Popular Posts

Wednesday 11 May 2011

Ulasan Jurnal; Kesan Penyeliaan Pihak Pengurusan Terhadap Kecemerlangan Kerja Guru. By Laily


1.0          PENGENALAN
Perbincangan artikel adalah terhadap perkaitan antara kecemerlangan kerja guru dengan penyeliaan yang dijalankan oleh pihak pengurusan sekolah termasuklah Pengetua/Guru Besar dan Guru-guru Kanan yang telah diturunkan kuasa oleh Pengetua/Guru Besar.  Dewasa ini peranan guru dilihat sangat signifikan dalam membentuk generasi akan datang. Ini bermakna profesion perguruan yang berkualiti mampu menjana dan mengubah paradigma serta perilaku mereka. Sebab itu, profesion perguruan yang mantap dan berkesan perlu diwujudkan agar aspirasi untuk memartabatkan profesion ini menjadi kenyataan.
            Keperluan kepada tahap pendidikan berkualiti menuntut perubahan dalam kalangan guru. Sebab itu, guru seharusnya sedar akan hakikat tuntutan itu dan bersedia menyahut cabaran ke arah memartabatkan profesion keguruan di negara ini. Maka, di sinilah letaknya peranan dan kecemerlangan guru dalam memastikan kecemerlangan pelajar dalam sesebuah institusi pendidikan. Justeru itu, penyeliaan oleh pihak pengurusan sekolah amat perlu dalam memastikan kecemerlangan kerja guru secara berterusan.
Dengan adanya penyeliaan akan dapat membantu guru menyelaraskan aktiviti pengajaran dan merangsang guru untuk mencapai prestasi kerja yang cemerlang. Secara tidak langsung penyeliaan turut membantu guru membina kemahiran dalam perancangan pengajaran dan memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar. Hakikatnya menurut penulis, penyeliaan secara berterusan akan dapat meningkatkan kualiti pengajaran guru dan memperbaiki kelemahan guru dalam proses pengajaran.
    
2.0          PEMAHAMAN TERHADAP KONSEP PENYELIAAN
Sejarah perkembangan dan kesedaran tentang keperluan penyeliaan di Malaysia bermula hasil Laporan Pelajaran Tinggi di Malaya (1939), Laporan Bornes (1951) dan Laporan Razak (1956) yang menyarankan penubuhan Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan yang berfungsi sebagai badan professional yang bebas, bertanggungjawab memeriksa sekolah-sekolah dan menyelia pengajaran di seluruh negara  (Mak Soon Sang, 2006). Penyeliaan ketika itu  berfungsi sebagai pendekatan untuk memeriksa sekolah, memerhati aktiviti-aktiviti di sekolah dan pembelajaran (seksyen 96a Akta Pelajaran 1961). Secara ringkasnya fungsi penyeliaan ketika itu ialah ‘penyeliaan adalah pemeriksaan dan penyelia adalah pemeriksa.’
Namun demikian perubahan secara dinamik dalam sistem pendidikan di Malaysia kini telah mewujudkan suatu matlamat baru dalam pendidikan yakni ‘Pendidikan Berkualiti Untuk Semua’. Untuk mencapai matlamat tersebut Kementerian Pelajaran Malaysia telah menyarankan bahawa semua sekolah perlu menjadi sekolah berkesan. Menurut Mortimore (1995), sekolah berkesan dimaksudkan sebagai sekolah di mana murid-muridnya mencapai keputusan yang menyamai atau melampaui jangkaan. Antara ciri-ciri yang perlu ada pada sekolah berkesan menurut Mortimore (1995) ialah penumpuan terhadap pengajaran dan pembelajaran dan pemantauan kemajuan sekolah.
Selaras dengan pandangan Mortimore (1995), Penyeliaan pengajaran dilihat sebagai salah satu usaha penting dalam memantau keberkesanan pengajaran di sesebuah sekolah. Ini bertujuan memastikan guru-guru dapat memperkembangkan potensi diri dan mengatasi sebarang kekurangan sekiranya ada. Penyeliaan pengajaran yang dilihat sebagai usaha mendorong, menyelaras dan membimbing guru-guru dalam hal pengajaran supaya mereka terus mampu berfungsi sejajar dengan perkembangan semasa. Kenyataan ini disokong oleh Boardman, Douglas dan Bent (1953) dalam Ramaiah (1995) yang menyatakan bahawa penyeliaan sebagai satu usaha untuk mendorong dan membimbing guru dalam hal pengajaran supaya guru-guru lebih berupaya meningkatkan kebolehan guru-guru dalam mendorong dan membimbing perkembangan berterusan pelajar ke arah penyertaan cergas dan efektif.
Pemantauan dan penyeliaan yang sistematik adalah merupakan salah satu ciri penting yang perlu ada di sekolah berkesan. Pemantauan dan penyeliaan ini adalah untuk memastikan core business, pengajaran dan pembelajaran berjalan sebagaimana yang dirancang. Menurut Conrath N. (1983), tujuan pemantauan atau penyeliaan adalah untuk memperbaiki lagi mutu pengajaran. Untuk melaksanakan aktiviti ini dengan berkesan, pengetua atau penyelia seharusnya menguasai pengetahuan dan kemahiran teknikal khusus dalam bidang kurikulum pengajaran, pengesanan dan penilaian serta juga hubungan manusia. Kecekapan pengetua dalam melakukan penyeliaan atau pemantauan membolehkannya membuat diagnosis masalah pendidikan, membantu guru untuk memajukan kecekapan dan amalan mereka dalam melaksanakan pengajaran (Glickman, 1985).

