Popular Posts

Thursday 5 May 2011

Penulisan Bahagian C

1.0    PENGENALAN
Dalam kertas Bahasa Melayu samaada untuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) atau Penilaian Kemajuan Berasaskan Sekolah (PKBS), karangan adalah merupakan ujian penulisan yang sangat penting.

Penggunaan bahasa yang baik amat penting dalam apa-apa pun bentuk penulisan. Dengan mengguna bahasa yang baik, pembaca akan dapat memahami dan menghayati apa-apa yang dinyatakan di dalam sesebuah karangan dengan jelas. Bahasa yang baik ialah bahasa yang jelas, iaitu dengan menggunakan ayat yang ringkas dan pemilihan kata yang mudah serta tepat.

Sehubungan dengan itu, satu format pentaksiran bagi penulisan Bahasa Melayu telah disediakan bagi menilai sesebuah penulisan yang telah dihasilkan. Format pentaksiran bagi mata pelajaran Bahasa Melayu khususnya penulisan ulasan Bahagian C adalah direkabentuk berdasarkan hasrat dan kandungan kurikulum seperti yang ternyata dalam dokumen rasmi sukatan pelajaran dan huraian sukatan pelajaran. Format pentaksiran ini telah diluluskan pada tahun 2004 dan diaplikasikan mulai UPSR 2005.




2.0    METODOLOGI
Kertas Bahasa Melayu Ujian Penulisan Kod 012 adalah merupakan salah satu daripada kertas Bahasa Melayu yang diuji dalam UPSR. Kertas Bahasa Melayu Ujian Penulisan UPSR adalah bertujuan untuk menguji kemahiran para responden dalam menulis karangan.

Format pentaksiran adalah direkabentuk dengan mementingkan prinsip-prinsip asas pentaksiran, terutamanya aspek keesahan, kebolehpercayaan, kebolehlaksanaan dan penjaminan kualiti. Aspek keserasian dengan kurikulum turut diberi keutamaan. Pentaksiran akan memberi fokus khusus kepada pencapaian objektif mata pelajaran yang merangkumi bidang pengetahuan, kemahiran dan adab serta nilai. Pentaksiran ini juga akan memastikan keseluruhan pentaksiran mempunyai kerelevenan dan kecukupan daripada aspek kandungan sukatan pelajaran.

Terdapatnya perubahan yang amat ketara dalam format pemarkahan apabila pentaksiran dibuat mengikut format terkini. Berbeza dengan format pemarkahan lama, pemberian markah untuk sesebuah karangan mengikut format terkini adalah secara holistik.



3.0    SKEMA PEMARKAHAN BAHAGIAN C
Berdasarkan pentaksiran terkini, responden akan dikategorikan mengikut penskoran yang diperolehi berlandaskan pencapaian cemerlang, baik, sederhana, memuaskan, dan pencapaian tahap minimum. Dalam kategori ini telah diletakkan sempadan markah berdasarkan isi yang dihasilkan oleh responden dengan pentaksiran secara holistik. Penskoran responden akan menurun selepas dikesan jumlah kesilapan tatabahasa yang dibuat. Bahagian C berdasarkan format baru menghendaki responden membuat satu ulasan daripada petikan yang diberi dengan jumlah perkataan tidak kurang daripada 50 patah perkataan dan membawa kepada 20 markah.

