Popular Posts

Monday 18 July 2011

Konvo UPSI Julai 2011

Akhirnya sampai juaku ke penghujungnya...biar pun masa terasa sangat lama...terpaksa menempuh pelbagai rintangan...akhirnya aku berjaya jua mengengam segulung ijazah...alhamdulillah, tq Allah. Semoga ia menjadi pendorong kepada anak-anakku agar buat yang lebih baik daripada ibu....sahutlah cabaran ya ^__^...

Ini anak bongsuku...masaku tinggalkan dia untuk sambung belajar dia baru berusia 6 tahun n kini dia dah pun 9 tahun...tadika masa tu n kini dah tahun 3...tiap minggu dia sedih je kat sekolah masa tu...itu kata cikgunya padaku...setiap kali aku hendak balik ke rumah sewa, setiap kali itu jugalah dia menitiskan air mata sedih...namun hati ibu ini terpaksa dikuatkan bagi meneruskan perjuangan yang masih berbisa...

Ini anak sulongku Farah Nadzey...hehehe...nadzirah actually....masa aku sambung belajar dia form two n kini form 5...kakak as her panggilan manjanye...baguslah kakak boleh berdikari...sepanjang ibu belajar kakak banyak bantu diri sendiri yang ibu dapat beri pun cuma sokongan n iringan doa...alhamdulillah...lagi pun kakak di asrama, so monitarnye seminggu sekali je...itulah masa hujung mingguku habiskan...mana curi2 belajar, tumpuan pada anak2...semuanye tanggungjawabku yg berbaloi kini...alhamdulillah n tqvm Ya Allah.
Adik, Farah Nasyitah my no. 2....harapanku masaku tiada...banyak membantu ketikaku tiada di rumah...kadang2 terpaksa ajar my no.3 bila nak test tapi ibu tiada di rumah....terima kasih adik kerana banyak bantu ibu di rumah...now ibu r back...ibu nak u buat yang terbaik 4 ur SPM ya, sayang...kini masa utk ibu bayar balik segala yang ibu terabai dengan adik dulu...ibu luv u so much.....

Buat suamiku yang tersayang...terima kasih kerana sangat memahami n selalu memberi dorongan, perangsang n kadang2 kaunselor padaku jugak bila kekadang aku leka, bosan n macam putus asa...sangat terhutang budi juga kerana bersusah payah membahagi masa utk kerja, urus anak2 n masak2 utk kami sekeluarga bila kekadang ibu leka dgn kerja kursusku n masa exam juga...besar sungguh pengorbananmu suamiku...apa tidaknye dari tak pandai masak hingga sekarang anak2 dah kurang ngan masakanku...sikit2 minta babah masak tu n ini...:) ibu tumpang sekaki...hehehe...tqvm yang...luv u so much...muah.


Inilah kebanggaanku...terima kasih semua atas setiap pengorbanan kalian...hanya Allah yang akan membalas setiap pengorbanan kalian...ibu sentiasa mendoakan yang terbaik buat semua....tanpa kalian tiada ertinya sebuah kejayaan bagi ibu...

tunggu kisah di sebalik kejayaanku ini....


CONTOH ULASAN JURNAL by Laily

1.0          LATAR BELAKANG
Jurnal ini merupakan hasil kajian dan kertas cadangan oleh Mohd. Azhar Abd. Hamid, Sanitah Mohd. Yusuf, Esa Khalid dan Othman A. Kassim dari Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia, Universiti Teknologi Malaysia terhadap kepentingan kreativiti, invensyen dan inovasi untuk dijadikan satu mata pelajaran di peringkat sekolah menengah. Perbincangan dalam jurnal ini adalah untuk memberi gambaran yang jelas kepada kumpulan sasarnya tentang pentingnya kreativiti, invensyen dan inovasi dibangunkan sebagai satu mata pelajaran bagi membangunkan sumber daya manusia Malaysia yang berdaya saing, berfikiran saintifik dan kreatif serta lengkap dengan kebolehan bagi menyelesaikan sebarang masalah. Cadangan ini juga telah disokong oleh penulis dengan memberikan rasional-rasional kepada keperluan untuk mata pelajaran kreatif, invensyen dan inovasi ini dibangunkan. Penulis juga telah memberikan cadangan kumpulan sasar, objektif dan isi kandungan bagi mata pelajaran ini untuk dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