3.0          TEORI KLINIKAL
Model Penyeliaan Klinikal adalah satu penyeliaan secara langsung yang boleh dilakukan oleh penyelia yang melibatkan pengetua atau guru besar bagi membantu menyelesaikan masalah pengajaran pembelajaran. Penyeliaan Klinikal hanya dapat dijalankan  sepenuhnya apabila mendapat kerjasama atau timbul persefahaman di antara kedua pihak yang boleh mencapai ke arah perubahan positif sepanjang proses penyeliaan berjalan.

 Model  Penyeliaan Klinikal amat mementingkan perkara-perkara yang telah dipersetujui antara penyelia dan guru untuk memperbaiki kelemahan, mempertingkatkan kemahiran  sedia ada melalui perbincangan dan maklumbalas berlandaskan kriteria-kriteria yang dipersetujui. Menurut Cogan (1973) dan Goldhammer (1969), model ini mengandungi program persendirian mengambilkira rupabentuk putaran kegiatan yang melibatkan lima langkah yang perlu diambil oleh penyelia dan guru iaitu; (1) Persidangan pra-pemerhatian (Pre Observing Planning Conference); (2) Pemerhatian di bilik darjah (Classroom Observation); (3) Analisis selepas pemerhatian (Post Observation Analysis); (4) Perbincangan selepas pemerhatian (Post Observation Conference); dan (5) Analisis selepas perbincangan (Post Conference Analysis).

Menurut Alimuddin Mohd Dom (2006:17), penyeliaan atau pemantauan klinikal ini dilaksanakan melalui empat peringkat :

a) Prapemantauan/penyeliaan
Sebelum penyeliaan/pemantauan dilakukan, pengetua atau guru besar akan mengadakan perbincangan dengan guru untuk melihat aspek-aspek yang berkaitan iaitu dari segi objektif, tajuk, pendekatan pengajaran dan jangkaan outcome yang akan dicapai melalui pengajaran yang akan dilaksanakan. Di samping itu latar belakang tahap kebolehan pelajar juga turut dibincangkan supaya penyeliaan/pemantauan mendapat gambaran awal.

b) Pemantauan/penyeliaan
Proses penyeliaan/pemantauan dilakukan di bilik darjah; guru besar/pengetua kebiasaannya akan duduk di suatu sudut belakang bilik darjah. Kaedah, teknik dan cara pengajaran guru dan pembelajaran pelajar menjadi fokus utama penyeliaan/pemantauan. Catatan akan dibuat semasa pemantauan iaitu menekankan dari segi kekuatan dan kelemahan guru. Pengetua dan guru besar hendaklah menurunkan keupayaan dan kebolehan diri mereka sesuai seperti seorang pelajar yang ada di bilik darjah berkenaan. Apa yang perlu dilihat ialah dari segi pengajaran, ilmu yang disampaikan, kejelasan suara, penggunaan alat bantu mengajar, kawalan bilik darjah, memahami apa yang disampaikan dan pelajar-pelajr mendapat pengetahuan serta kemahiran daripada pengajaran guru tersebut.

c) Analisis
Proses ini dilakukan oleh pengetua dan guru besar yang akan membuat refleksi dan merangka kesimpulan daripada proses pengajaran dan pembelajaran tersebut bersama guru. Catatkan segala kekuatan dan kelemahan yang ada pada diri guru, teknik penyampaian, ilmu yang disampaikan, penerimaan pelajar dan jangkaan yang ingin dicapai. Penggunaan alat video dan perakan kadang-kadang boleh membantu dalam membuat sesuatu analisis.

d) Pascapemantauan/penyeliaan
Pengetua/guru besar dan guru bertemu bagi membincangkan analisis yang telah dibuat dan memberikan cadangan penambahbaikan yang perlu dilakukan. Pada peringkat ini, kekuatan dan kebolehan guru besar diperlukan bagi membimbing dan memandu anak buahnya. Guru-guru yang didapati mempunyai kelebihan dalam cara penyampaian dan pengajaran boleh dijadikan sebagai penanda aras untuk menjadi contoh kepada guru lain terutama guru baru.