Perincian penskoran dapat dilihat pada gambarajah 1.
Panduan Pemarkahan Item Bahagian C
Penskoran
Ukuran Pencapaian(Kriteria)
Cemerlang
(16–20)
  1. Menulis ulasan dengan idea yang jelas dan tepat menggunakan ayat yang gramatis berdasarkan petikan.
  2. Menggunakan pelbagai kata dan kosa kata yang meluas serta sesuai dengan petikan yang diberi.
  3. Penggunaan tanda baca dan ejaan yang betul berdasarkan bahan rangsangan.
  4. Menyatakan lima pengajaran atau nilai murni dengan tepat berserta keterangan atau contoh berdasarkan petikan.
  5. Hanya terdapat satu atau dua kesalahan ejaan dan tanda baca.
Baik
(12-15)
  1. Menulis ulasan menggunakan ayat yang gramatis berdasarkan petikan.
  2. Mengguna pelbagai kata kata dan kosa kata yang sederhana dan sesuai dengan petikan yang diberi.
  3. Menyatakan empat atau lima pengajaran atau nilai murni dengan tepat tetapi kurang keterangan atau contoh berdasarkan petikan.
  4. Terdapat tiga hingga lima kesalahan ejaan dan tanda baca.
Sederhana
(8-11)
  1. Menulis ulasan menggunakan ayat yang gramatis berdasarkan petikan.
  2. Menggunakan pelbagai kata dan kosa kata yang sederhana dan sesuai dengan petikan yang diberi.
  3. Menyatakan empat pengajaran atau nilai murni dengan tepat tetapi tiada keterangan atau contoh yang bersesuaian berdasarkan petikan.
  4. Terdapat tiga hingga lima kesalahan ejaan dan tanda baca.
Memuaskan
(5-7)
  1. Ulasan kurang jelas dan menggunakan ayat yang mudah berdasarkan petikan.
  2. Menggunakan kosa kata yang terhad dan ada yang kurang sesuai dengan petikan.
  3. Terdapat beberapa kesalahan ejaan dan tanda baca tetapi tidak menjejaskan ayat.
  4. Menyatakan dua atau tiga pengajaran atau nilai murni berdasarkan petikan.
Pencapaian Tahap Minima
(0-4)
  1. Ulasan tidak menepati bahan rangsangan yang disediakan.
  2. Penggunaan perkataan atau kosa kata yang terhad serta tidak sesuai dengan bahan rangsangan.
  3. Tidak menguasai kemahiran tanda baca dan ejaan semasa membuat ulasan.
  4. Menyatakan minimum satu pengajaran atau nilai murni daripada bahan rangsangan.
  5. Melakukan banyak kesalahan dan belum menguasai kemahiran menulis atau membaca.
Gambarajah 1: Panduan Pemarkahan Item Bahagian C

4.0    SOALAN PENULISAN BAHAGIAN C
Soalan Bahagian C yang dipilih adalah dari Soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah tahun 2009. Markah yang diperuntukkan ialah 20 markah dengan cadangan masa 20 minit. Soalannya adalah seperti berikut;

Tulis lima nilai yang dapat kamu peroleh daripada petikan di bawah. Panjangnya jawapan kamu hendaklah tidak lebih daripada 50 patah perkataan. Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.

Sahabatku Fadhil,
Tujuan saya menulis warkah ini adalah untuk menceritakan pengalaman saya semasa menyertai lawatan ke Pulau Langkawi anjuran Kelab Bahasa Melayu sekolah saya.

Kami memperoleh ilmu pengetahuan yang banyak. Setiap detik yang dilalui, kami manfaatkan dengan mengunjungi pelbagai tempat bersejarah seperti Beras Terbakar, Makam Mahsuri dan Pantai Pasir Hitam. Ketika menaiki Kereta Kabel Langkawi menuju ke puncak Gunung Machinchang, kami kagum akan keindahan alam semula jadi. Cuacanya sejuk manakala udaranya segar dan nyaman.

Semasa di Pantai Cenang, kami meminta kebenaran untuk mandi tetapi guru pengiring melarang kami kerana ombak besar.Kami akur akan nasihat guru tersebut. Lawatan seterusnya ke ‘Underwater World’, iaitu tempat pelbagai jenis hidupan air dipamerkan. Kami berbaris sebelum masuk untuk mengelakkan kesesakan.

Sebelum pulang kami singgah di pekan Kuah untuk membeli-belah. Saya hanya membeli barang-barang yang perlu sahaja kerana itulah yang dipesan oleh ibu. Saya juga membeli cenderamata untuk kawan-kawan dan keluarga.