2.0          SASARAN PEMBACA
Berdasarkan kepada tajuk fokus kajian dan kertas cadangan jurnal ini adalah ditujukan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai pembuat dasar dan yang terlibat secara langsung terhadap perubahan kurikulum dalam sistem pendidikan di Malaysia. Idea ini kemudiannya dibuka kepada semua untuk dibincang dan dibahaskan bagi melihat keperluan sebenar kemahiran kreativiti, invensyen dan inovasi menjadi suatu mata pelajaran di peringkat sekolah menengah di Malaysia.
3.0          RUMUSAN JURNAL
Secara keseluruhannya jurnal ini cuba menyedarkanan semua tentang kepentingan kreativiti, invensyen dan inovasi dibangunkan untuk kemajuan bangsa Malaysia serta kemampuan masyarakat Malaysia untuk bersaing dengan negara luar yang telah lama membangunkan kreativiti, invensyen dan inovasi ini. Menurut penulis lagi, walaupun terdapat kejayaan dan pengikhtirafan luar terhadap kreativiti dan mengakui tentang kehebatan anak Malaysia yang mempunyai invensyen dan inovasi terhadap permasalahan berkisar kehidupan seharian seperti ‘Lat’ (menerima anugerah berprestij di Perancis atas kreativiti, invensyen dan inovasi beliau), namun pada hakikat sebenarnya kreativiti, invensyen dan inovasi masih belum benar-benar dimasyarakatkan dan masih belum sebati dalam masyarakat Malaysia. Keadaan ini berbeza berbanding dengan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Jerman, Perancis dan beberapa negara Asia seperti Korea Selatan dan Singapura yang sangat memandang berat terhadap mata pelajaran kreativiti, invensyen dan inovasi dalam sistem pendidikannya. Saban tahun, negara-negara ini akan menganjurkan pelbagai pertandingan yang berasaskan kepada kreativiti, invensyen dan inovasi.
            Menurut penulis lagi, walaupun terdapat kesedaran dan usaha-usaha gerakan literasi kreatif dengan memberi penekanan terhadap mata pelajaran kemahiran berfikir secara kreatif atau secara lateral seperti (1) oleh Universiti Utara Malaysia dalam tahun 80-an di peringkat pengajian tinggi sehingga menular ke universiti-universiti lain sehingga memungkinkan Institusi Pendidikan Tinggi ketika itu memperkenalkan mata pelajaran yang berkaitan dengan kemahiran berfikir seperti mata pelajaran elektif iaitu Pemikiran Kritis dan Kreatif (UHP 3122); (2) Begitu juga dengan MARA yang telah memperkenalkan kemahiran pemikiran kritis ke seluruh institusi pendidikan MARA pada awal 90-an; (3) Ini diikuti pula oleh Kementerian Pelajaran Malaysia yang memperkenalkan pendekatan mengajar kemahiran berfikir kritis dan kreatif (KBKK) dalam sukatan di sekolah sehingga Pusat Perkembangan Kurikulum membuat penyebatian kemahiran ini dalam hampir semua mata pelajaran yang diajar dan membawa kepada penerbitan buku panduan bagi menjalankan kemahiran berfikir kritis dan kreatif ini di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah; (4) Pelbagai seminar, persidangan dan kolokium berkaitan kemahiran berfikir juga telah dianjurkan di peringkat university. Namun begitu, konsep KBKK yang diperkenalkan itu lebih menumpukan kepada empat elemen iaitu pemikiran kreatif, pemikiran kritis, penyelesaian masalah dan membuat keputusan (Lee, 1933). Pendekatan penyebatian (infusion) ini juga lebih mementingkan penglahiran idea-idea konseptual berbanding idea-idea praktikal (Ainon dan Abdullah, 1997).
            Maka sebab itulah, penulis melihat keperluan dan memberi cadangan kepada suatu mata pelajaran baru yang perlu diperkenalkan melibatkan kreativiti, invensyen dan inovasi di peringkat sekolah menengah. Penulis juga telah memberi rasional kepada cadangan mata pelajaran ini iaitu dengan melihat kepada sejarah perkembangan bentuk sistem pendidikan yang digunapakai; (1) bermula dengan pendominasian sistem pendidikan oleh pendekatan kepintaran (intelligent) yang diperkenalkan oleh Binet dan Terman (1060-an). Pada masa ini sistem pendidikan lebih berorientasikan kepada dinamika kepintaran dari peringkat prasekolah sehingga ke institusi pengajian tinggi.