Seterusnya Alimuddin Mohd Dom (2006:59) menyatakan kaedah pengurusan dalam organisasi pembelajaran yang paling berkesan ialah melalui aktiviti penyeliaan/pemantauan dan pencerapan yang kerap dan selalu dilakukan oleh guru besar terhadap guru-gurunya. Dengan melihat dan menyelia/memantau sendiri pengajaran guru di bilik darjah akan memberi peluang kepada kepimpinan sekolah mengetahui tahap keupayaan dan kebolehan guru-guru serta memudahkannya mengambil tindakan penambahbaikan. Maklumat mengenai keupayaan dan kebolehan guru tersebut membolehkan guru besar menyediakan program yang sesuai bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka. Penyeliaan/pemantauan dan pencerapan hendaklah dijadikan amalan kebiasaan dan budaya di sekolah di mana guru besar serta guru-guru kanan terlibat secara langsung dalam aktiviti ini. Apabila aktiviti telah menjadi amalan dan budaya di sekolah, guru-guru tidak akan berasa bimbang dan mereka sentiasa bersedia untuk dipantau atau dicerap pada bila-bila masa.
4.0          AMALAN PENYELIAAN OLEH PENGETUA/GURU BESAR

Melalui SPK Bil. 3/1987, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menegaskan bahawa selain sebagai pemimpin profesinalisme, pengurus dan pentadbir, pengetua atau guru besar bertanggungjawab memastikan kejayaan pelaksanaan kurikulum di sekolahnya. Dengan kata lain pengetua atau guru besar bertanggungjawab memastikan proses di mana guru mengajar dan murid belajar terus berjalan di sekolahnya tanpa gangguan. Bagi memastikan matlamat ini terlaksana maka pengetua atau guru besar disaran menjadikan penyeliaan pengajaran pembelajaran terhadap guru menjadi perkara utama dalam senarai tugas dan tanggungjawab mereka.

            Penyeliaan yang dijalankan seharusnya dapat mewujudkan suasana yang sihat dan berkesan. Sehubungan dengan itu Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewujudkan suatu garis panduan bagi melaksanakan tugas penyeliaan dalam kelas. Penyeliaan pengajaran dan pembelajaran hendaklah difokuskan kepada dua bidang iaitu bidang organisasi dan bidang pengajaran dan pembelajaran. Ciri-ciri organisasi yang perlu diberi perhatian dalam bilik darjah ialah iklim bilik darjah itu sendiri meliputi organisasi bilik darjah, kawalan murid oleh guru, komunikasi, motivasi, sikap murid, kebersihan serta perhiasan, penyeliaan pekerja, penilaian prestasi, profil murid dan panitia mata pelajaran. Manakala bidang pengajaran dan pembelajaran pula meliputi rancangan pengajaran seperti objektif, isi kandungan, teknik bersoal jawab, interaksi guru murid dan pengurusan masa. Sekiranya semua perkara di atas diambil kira dan diberi perhatian oleh pengetua atau guru besar dalam proses penyeliaan mereka dan dilakukan secara berkala dan berterusan, sudah pastilah akan mempengaruhi kecemerlangan kerja guru.
           
            Perlu diingat amalan penyeliaan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah perlu dijalankan secara sistematik dan berlandaskan kepada hubungan profesionalisme dengan guru-guru dan bukan untuk mencari kesalahan guru. Amalan penyeliaan terhadap guru juga hendaklah bertujuan untuk meningkatkan perkembangan profesionalisme para guru. Di samping itu juga, amalan penyeliaan bertujuan untuk memperbaiki atau memajukan lagi kualiti pengajaran guru serta memperbaiki kelemahan mereka. Untuk berbuat demikian, adalah menjadi tanggungjawab pengetua atau guru besar sebagai pemimpin pengajaran menjalankan penyeliaan atau pencerapan bercorak klinikal, sokongan, membina sama ada secara formal atau tidak formal dan formatif.

            Sekiranya amalan penyeliaan terhadap guru dibuat secara sistematik dan bermakna, prestasi pengajaran dapat dipertingkatkan. Mengikut pendapat Neidermeyer (1987) pula, penyeliaan yang berfokus kepada pencapaian pelajar, iaitu hasilan yang telah ditetapkan dan dipersetujui bersama serta bukan berfokuskan kepada proses, boleh meningkatkan hasil pembelajaran. Justeru itu, kesan tingkah laku guru terhadap pengajaran dan pembelajaran dapat juga dipertingkatkan. Ini melibatkan kebolehan mengdiagnosis masalah pendidikan, membantu guru untuk memajukan kecekapan atau amalan mereka dalam melaksanakan pengajaran dan penyeliaan yang berkesan sama ada dalam bentuk umum atau klinikal. Menurut Martin ct. al. (1976) yang telah mengkaji keberkesanan penyeliaan, melaporkan bahawa guru yang terlibat dalam amalan penyeliaan berkaitan dengan matlamat (goal-related) telah mengubah tingkah laku mereka secara positif.  
           

5.0          PERUBAHAN ATAU INOVASI DALAM PENYELIDIKAN

Menurut hasil kajian penulis mendapati bahawa kecemerlangan kerja guru ada berkaitan dengan proses penyeliaan dan pencerapan yang dilakukan oleh pihak pengurusan sekolah. Oleh itu, kadar penyeliaan yang tinggi dapat meningkatkan lagi prestasi akademik di sekolah. Justeru, penyeliaan dan pencerapan oleh pihak pengurusan amat perlu dan ia perlu diteruskan serta dijalankan dengan telus dalam memastikan kecemerlangan kerja guru. Malah, penyeliaan dan pencerapan oleh pihak pengurusan akan dapat meningkatkan kualiti pengajaran guru dan memperbaiki kelemahan dalam proses pengajaran.

            Hasil kajian juga mendapati faktor latar belakang guru yang mempunyai kelulusan yang diiktiraf dari segi akademik dan kelulusan ikhtisas yang melayakkan mereka menyandang jawatan sebagai pendidik turut juga membantu ke arah kecemerlangan kerja guru. Di samping itu, pengalaman dan kemahiran dalam bidang tertentu turut membantu guru menguasai mata pelajaran yang diajar serta menarik minat pelajar untuk belajar. Namun jika penyeliaan yang berterusan oleh pihak pengurusan sekolah dilakukan, ia akan dapat membantu guru membina kemahiran dalam perancangan dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran serta menghadapi masalah pengajaran dan pembelajaran.

            Malah bukan itu sahaja, hasil kajian penulis juga mendapati walaupun guru sibuk terlibat dalam pelbagai aktiviti kokurikulum seperti persatuan, kelab, unit beruniform dan sukan serta permainan, tetapi guru tetap memberi keutamaan kepada akauntabiliti mereka iaitu pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Ini jelas menunjukkan bahawa kejayaan penyeliaan terhadap guru turut dipengaruhi oleh peranan pengetua atau guru besar dalam meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran serta memupuk nilai murni dan sikap positif dalam kalangan pelajar.

            Seterusnya juga, melalui hasil kajian didapati kecemerlangan hasil kerja guru dapat dipertingkatkan apabila guru menggunakan strategi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dan sentiasa membuat perancangan serta menguasai subjek pengajaran. Malah peranan penyeliaan oleh pihak pengurusan sekolah turut membantu meningkatkan kecemerlangan dan profesionalisme guru serta pelajar.

            Jika dilihat dalam hasil kajian Nazaruddin dan rakan-rakan (1992), mendapati guru-guru menjangkakan penyeliaan dapat membantu mereka untuk mengajar dengan lebih berkesan serta melicinkan tugas-tugas pengajaran. Jangkaan guru ini hanya akan dicapai jika pengetua atau guru besar  yang menjalankan penyeliaan mempunyai kepimpinan pengajaran yang tinggi dan memiliki pengetahuan serta kemahiran yang lebih baik daripada guru yang diselia.

            Namun demikian, menurut Radi (2007) sistem penyeliaan pengajaran dan pembelajaran yang diamalkan sekarang menimbulkan perasaan cemas dan resah dalam kalangan guru-guru. Penyeliaan oleh pengetua atau guru besar serta wakil yang diberi kuasa menurut Hashim (2000) bersifat hanya kadang-kadang menyelia di dalam bilik darjah dan menyemak buku rekod persediaan mengajar sahaja. Aspek meningkatkan profesionalisme guru kurang diberi penekanan. Menurut Ramaiah (1999), guru-guru dikatakan berasa ragu-ragu terhadap kebolehan, kemahiran dan kepakaran penyelia untuk melakukan penyeliaan tambahan pula persepsi guru yang penyeliaan adalah suatu penilaian terhadap prestasi kerja guru. Manakala pentadbiran sekolah menganggap penyeliaan satu perkara rutin sahaja.

            Sebab itu, beberapa cadangan penambahbaikan telah disarankan oleh Radi (2007) bagi mempertingkatkan kecekapan dan kemahiran penyelia-penyelia dalam melaksanakan tugas mereka. Kefahaman guru-guru dan murid-murid terhadap tujuan sebenar penyeliaan pengajaran dilakukan perlu ditingkatkan. Antara cadangan tersebut ialah (1) kualiti penyeliaan dalam kalangan penyelia perlu dipertingkatkan dengan memberikan pemahaman mendalam terhadap setiap peringkat proses penyeliaan secara klinikal seharusnya dilakukan; (2) konsep penyeliaan pengajaran harus benar-benar difahami oleh semua pihak yang terlibat; penyelia, guru dan pelajar bagi memastikan masing-masing dapat memainkan peranan ke arah mewujudkan satu sistem penyeliaan yang lebih sistematik dan berjaya; (3) penyelia harus benar-benar faham keseluruhan konsep dan proses penyeliaan untuk disampaikan kepada guru-guru; (4) program penyeliaan berjadual perlu diberi perhatian serius dan dilaksanakan secara berterusan bagi mengelakkan unsur bias dalam penyeliaan; (5) penyelia juga perlu bersifat sebagai pemimpin pengajaran di mana beliau perlu mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang apa yang hendak diselia agar dapat dijadikan sebagai pakar rujuk oleh guru-guru; dan (6) penggunaan instrument bagi merekod hasil penyeliaan perlu dikaji semula. Angka atau skor yang tercatat dalam boring pelaporan penyeliaan akan dilihat sebagai satu [enilaian atau pengredab dalam kalangan guru-guru. Keadaan ini menimbulkan tanggapan yang kurang selesa. Bagi tujuan itu instrument yang bersifat lebih terbuka dan mesra guru perlulah digunapakai.

6.0       KESIMPULAN

Tanggungjawab utama pengetua atau guru besar sebagai pengurus kurukulum adalah menjamin proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar dan berkesan. Pelbagai kaedah dan pendekatan yang sistematik digunakan untuk mencapai matlamat tersebut. Daripada menyemak buku rekod mengajar, buku latihan murid sehinggalah kepada penyeliaan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Pelaksanaan proses penyeliaan ini telah ditegaskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia melalui SPK Bil. 3/1987. Walaupun pelbagai model atau pendekatan penyeliaan bebas digunapakai oleh pengetua atau guru besar, namun jika dilihat kepada objektif penyeliaan yang disarankan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sebagaimana yang disebut dalam kerangka kajian, maka pendekatan klinikal dilihat paling relevan.

Maka, secara keseluruhan daripada dapatan kajian penulis bolehlah disimpulkan bahawa penyeliaan merupakan satu daripada tugas rutin dalam bidang kurikulum yang dilaksanakan di sekolah. Penyeliaan pengajaran yang dijalankan secara bersama dengan guru ialah kunci kepada keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah dan sekolah. Ini berdasarkan hakikat bahawa guru yang terlibat dalam amalan penyeliaan berkaitan dengan matlamat biasanya akan mengubah tingkah laku mereka secara positif. Dalam konteks ini, penyeliaan pihak pengurusan terhadap pihak yang diselia iaitu guru merupakan satu usaha ke arah meningkatkan kebolehan warga pendidik menghadapi cabaran dunia pendidikan dalam era globalisasi.


BIBLIOGRAFI

Alimuddin Mohd Dom (2006). Kepimpinan instruktional : Peranan pengetua dan guru
besar dalam meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Putrajaya : Sektor Penaziran Kepimpinan Institusi Pendidikan.

Faridah dan rakan-rakan (2005). Kesan penyeliaan pihak pengurusan terhadap kecemerlangan kerja guru di SM Teknik, Kluang. Seminar Pendidikan, Fakulti Pendidikan; Universiti Teknologi Malaysia.

Nor Ashikin Dr. dan Azizan (2006). Organisasi pembelajaran sebagai satu faktor keberkesanan sekolah. Kajian Kes.

Radi Yahya (2007). Amalan penyeliaan pengajaran terhadap guru-guru sains di sekolah menengah daerah Muar, Johor. Tesis; Universiti Teknologi Malaysia.

Ramiah (1986). Penyeliaan kIinikal satu pendekatan terhadap pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kertas Kerja Persidangan Tahunan Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan: RECSAM  Pulau Pinang, 9 hingga 19 November, 1986.

No comments:

Post a Comment