5.0    PANDUAN MENGENAL PASTI NILAI DAN PENGAJARAN
Sekiranya responden dapat mengenal pasti perlakuan, frasa atau ayat yang terdapat dalam petikan yang mewakili nilai murni atau pengajaran, responden akan dapat membuat ulasan petikan dengan lebih baik. Panduan mengenal pasti nilai murni atau pengajaran terdapat dalam gambarajah 2 seperti berikut;
Panduan Mengenal Pasti Nilai dan Pengajaran
Pengajaran/Nilai Murni
Contoh Perlakuan/Frasa/Ayat
1. Bertanggungjawab
Menjalankan tugas atau membuat kerja
2. Prihatin
Memberi bantuan atau peka terhad apa yang berlaku
3. Toleransi
Sentiasa bekerjasama, saling memahami dan menghormati
4. Baik Hati
Sedia membantu, bersangka baik
5. Pemurah/Murah Hati
Suka menderma, memberi bantuan
6. Berhemah Tinggi
Mempunyai tingkah laku terpuji: peramah, sopan
7. Penyayang/Kasih Sayang
Memberi hadiah, memelihara haiwan, menasihati
8. Rajin
Menyiapkan tugasan sekolah, mengulang kaji
9. Tekun
Menumpukan perhatian ketika membuat sesuatu
10.Gigih
Tidak mudah putus asa
11.Keazaman/Tekad/Cita-cita
Berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat
12.Jujur/Amanah/Lurus
Memulangkan sesuatu, mengakui kesalahan
13.Ikhlas
Tidak mengharapkan apa-apa, tidak membangga diri
14.Bertolak Ansur
Tidak berkira membuat sesuatu
15.Sepakat
Bekerjasama membuat keputusan dan aktiviti
16.Adil/Saksama
Meletakkan sesuatu yang sama rata dan diterima ramai
17.Bijaksana/Bestari
Kemahiran menggunakan akal, membuat keputusan
18.Rasional/Matang
Bertindak setelah berfikir dan mengikut kesesuaian berkaitan pemikiran
19.Berani
Bercakap benar, bertindak untuk kebenaran dan kebaikan
20.Berdikari
Belajar menguruskan diri, tidak bergantung harap kepada orang lain
21.Patriotik
Cinta akan negara dan tokoh negarawan, kibarkan Jalur Gemilang
22.Jimat Cermat/Berhemah
Menyimpan duit, bawa bekal, guna sumber tenaga apabila perlu
23.Kebersihan
Aktiviti kebersihan fizikal: diri, rumah, sekolah dan alam sekitar
24.Kesihatan
Pemakanan berkhasiat, jumpa doktor, cukup rehat. Aktiviti rekreasi
25.Cinta akan alam semulajadi
Elakkan pencemaran, penggondolan hutan
26.Bekerjasama
Saling membantu/menolong keluarga, rakan dan masyarakat
Gambarajah 2: Panduan Mengenal Pasti Nilai dan Pengajaran
6.0    PANDUAN MEMBUAT ULASAN PETIKAN BAHAGIAN C
Secara keseluruhannya Bahagian C mempunyai satu soalan wajib yang mesti dijawab oleh responden dengan cadangan masa selama 20 minit. Dalam tempoh masa ini responden perlu membuat ulasan tidak kurang daripada 50 patah perkataan. Berikut merupakan tips untuk responden membuat ulasan petikan;
1. Bahagian ini menghendaki responden supaya cekap dalam memahami isi kandungan teks yang diberi dan mahir mengulas isi kandungan teks berkenaan.
2. Responden juga perlu mengulas isi kandungan yang dapat difahami dengan tepat dan jelas.
3. Responden juga dikehendaki menggunakan pelbagai teknik dan kosa kata ketika mengulas intipati teks.
4. Responden juga perlu memberi keutamaan dan penekanan kepada aspek-aspek penulisan seperti;(i)kosa kata, (ii)struktur ayat, (iii) tanda baca, (iv) ejaan, dan (v) kekemasan dan aspek bahan bacaan lain yang sesuai.
5. Responden juga harus dapat mengemukakan dan mengulas nilai-nilai murni serta amalan positif yang terkandung dalam bacaan.
6. Ulasan perlu dibuat dalam satu perenggan sahaja.

Bagi membuat ulasan yang baik seseorang responden itu perlu mengetahui dan mematuhi prosedur tertentu bagi mengawal ulasannya. Gambarajah 3 menunjuk dan menerangkan langkah bijak untuk menjawab soalan di Bahagian C.
Prosedur Bijak Untuk Menjawab Soalan Bahagian C
Prosedur
Aktiviti
1. Faham Soalan
·        Baca soalan dengan teliti – garisi klu
·        Fahami kehendak soalan dan setkan dalam minda
2. Bina Pelan Kerangka
·        Baca teks secara imbasan untuk mengesan maklumat berkaitan
·        Tafsirkan minima empat maklumat menepati kehendak soalan
·        Susun maklumat
3. Bina Ayat/Wacana
·        Bina ulasan dengan memaparkan urutan idea diikuti penjelasan yang mantap
·        Gunakan gaya bahasa kendiri-tidak kurang 50 patah perkataan
4. Semak Hasil Kerja
·        Semak ejaan, tanda baca, imbuhan, idea, dan binaan/struktur ayat-baiki dengan segera
·        Semak juga idea yang dipaparkan agar tidak terpesong
Gambarajah 3: Panduan Menjawab Soalan Bahagian C



