guru pengiring adalah rendah dan mereka cuai dalam melakukan penyeliaan di mana Cikgu Azrinah telah meninggalkan pelajarnya mandi-manda di sungai tanpa sebarang amaran atau peringatan tentang keperluan berjaga-jaga. Manakala 3 (tiga) orang guru lagi juga gagal melakukan penyeliaan rapi apabila mereka turut sama mandi-manda bersama pelajar.

            Cikgu Azrinah cuai dan tidak memberikan arahan serta peringatan dengan jelas kepada pelajar setelah memberi kebenaran kepada mereka mandi-manda di sungai. Cikgu Azrinah juga gagal memberikan peringatan kepada pelajar sebagai persediaan untuk melakukan aktiviti yang dijangkakan berbahaya iaitu mandi sungai. Situasi ini sama dengan kes Mohamed Raihan di mana mahkamah menganggap guru adalah merupakan seorang yang lebih berpengalaman, bijak, berpengetahuan, terlatih dan peka terhadap risiko sesuatu perbuatan. Oleh itu guru bertanggungjawab untuk mengambil langkah-langkah awal untuk mencegah apa yang boleh diramalkan secara munasabah.

Rumusan Isu Perundangan 7:
Kecederaan Azlina disebabkan oleh kecuaian Cikgu Azrinah dan pihak sekolah.


Isu Perundangan 8
Adakah ibu bapa Azlin boleh mendakwa pihak sekolah di atas kemalangan yang menimpa anaknya disebabkan faktor kecuaian menjaga keselamatan pelajar?

Undang-undang yang releven:

i.     Buku Peraturan Kokurikulum: Surat Kebenaran ibu bapa telah diperoleh. Walau bagaimanapun, surat kebenaran yang diperoleh daripada ibu bapa terdahulu, tidak bermakna ibu bapa Azlin tidak boleh mengambil tindakan mahkamah. Sebaliknya pihak sekolah  masih bertanggungjawab dalam keadaan tertentu.

ii.     Kamus Random House (1997), kecuaian adalah kegagalan mengambil tindakan berjaga-jaga untuk melindungi individu lain sepertimana yang dikehendaki oleh undang-undang. Kecuaian berlaku sama ada ketika seseorang melakukan sesuatu perbuatan di mana ia tidak harus melakukan ataupun sengaja tidak melakukan perbuatan apabila ia patut dilakukan.

iii.   Surat Siaran Pengurusan Kokurikulum Bil. 2/2010 Garis Panduan Pelaksanaan Program Pendidikan (Kokurikulum) Perkara 7.5 Guru atau Pegawai Pengiring;
7.5.1   Untuk setiap aktiviti 1 (satu) orang Guru/Pegawai Pengiring adalah diperlukan untuk seramai 1 (satu) orang sehingga 10 (sepilih) orang murid.
7.5.2    Nisbah maksimum adalah 1 (satu) orang Guru/Pegawai Pengiring bagi setiap 10 (sepuluh) orang murid.
7.5.3    Mesti ada Guru/Pegawai Pengiring perempuan jika program melibatkan murid perempuan, dan mesti ada Guru/Pegawai Pengiring lelaki jika program melibatkan murid lelaki.

iv.  SPI Bil. 8/2009 Perkara (2) mengingatkan semua Pengetua atau Guru Besar supaya mematuhi semua prosedur, peraturan dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia ketika menganjurkan aktiviti atau program luar yang melibatkan murid-murid di samping sentiasa berwaspada terhadap sebarang kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku terhadap murid-murid.

Aplikasi:
Ibu bapa Azlin berhak untuk mengambil sebarang  tindakan mahkamah sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan kecuaian pihak sekolah sehingga mendatangkan kecederaan kepada pihak anaknya. Dalam Buku Peraturan Kokurikulum menyatakan surat kebenaran yang diperoleh daripada ibu bapa terdahulu, tidak bermakna ibu bapa pelajar tidak boleh mengambil tindakan mahkamah. Sebaliknya pihak sekolah masih bertanggungjawab dalam keadaan tertentu. Sebab itu, Ibu bapa Azlin boleh mengambil tindakan mahkamah ke atas pihak sekolah dan guru yang terlibat di dalam aktiviti Kem Motivasi (KEMUDI). Mereka boleh memohon ganti rugi ke atas kecederaan yang dialami oleh anak mereka. 