Namun begitu menurut penulis lagi (2) perubahan terhadap sistem pendidikan telah berlaku akibat daripada kesedaran yang bangkit selepas ucap tama J.P Guildford sebagai Presiden Psikologi Amerika Syarikat yang mengkritik perkembangan budaya penyelidikan dalam sains kognitif yang lebih memberi tumpuan terhadap pemikiran convergent berbanding divergent (Ruggiero, 2001). Selepas ucap tama ini, tumpuan banyak diberikan terhadap kebolehan berfikir kreatif dan sekaligus menjadi suatu disiplin penting dalam psikopendidikan. Nama seperti Edward de Bono (1970an) misalnya telah berjaya meyakinkan sistem pendidikan dunia akan kepentingan kebolehan berfikir kreatif ini dibangunkan dalam sistem pendidikan. Akibatnya, penulis menyatakan negara-negara di dunia seperti Amerika Syarikat, Malta, Kanada, Israel, Britain, Jepun, Singapura dan Malaysia telah memberi perhatian terhadap kemahiran berfikir kreatif dalam sukatan pelajaran di negara masing-masing. Penulis juga memetik pendapat de Bono (2000) iaitu;
            “The education system in every country is a disgrace. Where are the schools that teach constructive thinking – the most important of all human skills? Where are the school that teach ‘peracy’ pr the skills of doing? Where are the school that teach how value is really created in society, by business, by government, etc.? Education is driven by ‘continuity’ and not by any regard for the needs of individuals or the needs of society”.
            Penulis juga memberikan senarai panjang para sarjana dan ilmuan yang telah menjalankan pelbagai penyelidikan, pemerhatian, perbincangan intelektual, dan menghasilkan penerbitan berkaitan dengan kreativiti yang boleh dijadikan rujukan, penting kepada pengkaji dan pengamat kreativiti. Banyak juga teori dan pendekatan daripada sarjana dan ilmuan ini telah menjadi rujukan bagi pembangunan kurikulum bersepadu yang melibatkan keupayaan dan kebolehan berfikir dalam kalangan pelajar dalam pelbagai peringkat pendidikan (Mohd Azhar, 2003).
3.1       PENILAIAN
            3.1.1    TEMA
            Penulis telah memilih tema pendidikan dan pemikiran sebagai fokus utama penulisan beliau pada kali ini. Ini bertepatan dengan sasaran utama penulisan beliau iaitu kepada Kementerian Pelajaran Malaysia agar menerima kemahiran kreativiti, invensyen dan inovasi sebagai suatu mata pelajaran di peringkat sekolah menengah.
3.1.2    CIRI-CIRI
            Penulisan penulis ini lebih bercirikan kertas cadangan namun dipersembahkan dengan mewujudkan ciri-ciri kajian dan dapatan. Bagi pengkaji penulis memilih penulisan bercirikan kajian dan hasil dapatan adalah bagi menguatkan lagi hujah agar boleh menyakinkan pembaca menerima pendapat beliau.
            3.1.3    KAITAN TEORI, PENDAPAT DAN AMALAN
            Penulis telah berjaya memberikan banyak pendapat daripada para sarjana dan ilmuan tentang kesedaran pemikiran kreatif. Melalui pendapat dan amalan yang wujud ini penulis cuba meyakinkan pentingnya pemikiran kreatif dibangunkan dalam sistem pendidikan di Malaysia. Penulis banyak menggunakan pendapat ilmuan Levitt (2003) terhadap kerugian yang ditanggung sekiranya sesebuah negara itu lewat mengubah sistem pendidikan mereka daripada mementingkan kebolehan berfikir per se kepada penekanan terhadap kebolehan rekacipta dan eksperimantasi. Melalui pendapat Levitt (2003) lagi menyatakan “ideas are useless used. The proof of their value is their implementation. Until then they are in limbo” membuktikan pentingnya mengaplikasikan idea atau pemikiran yang ada itu. Sekali lagi penulis menggunakan pendapat Levitt (2002) bila beliau menekankan bahawa kebolehan berfikir itu hanya mampu menerbitkan individu atau masyarakat yang memiliki kebolehan berfikir secara konseptual, tetapi tidak mampu melahirkan individu dan masyarakat yang memiliki kebolehan inventif dan inovasi. Pendapat Levitt (2002) itu yang berbunyi;