7.0    SKEMA JAWAPAN
Berikut adalah skema jawapan yang dicadangkan oleh Cikgu Nordin selaku guru mata pelajaran Bahasa Melayu kelas responden. Beliau juga merupakan Ketua Panitia Bahasa Melayu sekolah kajian juga merupakan pemeriksa kertas Penulisan Bahasa Melayu UPSR.
KATA ULASAN
AYAT DARIPADA PETIKAN
NILAI/PENGAJARAN
KETERANGAN
Kita hendaklah

Kita mestilah

Kita haruslah

Kita perlulah

Akhir sekali, kita haruslah
meminta kebenaran untuk pergi ke sesuatu tempat
berhemah tinggi

dengan
akur akan nasihat guru
hormat
dengan
berbaris sebelum masuk ke sesuatu tempat

berdidiplin

dengan
berjimat cermat dengan membeli barang-barang yang diperlukan sahaja

berjimat cermat

dengan
membeli cenderamata untuk kawan dan keluarga
baik hati
dengan


8.0    PRESTASI KESELURUHAN RESPONDEN
Secara keseluruhannya prestasi responden-responden dalam membuat ulasan petikan adalah baik. Melalui ulasan dapat dikenalpasti responden telah dapat mengenalpasti dan mengeluarkan nilai yang terdapat dalam petikan yang diberi. Ada juga di antara responden dapat menguasai hukum bahasa dengan baik dan dapat mengikut teknik langkah demi langkah dalam membuat ulasan yakni dengan menggunakan kata ulasan – mengenalpasti ayat bernilai yang terdapat dalam petikan – memberikan nilai/pengajaran baru kepada ayat tersebut – memberi keterangan tentang amalan nilai tersebut.
    
Namun demikian, masih terdapat responden yang belum mampu menguasai langkah ketiga dan keempat dengan baik. Faktor inilah yang menjarakkan markah mereka dengan responden yang menguasai kesemua langkah dalam membuat ulasan.

9.0    PRESTASI MENGIKUT KUMPULAN RESPONDEN
Berdasarkan pemarkahan yang dibuat untuk karangan jenis fakta yang diuji, adalah dikenalpasti prestasi mengikut kumpulan responden dapat dikategorikan kepada dua kumpulan sahaja iaitu;
      i.     Kumpulan Cemerlang, dan
    ii.     Kumpulan Baik.

9.1  Kumpulan Cemerlang
Responden dalam kumpulan cemerlang adalah seperti berikut;
BIL
NAMA RESPONDEN
MARKAH
01.
Muhamad Faiz Najmi bin Mohamad Fauzi
20/20
02.
Nabilah binti Hamidon
19/20
03.
Nur Nabilah Aisyah binti Shahrul Anuar
19/20
04.
Fatin Nadhratul binti Iman
18/20
05
Muhd Hafiz Ahnaf bin Hisham
18/20
06.
Nurdania Nisa
17/20

Responden dalam kumpulan ini didapati memahami kehendak soalan dengan mengemukakan nilai yang terdapat dalam petikan dengan mencukupi. Setiap isi dapat diulas dengan mantap beserta dapat memberikan nilai lain kepada nilai yang dikemukakan. Kebanyakan responden dapat membuat ulasan menggunakan gaya bahasa yang menarik serta menguasai hukum bahasa yang baik. Responden juga dapat membuat ulasan yang sempurna dengan bentuk tulisan yang menarik, cantik dan mudah dibaca.

9.2  Kumpulan Baik
Responden dalam kumpulan baik pula terdiri daripada;
BIL
NAMA RESPONDEN
MARKAH
01.
Shaqini bin Ramlan
15/20
02.
Muzammil Musyid bin Muzaiyin
14/20
03.
Nuratikah binti Zaidi
14/20
04.
Nur Ain Izzati binti Ahmad Ramle
13/20

Responden yang berada dalam kumpulan ini, didapati memahami kehendak soalan yang diberi tetapi mengemukakan nilai yang agak terhad. Ulasan yang dibuat juga tidak mantap dan ada yang gagal memberi contoh nilai yang seumpama dalam petikan. Walaupun responden masih mampu memberikan kata ulasan dengan baik namun gaya bahasa yang digunakan adalah dalam kategori baik dan sedikit kurang menarik. Ini menunjukkan responden cuai atau kurang menguasai hukum bahasa di dalam membuat ulasan. Persembahan keseluruhan responden adalah baik terutama tidak mempunyai masalah tulisan sukar dibaca. Walaubagaimanapun, masalah ini boleh diatasi dengan memberi latihan yang berterusan kepada responden.