Undang-undang Tort di bawah Undang-undang Sivil boleh diambil bagi menuntut ganti rugi, di atas kerugian, serta kecederaan dan kesakitan yang dialami oleh mangsa. Menurut Kamus Random House (1997), kecuaian adalah kegagalan mengambil tindakan berjaga-jaga untuk melindungi individu lain sepertimana yang dikehendaki oleh undang-undang. Kecuaian berlaku sama ada ketika seseorang melakukan sesuatu perbuatan di mana ia tidak harus melakukan ataupun sengaja tidak melakukan perbuatan apabila ia patut dilakukan.

            Tindakan Cikgu Azrinah membenarkan pelajarnya mandi di sungai tanpa penyeliaan rapi dan tidak mencukupi bilangan guru penyelia berbanding pelajar yang mandi merupakan kecuaian kerana aktiviti mandi-manda di sungai tiada dalam perancangan awal program pada hari itu. Secara tidak langsung Cikgu Azrinah telah engkar kepada SPI Bil. 8/2009 yang meminta supaya mematuhi semua prosedur, peraturan dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia ketika menganjurkan sebarang aktiviti di luar sekolah dan  Surat Siaran Pengurusan Kokurikulum Bil. 2/2010 tentang Garis Panduan Pelaksanaan Program Pendidikan (Kokurikulum) Perkara 7.5 iaitu nisbah Guru atau Pegawai Pengiring di mana 1 (satu) orang guru adalah bertanggungjawab ke atas 10 (sepuluh) orang murid.

Rumusan Perundangan 8:
Ibu Bapa boleh membuat dakwaan ke atas  Cikgu Azrinah dan pihak sekolah disebabkan faktor kecuaian menjaga keselamatan pelajar.


7.0  KAITKAN DENGAN KES
Terdapat kewajipan berjaga-jaga yang tinggi yang sepatutnya diberi perhatian oleh semua pihak termasuk guru, Guru Besar dan ibu bapa dalam sesuatu aktiviti yang hendak dilaksana atau disertai. Tambahan pula apabila aktiviti diadakan di luar kawasan sekolah dan kawasan berisiko tinggi yakni tempat yang mempunyai air. Antara kewajipan berjaga-jaga diperincikan seperti berikut yakni jika kita sebagai;

7.1 GURU
Guru mempunyai kewajipan berjaga-jaga terhadap pelajar. Guru akan menggantikan peranan ibu bapa di sekolah dan dikatakan memegang peranan in loco parentis. Oleh itu guru berkewajipan menyediakan penyeliaan yang munasabah terhadap pelajar. Kewajipan berjaga-jaga wujud apabila faktor berikut wujud, iaitu; i) kerugian atau kecederaan dapat dijangkakan secara munasabah; ii) terdapat suatu hubungan rapat dan kaitan langsung antara plaintif dengan defendan; dan iii) dalam situasi tersebut adalah adil dan munasabah untuk mengatakan bahawa kewajipan berjaga-jaga wujud (Tie, 2002).
            Tahap dan mutu kewajipan berjaga-jaga ditentukan oleh beberapa faktor yang lain, iaitu dari segi umur, situasi, kebolehan fizikal, keadaan mental dan pengalaman lepas pelajar (Tie, 2002). Kecederaan pelajar akibat kelalaian guru yang tidak mengambil perhatian terhadap kewajipan berjaga-jaga biasanya dapat dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu; i) apabila guru mendedahkan pelajar terhadap situasi yang berbahaya seperti melakukan sesuatu aktiviti yang berbahaya atau guru sendiri mengabaikan aspek keselamatan; ii) apabila guru tidak melakukan sebarang tindakan untuk mencegah dan mengelakkan kecederaan; dan iii) apabila guru cuai memberikan arahan yang tidak jelas dan mencukupi ketika membuat persediaan untuk melakukan aktiviti yang dijangka berbahaya. Guru juga gagal menyampaikan arahan yang sesuai untuk melakukan aktiviti yang berbahaya tersebut (Tie, 2002).

            Tanggungjawab ini juga melibatkan langkah mencegah kecederaan yang diramalkan secara munasabah. Kadangkala, amaran perlu diberikan kepada pelajar tentang sesuatu risiko kecederaan semasa pelajar mengambil bahagian dalam sesuatu aktiviti yang berbahaya( Tie, 2002). Contohnya, melarang pelajar mandi di sungai jika tiada guru yang hadir untuk mengawasi kegiatan mereka. Jenis dan kualiti arahan guru penting dalam mencegah sesuatu kemalangan daripada berlaku. Keraguan sering timbul apabila arahan yang kabur diberikan kepada pelajar. Sebaliknya, arahan yang jelas, tepat dan menggunakan bahasa yang mudah difahami boleh diterima dengan mudah oleh pelajar.