                                    “…creativity as it’s commonly defined-the ability to come up with brilliantly novel ideas – can actually be destructive to businesses. By failing to take into account practical matters of implementation, big thinkers can inspire organizationl cultures dedicated to abstract chatter rather than purposeful action. In such cultures, innovation never happens-because people are always talking about it but never doing it”.
                        Selain daripada pendapat ilmuan barat, penulis juga melihat kepada amalan dan usaha yang dilakukan oleh Perdana Menteri-Perdana Menteri Malaysia walaupun bersilih ganti namun melalui setiap dasar kerajaan yang diperkenalkan merupakan usaha kerajaan membangunkan masyarakat Malaysia berbilang bangsa yang dibentuk secara kreatif untuk membentuk suatu negara bangsa yang bermaruah, berdaulat dan memiliki identity yang unik iaitu bersifat ‘The Truly Asia’. Hasrat Perdana Menteri Malaysia yang keempat yang ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang 2020 juga dijadikan sokongan oleh penulis bagi membuktikan perlunya masyarakat Malaysia yang mempunyai kreativiti, invensyen dan inovasi yang tinggi seperti petikan ucapan Perdana Menteri yang keempat (1991) ini berbunyi;
                        “…amatlah jelas bahawa sumber yang paling utama bagi sesebuah negara adalah bakat, kemahiran, daya cipta dan daya usaha rakyatnya. Tenaga otak kita adalah sumber yang jauh lebih berharga daripada sumber-sumber alam. Rakyat adalah sumber kita yang utama. Tanpa ragu-ragu lagi, pada tahun 1990-an dan seterusnya, Malaysia mestilah memberikan perhatian yang sepenuhnya terhadap pembangunan sumber yang amat penting ini”.
            Penulis juga telah membawa pembaca melihat kepada nama-nama besar rakyat Malaysia yang berjaya sehingga ke peringkat dunia seperti P. Ramlee (seniman), Lat (kartunis), Hijjaz Kasturi (senibina), Ananda Krishnan (usahawan/koporat), Prof. Awang Had Salleh, Prof. Naquib al-Attas, Prof. Ungku Aziz, Prof. Khoo Kay Kim (para sarjana), Mokhtar Dahari (sukan), Chef Wan (tukang masak), Jimmy Khoo (pereka kasut), Bill Keith (pereka fesyen) dan banyak lagi nama-nama yang telah menjadi idola ramai peminat mereka. Bagi penulis,  bukti nyata bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang kreatif adalah apabila ia memiliki sumber daya manusia yang kreatif dan inovasi.
            Penulis juga membawa pembaca melihat kepada amalan organisasi kreatif yang dimiliki Malaysia yang setaraf dengan organisasi lain di dunia dan telah menawarkan kepakaran dan perkhidmatan di seluruh dunia seperti India, Pakistan, Iran, Afrika Selatan dan sebagainya. Antara organisasi yang dimaksudkan ialah Telekom Malaysia, Tenaga Nasional, MAS dan sebagainya. Di samping itu juga penulis melihat perubahan dunia dalam era ICT dan globalisasi akan mempergiatkan dan menggalakkan lagi pemikiran kreatif berkembang dengan cepat tanpa sempadan. Ini membuatkan penulis mengambil pendapat Anne (1998) sebagai suatu yang perlu diberi perhatian;
            “For success in this new era creativity is the key. With more and more of the routine tasks taken over by machines, human contributions to the new age will need focus on finding new directions, new ideas, ways of being that had not been thought of before”.
            Akhirnya, penulis membawa pembaca melihat pendapat dunia terhadap Malaysia yang kini telah jauh membangun dari segi fizikal, emosional dan patriotisme. Mempunyai visi dan misi dalam memacu negara menjadi sebuah negara maju. Ekonomi Kini Malaysia telah berkembang dan ini telah merubah beberapa kedudukan Malaysia dalam senarai daya saing global. Namun sekali lagi penulis memetik pendapat kali ini yang dibawa Matthew (1997) yang berbunyi;
            “The competition is fierce. In the wild market economy of today it is creasingly difficulty to differentiate yourself. Most of what your business does could be bought from someone else. There is only one way out. Do something that would has not seen before. Innovate so that you are, for a moment, uniquely competitive”. 
            3.1.4    KANDUNGAN
            Secara keseluruhan kandungan penulisan ini adalah mengenai keperluan Malaysia membangunkan kemahiran kreativiti, invensyen dan inovasi kepada masyarakat Malaysia. Penulis juga telah memberikan hujjah-hujjah dengan melihat kepada impak yang diperoleh sekiranya mengamalkan kemahiran tersebut. Hujjah-hujjah penulis juga disokong dengan member pendapat dan amalan yang telah dilakukan dan siri kejayaan sebagai keperluan kepada pembangunan kemahiran kreativiti, invensyen dan inovasi ini. Pelbagai rasional yang dikemukakan oleh penulis tentang kebaikan, peluang dan kejayaan yang berasaskan kepada pemikiran kreatif adalah semata-mata dibuat oleh penulis untuk menguatkan hujjah beliau supaya cadangan penulis untuk menjadikan kemahiran kreativiti, invensyen dan inovasi sebagai mata pelajaran di sekolah menengah diterima oleh pihak kementerian.
            3.1.5    FAKTA UTAMA
            Fakta utama yang dikemukakan oleh penulis ialah mengenai keperluan kemahiran kreativiti, invensyen dan inovasi yang sangat perlu dibangunkan memandangkan melalui kemahiran ini penulis telah membuktikan siri-siri kejayaan baik yang bersifat individu berjaya, organisasi yang berjaya dan negara yang berjaya semuanya melalui kemahiran kreativiti, invensyen dan inovasi yang dibangunkan samada oleh diri sendiri mahupun kesedaran luar. Dari fakta utama inilah penulis cuba menyakinkan kumpulan sasarnya tentang keperluan membangunkan kemahiran kreativiti, invensyen dan inovasi sebagai mata pelajaran di peringkat sekolah menengah lengkap dengan cadangan kumpulan sasaran mata pelajaran, objektif mata pelajaran dan isi kandungan yang perlu diajar.
            3.1.6    GAYA PENULISAN
            Gaya penulisan penulis ini lebih kepada memberi hujjah, pendapat dan bukti serta sokongan daripada para sarjana, ilmuan, ahli politik tidak kira dari luar atau dalam negara. Namun begitu penulis menggunakan bahasa yang terus dan mudah difahami tentang massage yang cuba dibawa dalam penulisannya ini. Melalui sokongan dan bukti kejayaan yang dikemukakan juga, penulis difikirkan berjaya meyakinkan pembaca tentang keperluan kepada kemahiran kreativiti, invensyen dan inovasi dalam membangunkan modal insane masa kini.
            3.1.7    KREDIBILITI KANDUNGAN
            Bagi pendapat pengkaji, terdapat kredibiliti yang tinggi terhadap kandungan penulisan penulis. Ini kerana setiap hujjah penulis disertakan dengan sokongan pendapat para ilmuan, bukti-bukti amalan dan siri-siri kejayaan yang meyakinkan. Bagi pengkaji penulis Berjaya menyakinkan pembaca dengan kredibiliti kandungan yang dikemukakan ini.
            3.1.8    KEKUATAN DAN KELEMAHAN
            Penulisan jurnal ini mempunyai banyak kekuatan memandangkan penulis berpegang kepada fakta dan pendapat-pendapat ahli sarjana dan pakar dalam menguatkan hujah yang diberikan. Penulis ini juga, berjaya membawakan kesedaran kepada pembaca tentang perkembangan dan impak terhadap kemahiran berfikir kreatif dalam sistem pendidikan di Malaysia dari dahulu sehingga sekarang. Dari penulisan ini juga penulis berjaya menyedarkan pembaca tentang kepentingan pembangunan kemahiran kreativiti, invensyen dan inovasi kepada masyarakat Malaysia supaya mereka menjadi masyarakat yang lebih kreatif dan mampu membuat invensyen dan mencipta inovasi dalam kehidupan mereka.
3.2       REFLEKSI
3.2.1    KEKUATAN DAN KELEMAHAN
Melalui penulisan ini pengkaji menyedari keperluan penting bagi membangunkan kemahiran kreativiti kepada setiap modal insan yang berada di sekolah khususnya. Ini kerana pelajar di sekolahlah yang akan membesar menjadi masyarakat yang akan membangunkan negara pada masa akan datang dengan invensyen dan inovasi yang boleh mereka hasilkan. Namun demikian, menyedari Malaysia yang agak ketinggalan dalam bidang invensyen dan inovasi ini adalah kerana kurangnya masyarakat Malaysia di dedahkan kepada pemikiran kreatif. Melalui pendidikanlah satu-satunya cara yang paling berkesan untuk menggalakkan pemikiran kreativiti, invensyen dan inovasi ini boleh dibangunkan.
            Menyedari, selama ini walaupun sistem pendidikan telah memperkenalkan kemahiran berfikir kritif dan kritis (KBKK) di sekolah dan Pusat Perkembangan Kurikulum juga telah mencadangankan penyebatian pemikiran ini dalam hampir semua mata pelajaran, namun ia sebenarnya gagal dilaksanakan. Keperluan menjana pemikiran dan budaya kreativiti, invensyen dan inovasi ini hendaklah lebih bersifat praktikal dan berorentasikan kepada pelajar agar mereka boleh membudayakan kemahiran ini dalam kehidupan seharian mereka.
            Di samping itu juga, kesedaran sahaja terhadap keperluan menguasai kemahiran kreativiti, invensyen dan inovasi ini tidak mencukupi jika tidak diikuti dengan persekitaran yang kondusif bagi menggalakkan kreativiti, invensyen dan inovasi dari terus berkembang. Menyedari akan hal ini, maka kini pelbagai pusat kemahiran telah diwujudkan bagi menggalakkan pemikiran kreatif dibangunkan. Dengan pemikiran kreatif akan menggalakkan invensyen dan inovasi baru yang boleh dibangunkan.
            Pemikiran kreatif yang mampu menjana invensyen dan inovasi baru mampu menjadikan masyarakat Malaysia berdaya saing bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga di persada antarabangsa. Selain itu, masyarakat Malaysia yang mempunyai kreativiti yang tinggi juga mampu membuat invensyen dan inovasi dalam pelbagai bidang di luar jangkauan kotak pemikiran biasa. Individu yang begini mampu membawa nama Malaysia terkenal sehingga ke persada dunia.
            Namun demikian, di samping membangunkan kemahiran berfikir secara kreatif ini kepada pelajar khususnya, para pendidik perlu ingat untuk menanamkan juga nilai murni yang tinggi ke dalam setiap anak didiknya. Ini kerana, tidak dinafikan melalui pemikiran kreatif ini pelbagai invensyen dan inovasi dapat diwujudkan baik bersifat baik atau sebaliknya. Melalui pertimbangan wajar tentang nilai dan kemuliaan hati yang disemai sejak kecil sahaja yang mampu menjadi panduan kepada mereka untuk berkreatif, berinvensyen dan berinovasi ke jalan yang sepatutnya.
            Pengkaji sangat sedar tentang pembudayaan pemikiran kreatif akan wujud dengan adanya sokongan daripada semua pihak. Pemikiran yang kreatif juga akan menjana kepada invensyen dan inovasi yang boleh mendatangkan impak positif atau negative mengikut cara dan gaya berfikir penjananya. Apa yang lebih penting di sini adalah keperluan membina jati diri yang kuat bagi setiap pelajar supaya invensyen dan inovasi yang dijanakan akan hanya membawa kepada impak positif dan membantu perkembangan ekonomi, politik, sosial dan teknologi negara menjelang Malaysia ke arah sebuah negara maju seperti yang diaspirasikan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia dalam Wawasan 2020.

3.2.2    CADANGAN PENAMBAHBAIKAN
Selain daripada mencadangkan mata pelajaran kreativiti, invensyen dan inovasi diperkenalkan di peringkat sekolah menengah dalam sistem pendidikan di Malaysia, pengkaji mencadangkan agar mata pelajaran ini diadakan lebih awal, seawall di peringkat prasekolah. Ini kerana, bagi pendapat pengkaji di peringkat awal kanak-kanaklah lebih mudah membentuk pemikiran kreatif berbanding setelah meningkat dewasa. Pendapat ini sesuai dengan pepatah Melayu yang menyatakan “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.
            Selain daripada itu, dicadangkan juga pihak kementerian boleh mewujudkan sistem sekolah berfokuskan kemahiran dan minat pelajar di peringkat awal usia pelajar. Ini supaya pelajar yang berkecenderungan boleh dibentuk dengan lebih mudah dan secara rela hati dalam menjana kreativiti, invensyen dan inovasi mereka. Penekanan kepada pembelajaran yang berfokuskan intelekual perlulah diseimbangkan dengan kemahiran secara hand on yang lebih diminati oleh pelajar terutama di peringkat rendah. Ini semua bagi mengelakkan minat pelajar terbantut dan tanpa disedari membunuh kreativiti mereka akibat daripada penekanan terhadap peperiksaan yang melampau. Akhirnya pelajar akan tercicir, menjadi masyarakat yang tidak kreatif dan tidak mampu berinvensyen dan berinovasi terhadap persekitaran mereka. Sudah pasti keadaan ini akan hanya merugikan diri mereka sendiri dan negara.
4.0          KESIMPULAN
Secara keseluruhannya dapatlah disimpulkan bahawa, penulisan jurnal ini dapat menyedarkan pembaca tentang keperluan dan kepentingan pemikiran kreatif dalam menjana invensyen dan inovasi. Melalui invensyen dan inovasi yang dibuat pula akan dapat menjana suatu produk baru yang boleh dibanggakan bukan sahaja oleh individu itu sendiri tetapi juga boleh dijana sebagai suatu pendapatan yang boleh mengubah ekonomi individu dan negara. Cadangan menjadikan kreativiti, invensyen dan inovasi sebagai suatu mata pelajaran dilihat oleh pembaca sebagai berada pada masa yang sesuai dan ditunggu-tunggu oleh semua.


BIBLIOGRAFI
Ainon Mohd. dan Abdullah Hassan (2003). Belajar berfikir. Selangor: PTS Publications & Distributor Sdn. Bhd.
Jamal @ Nordin Yunus, Khuan Wai Bing, Marinah Awang, Suzyanty Mohd Shokory dan Zuraidah Zainol (2009). Modul pemikiran kritis dan kreatif. Selangor: Penerbitan Seri Kota.
John Arul Phillips (1997), Pengajaran kemahiran berfikir; Teori dan amalan. Selangor: Utusan Publications & Distributor Sdn. Bhd.
Khuan Wai Bing & Omar Abdull Kareem (2005). Pemikiran & kreativiti; Aplikasi dalam latihan dan pembangunan. Selangor: Aras Mega (M) Sdn. Bhd.
Mohd. Azhar Abd. Hamid, Sanitah Mohd. Yusuf, Esa Khalid dan Othman A. Kassim (2003). Kreativiti, invensyen dan inovasi: Suatu cadangan matapelajaran pada peringkat sekolah menengah. http://www.scribd.com/doc/9530697/Jurnal-Kreativiti-Invensyen-Inovasi. Diakses pada 22 Januari 2010(Jumaat)