10.0  PRESTASI TERPERINCI RESPONDEN
Berdasarkan pemarkahan yang dibuat untuk karangan jenis fakta yang diuji, adalah dikenalpasti prestasi terperinci responden dapat dihuraikan seperti berikut;
                i.     Kekuatan Responden,
              ii.     Kelemahan Responden, dan
            iii.     Kesilapan Yang Sering Ditemui.

10.1 Kekuatan Responden
Responden dapat memahami kehendak soalan yang diuji. Mereka dapat menulis ulasan dengan idea yang jelas dan tepat menggunakan ayat yang gramatis berdasarkan petikan. Responden juga dapat menggunakan kata dan kosa kata yang meluas serta sesuai dengan petikan yang diberi. Penggunaan tanda baca dan ejaan yang betul berdasarkan bahan rangsangan juga dapat dikesan dalam kalangan responden ini.

Selain daripada itu, responden juga dapat menyatakan lima nilai dengan tepat berserta keterangan atau contoh yang sesuai seperti yang terdapat dalam petikan. Fakta yang diberikan juga bernas dan menampakkan pemahaman responden terhadap nilai yang hendak diulas. Responden yang cemerlang dapat membuat ulasan mereka dengan bernas mengikut kriteria bahasa yang dikehendaki walaupun terdapat satu atau dua kesilapan kecil.

10.2 Kelemahan Responden
Walaupun responden boleh menulis ayat yang gramatis namun mereka agak lemah dalam memilih perkataan atau kosa kata bagi memastikan ketepatan dan kejelasan maksud atau idea yang hendak disampaikan dalam ulasan mereka. Responden juga gagal mengenalpasti kelima-lima nilai yang terdapat dalam petikan yang diberi. Adapun nilai dinyatakan dengan tepat tetapi respondon gagal pula untuk mengukuhkan ulasan mereka dengan keterangan atau contoh yang bersesuaian seperti yang terdapat dalam petikan.
 
10.3 Kesilapan Yang Sering Ditemui
Antara kesilapan yang sering diulangi oleh responden ialah gagal memberikan keterangan yang lebih tepat atau contoh yang terdapat dalam petikan terhadap nilai yang dikenalpasti dalam petikan. Responden juga didapati sering melakukan kesalahan dalam membina pertautan antara satu ayat dengan ayat yang selepasnya berikutan salah pemilihan kata ulasan sebagai penanda wacana bagi mewujudkan ayat yang lebih gramatis dan bersifat koheren.

11.0  LANGKAH MEMPERBAIKI KESILAPAN DALAM MEMBUAT ULASAN
Langkah bijak untuk menjawab soalan Bahagian C jika diikuti dengan teliti oleh responden akan dapat membantu mereka menghasilkan ulasan petikan yang baik dan menarik. Pada peringkat awalnya, responden perlulah membaca dan memahami kehendak soalan. Dengan mengariskan klu yang terdapat pada soalan akan dapat membuat responden fokus dan faham akan kehendak soalan sebenarnya.
     Seterusnya, responden juga perlulah membuat rangka isi bagi membuat ulasan yang baik. Terdapat empat bahagian yang perlu diberi perhatian semasa membuat rangka isi iaitu;
1. Kata Ulasan
                i.     Tujuan penggunaan kata ulasan adalah untuk pertautan idea ke idea yang lain supaya ada kesinambungan.
              ii.     Mencatat dahulu pelbagai kata ulasan dalam kolum yang disediakan.
            iii.     Tulis sebanyak mana yang terlintas dan kata ulasan yang terakhir sebaik-baiknya gunakan frasa ‘akhir sekali’.
              iv.     Pilih kata ulasan yang sesuai kegunaannya ketika menulis huraian lengkap.