Peranan in loco parentis guru mewajibkan guru-guru memberikan bantuan rawatan kecemasan bagi merawat pelajar yang tercedera sementara menunggu ketibaan bantuan profesional sebelum di hantar ke hospital berdekatan. Jika bantuan yang diberikan adalah ikhlas dan munasabah, guru tidak perlu bimbang terhadap tindakan dan kesan selanjutnya (Tie, 2002).

            Pelajar akan terdedah kepada risiko kecederaan ketika mengambil bahagian dalam aktiviti ko-kurikulum seperti di kem motivasi ( di luar kawasan sekolah ). Oleh itu, guru khususnya dikehendaki mengambil langkah yang munasabah untuk mengurangkan risiko kecederaan tersebut. Taklimat yang jelas dan tepat tentang risiko kecederaan dalam sesuatu aktiviti harus diadakan (Tie, 2002). Selain itu langkah pencegahan kemalangan juga perlu diambil. Penyeliaan yang cukup, khususnya dalam aktiviti  dan peralatan yang berbahaya.

            Tahap kewajipan berjaga-jaga ditentukan oleh beberapa faktor seperti umur, pengalaman dan tingkah laku lepas pelajar(Tie, 2002). Tahap kewajipan berjaga-jaga  adalah tinggi apabila pelajar keluar dari persekitaran sekolah yang selamat. Pelajar akan terdedah kepada lalu lintas yang sesak dan alam sekeliling yang baru dan tidak biasa. Oleh itu, perancangan awal yang teliti adalah penting dan merupakan komponen asas dalam tugas guru mengiringi rombongan pelajar. Pertimbangan patut diberikan terhadap semua risiko kecederaan dan cara pencegahan yang paling baik. Persediaan harus merangkumi aspek pengangkutan, disiplin pelajar dan pembelian polisi insuran perlindungan secara berkumpulan.

            Kebenaran bertulis daripada ibu bapa wajib diperolehi sebelum guru dibenarkan membawa pelajar keluar dari kawasan sekolah bagi tujuan aktiviti kem motivasi yang ingin dijalankan. Guru dan pihak pentadbir sekolah juga wajib memohon dan mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan mengenai  aktiviti kem yang ingin dijalankan. Maklumat lengkap mengenai lawatan tersebut beserta butir lengkap pelajar mesti dilampirkan bersama borang atau surat permohonan tersebut(Tie, 2002). Selain itu, semasa memohon kebenaran daripada ibu bapa, guru mesti memberikan maklumat yang lengkap dan terperinci berkenaan lawatan itu. Ini bagi membolehkan ibu bapa mengetahui secara mendalam maklumat tentang lawatan tersebut dan seterusnya membuat keputusan sama ada membenarkan anak mereka menyertai kem tersebut (Tie, 2002).

            Guru biasanya menggunakan terma tertentu dalam surat permohonan kebenaran ibu bapa. Salah satu daripada terma yang mungkin dimasukkan ialah pelantikan guru sebagai wakil kepada ibu bapa untuk mendapatkan bantuan ambulans dan perubatan apabila menghadapi suatu keadaan kecemasan. Oleh itu, tindakan guru memberikan maklumat lengkap kepada ibu bapa pelajar tentang lawatan yang akan dijalankan adalah munasabah. Guru juga perlu mendapatkan maklumbalas daripada ibu bapa pelajar mengenai keadaan kesihatan, jenis ubat yang tidak sesuai bagi anak mereka dan masalah kesihatan yang lain, contohnya, alergi kepada makanan tertentu (Tie, 2002). Walau bagaimanapun syarat yang tercatat dalam surat kebenaran yang menyatakan bahawa sekolah terlepas daripada apa-apa tindakan mahkamah sekiranya kemalangan berlaku sebagai satu klausa pengecualian tidak mempunyai kuasa undang-undang. Oleh itu, ibu bapa yang menandatangani surat kebenaran tidak bermakna mereka bersetuju untuk menyerahkan dan seterusnya menghilangkan hak anak mereka untuk mendakwa guru yang telah bertindak cuai.

Guru perlu membawa borang maklumat diri pelajar sewaktu aktiviti dijalankan. Ini adalah bertujuan supaya guru  mudah menghubungi ibu bapa pelajar sekiranya berlaku kecemasan. Guru juga perlu mendapatkan surat arahan dan pelantikan daripada majikan sekiranya diarahkan untuk mengiringi pelajar ke lokasi kem. Ini bertujuan supaya pihak majikan (Kementerian Pendidikan Malaysia) dianggap turut bertanggungjawab terhadap kesalahan pekerjanya dalam suatu tuntutan kes kecuaian melalui prinsip liability vikarius (Tie, 2002).


7.2  GURU BESAR/PENGETUA/PENTADBIR SEKOLAH
Guru Besar harus membuat perancangan yang sewajarnya apabila ingin mengadakan aktiviti kokurikulum di luar kawasan sekolah supaya peristiwa yang tidak diingini dapat dielakkan iaitu tindakan undang-undang oleh pelajar dan ibu bapa ke atas pihak sekolah. Oleh sebab sekolah adalah ‘in loco parentis’, keselamatan pelajar di sekolah adalah tanggungjawab guru dan Guru Besar sekolah selagi mereka berada di dalam kawasan sekolah (Tie, 2002). Adalah menjadi tanggungjawab Guru Besar juga bagi keselamatan pelajar di luar kawasan sekolah apabila pelajar-pelajar mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum di luar.

 Guru Besar perlu merancang mengikut prosedur seperti dalam surat pekeliling yang berkaitan dengan aktiviti kokurikulum iaitu; i) Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 2/1986 Rekod Kedatangan dan Laporan Gerak Kerja Kokurikulum Pelajar; ii) Surat Pekeliing Ikhtisas Bilangan 1/1995 Keselamatan Diri Pelajar Semasa Pengajaran Pendidikan Jasmani & Kesihatan Serta Kegiatan Ko-kurikulum & Sukan Di Dalam dan Di luar Kawasan Sekolah; iii) Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3/1995 Pelaksanaan Skim Takaful Kemalangan Diri Berkelompok Bagi Semua Pelajar Sekolah Kerajaan Dan Bukan Kerajaan; dan iv) Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 9/2000 Panduan Keselamatan Diri Pelajar Semasa Pengajaran Pendidikan Jasmani Dan Kesihatan Serta Kegiatan Kokurikulum Dan Sukan Di Dalam Dan Di Luar Kawasan Sekolah. Dengan adanya pekeliling-pekeliling di atas adalah diharapkan Guru Besar mengambil langkah-langkah proaktif bagi mengelakkan pelajar-pelajar daripada sebarang kemungkinan yang tidak diingini berlaku.
           
Sebelum membuat keputusan untuk mengadakan Kem Motivasi Guru Besar perlulah mendapatkan pandangan dan persetujuan sebulat suara dari semua ahli supaya sesuatu aktiviti itu dapat dilaksanakan dengan jayanya dan mendapat komitmen yang tinggi daripada semua ahlinya. Sewaktu Mesyuarat Jawatankuasa Kem Guru Besar haruslah menyerahkan surat perlantikan jawatankuasa kecil pelaksanaan program Kem Motivasi Tahun Enam ( KEMUDI ) kepada semua guru bagi tujuan penurunan kuasa  melaksanakan tugas masing-masing sewaktu Kem itu berlangsung. Taklimat dan peringatan berkaitan Surat Pekeliling Iktisas Kementerian Pendidikan mengenai keselamatan pelajar perlu diberikan kepada guru-guru sebelum sewaktu mesyuarat jawatankuasa pelaksana program dijalankan. Guru Besar juga perlu memastikan bahawa pembelian polisi insuran perlindungan secara berkumpulan telah dibuat oleh pihak sekolah (Tie, 2002).

7.3 IBU BAPA ATAU PENJAGA
Ibu bapa perlu memastikan menerima maklumat lengkap dan terperinci berkenaan kem sebelum membuat keputusan sama ada untuk membenarkan anak mereka menyertai aktiviti tersebut. Ini membolehkan ibu bapa mengetahui secara mendalam maklumat tentang kem tersebut. Ibu bapa berhak mengetahui sama ada anak mereka akan berada dalam keadaan selamat sepanjang kem tersebut (Tie, 2002). Maklumat terperinci mengenai kem yang diberikan akan membantu ibu bapa menyedari jenis risiko yang wujud dalam sesuatu aktiviti kem. Ibu bapa perlu peka berkenaan perjalanan jadual aktiviti kem supaya dapat hadir tepat pada masanya untuk mengambil anak mereka pulang setelah selesai aktiviti program kem tersebut bagi mengelakkan berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Ibu bapa perlu memastikan terma yang digunakan dalam surat permohonan kebenaran ibu bapa terdapat terma pelantikan guru sebagai wakil kepada ibu bapa untuk mendapatkan bantuan ambulans dan perubatan apabila menghadapi suatu keadaan kecemasan. Ibu bapa juga perlu memberitahu guru maklumat penting mengenai anak mereka seperti keadaan kesihatan, jenis ubat yang tidak sesuai bagi anak mereka dan masalah kesihatan yang lain, contohnya, alahan kepada makanan tertentu (Tie, 2002). Ubat-ubatan perlu dibekalkan kepada anak-anak mereka jika perlu supaya guru boleh bertindak jika berlaku kecemasan.

Ibu bapa perlu memastikan bahawa anak-anak mereka mempunyai insurans perlindungan diri yang disediakan oleh pihak sekolah secara berkelompok. Akhir sekali ibu bapa juga perlu tahu bahawa syarat yang tercatat dalam surat kebenaran yang menyatakan bahawa sekolah terlepas daripada apa-apa tindakan mahkamah sekiranya kemalangan berlaku sebagai satu klausa pengecualian tidak mempunyai kuasa undang-undang (Tie, 2002). Ibu bapa perlu tahu mereka masih mempunyai hak untuk mendakwa guru yang telah bertindak cuai ke atas diri anak mereka.

8.0  KESIMPULAN
Seseorang individu mesti mengambil langkah yang munasabah untuk mengelakkan diri daripada melakukan sesuatu perbuatan yang diramalkan secara munasabah, boleh mencederakan jirannya. Prinsip ini dikenali sebagai ‘prinsip jiran’. Konsep ini merujuk kepada orang lain di mana sesuatu perbuatan itu akan mempengaruhi mereka. Oleh itu, seseorang individu mesti berfikir dan bertindak secara munasabah untuk mengelakkan sebarang kemalangan atau kecederaan. Tanggungjawab perundangan pengetua dan guru dikaitkan dengan kewajipan berjaga-jaga. Langkah-langkah munasabah mesti diambil untuk melindungi pelajar daripada bahaya yang dapat diramalkan. Beberapa aspek yang wajib patut diberikan perhatian serius oleh pihak sekolah (Tronc, 1996). Ini termasuklah;
i.              kesedaran pengetua dan guru mengenai peranan sebagai seorang pendidik;
ii.             mengambil langkah-langkah pencegahan yang munasabah;
iii.    bertindak pada tahap yang lebih cermat melebihi tahap seorang ibu bapa yang dianggap baik;
iv.    sentiasa mengingatkan bahawa tahap berjaga-jaga yang diperlukan adalah tinggi bagi pelajar yang berusia muda;
v.     menyediakan tahap penjagaan yang lebih tinggi apabila sesuatu situasi itu lebih berbahaya; dan
vi.    mengambil kira pengalaman lepas diri sendiri ketika menilai tahap berjaga-jaga yang dikehendaki. Tingkah laku dan kebolehpercayaan pelajar yang lepas adalah signifikan.

Kesimpulannya guru-guru dikehendaki mengambil langkah yang sesuai untuk menjaga keselamatan pelajar yang berada di bawah jagaan dan kawalan mereka. Istilah ‘in loco parentis’ digunakan untuk menghuraikan peranan dan tanggungjawab tersebut. Oleh itu, guru tidak boleh mengelak daripada memikul tanggungjawab ini.

BIBLIOGRAFI

Gordon, H.R.D .(1997). Comparison of the legal knowledge of secondary Vocational and non-vocational school principals. Chicago

Kementerian Pelajaran Malaysia (2007). Surat pekeliling ikhtisas Kementerian Pelajaran Malaysia; kurikulum 1969-2007. Giga Wise Network Sdn. Bhd.; Shah Alam, Selangor.

Mohd. Ismail Othman. (2008). Undang-Undang untuk Pengetua dan Guru Besar (Edisi Ketiga).
Batu Caves : PTS Professional Publishing Sdn.Bhd.

Tie Fatt Hee. (2002). Undang-undang pendidikan di Malaysia. Shah Alam : Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Tie Fatt Hee. (2004). Liabiliti dalam pengurusan pendidikan. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Tronc, K. (1996). You, your school and the law. Brisbane: Fernfawn Publications.

http://www.scribd.com/doc/18224955/ARKIB diakses pada 26 Febuari 2011 ( Sabtu )