2. Ayat daripada Petikan
                i.     Gariskan atau tanda ayat daripada petikan yang mengandungi unsur-unsur nilai atau pengajaran daripada petikan.
              ii.     Pindahkan ayat tersebut ke dalam kolum yang disediakan dengan lebih ringkas.
            iii.     Ayat daripada petikan ini dapat digunakan sebagai huraian, keterangan atau contoh untuk setiap nilai atau pengajaran yang dikemukakan dalam jawapan.
              iv.     Ayat ini perlu dimasukkan ke dalam kolum untuk memudahkan responden mengamati nilai atau pengajaran yang sesuai untuk dicatatkan.

3. Nilai/Pengajaran
                i.     Nilai atau pengajaran bergantung kepada arahan soalan yang diberi.
              ii.     Nilai atau pengajaran perlu dicatat dengan jelas dalam jawapan kerana ia merupakan perkara utama yang dinilai.
            iii.     Setiap nilai atau pengajaran yang dipilih adalah berdasarkan isu atau tema yang ada dalam petikan. Jika nilai atau pengajaran yang dikemukakan terlalu umum dan tidak berkaitan dengan petikan, maka ia tidak diterima dalam pemarkahan.
              iv.     Setiap nilai atau pengajaran perlua ada huraian dan keterangan ringkas untuk mendapatkan markah pada aras cemerlang.

4. Keterangan
                i.     Senarai sekurang-kurangnya tiga hingga lima kata hubung.
              ii.     Tujuan kata hubung ini adalah untuk merangsang responden memberi huraian, keterangan atau contoh setiap nilai atau pengajaran yang ditulis.
            iii.     Pilih kata hubung yang sesuai ketika membuat huraian, keterangan atau contoh kepada setiap nilai atau pengajaran yang ditulis.
              iv.     Pastikan setiap huraian, keterangan dan contoh adalah berdasarkan petikan sepenuhnya.

12.0  PENUTUP
Karangan merupakan salah satu kemahiran yang amat penting dalam mengajar kemahiran menulis. Oleh itu, guru bahasa mestilah mengajar penulisan karangan kepada semua responden secara berkesan mengikut tahap atau peringkat pencapaian responden. Penggunaan bahasa yang baik adalah amat penting dalam sebarang bentuk penulisan.

Oleh itu, dalam menghasilkan sebuah karangan yang menarik banyak perkara yang perlu ditekankan dan dititikberatkan. Karangan yang baik mestilah melibatkan beberapa aspek kemahiran seperti kemahiran kognitif dan linguistik serta aspek mekanis, proses, dan pembaca. Dalam hal ini, guru perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan ilmu linguistik kerana mengajar karangan melibatkan semua aspek bahasa seperti sintaksis, fonetik dan fonologi, semantik, pragmatik, serta ilmu-ilmu yang boleh membantu seperti sosiolinguistik, psikolinguistik dan bidang analisis kesalahan bahasa.

Dalam usaha menghasilkan karangan yang baik, seringkali wujudnya masalah di mana penulis masih melakukan kesalahan dalam penulisan karangan. Di antara kesalahan yang kerap dilakukan ialah imbuhan, tanda baca dan juga ejaan. Selain itu faktor sikap guru juga memainkan peranan dalam meningkatkan keberkesanan pengajaran pembelajaran di dalam bilik darjah. Pengajaran guru seharusnya dinamik dan menarik untuk menarik minat responden terhadap pengajaran yang disampaikan.

Oleh yang demikian, dengan menggunakan bahasa yang baik dan idea-idea yang bernas dalam sesebuah karangan, pemeriksa akan dapat memahami dan menghayati maksud yang hendak disampaikan oleh responden di dalam karangan yang ditulis mereka itu.













BIBLIOGRAFI

Dayang Mahani dan Saleh Ahmad.(2001). UPSR - Karangan dan surat kiriman Tahun 4, 5 & 6. Petaling Jaya: Sasbadi Sdn. Bhd.

Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia (2003). Laporan prestasi UPSR. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Nur Azizul dan Mohamed Safari (2010). Modul penulisan Bahasa Malaysia (Kertas 2 – Bahagian A, B dan C). Subang Jaya: Penerbitan Ilmu Bakti Sdn. Bhd.

PPK Kementerian Pendidikan Malaysia (2003). Buku aktiviti Bahasa Melayu Tahun 5 sekolah kebangsaan. Kuala Lumpur:

Zainol Ismail (2000). Fokus jingga – Contoh karangan UPSR. Johor Bahru: Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment