Popular Posts

Friday 25 March 2011

PEMBELAJARAN KOPERATIF (ULASAN JURNAL) by Laily


1.0  PENGENALAN
Tenaga kerja yang berasaskan pendidikan sains dan matematik diperlukan bagi menyahut cabaran kepada penubuhan sebuah negara maju seperti yang dinyatakan dalam Wawasan 2020. Sebab itu, seseorang yang cekap dalam matematik boleh meningkatkan peluang dan pilihan bagi menentukan masa depan mereka (National Council for Teachers of Mathematics, 2000). Bagi menyediakan pelajar yang berilmu, berketrampilan dan mempunyai kualiti diri (Bahagian Matrikulasi,2002) pendidikan matematik mestilah berupaya mendidik pelajar memperkembangkan pemikiran mantik, analisis, sistematik dan kritis, kemahiran penyelesaian masalah dan berkebolehan menggunakan ilmu pengetahuan matematik (Effandi & Abd Razak, 2006). Bagi tujuan ini, strategi dan teknik pengajaran perlu berubah daripada berorientasikan guru kepada berpusatkan pelajar. Sebab itu, pembelajaran koperatif dicadangkan bagi tujuan penglibatan maksimum pelajar semasa proses P&P dan guru hanya bertindak sebagai fasilitator kepada pelajar. 
2.0  ULASAN JURNAL
Menurut pengkaji terdapat banyak dapatan kajian yang menunjukkan penggunaan kaedah pembelajaran koperatif boleh menyumbang kepada peningkatan kognitif dan afektif pelajar (Ahmadi,2000; Austin el. al., 1997; Nichols & Miller,1994; Whicker et. Al., 1997; Potchast, 1999; Faizah, 1999; Lee, 1999; Leikin & Zaslavsky, 1997; Meriam, 1997; Sazali, 1996; Salvin, 1995; Yee, 1995). Bukan itu sahaja, malah menurut Johnson & Johnson (1986) kumpulan yang bekerjasama dapat meningkatkan pemikiran peringkat tinggi dan dapat menyimpan maklumat lebih lama daripada pelajar yang membuat kerja berseorangan. Bagi Davidson (1985) pula pembelajaran dalam kumpulan dapat mempertingkatkan sikap pelajar terhadap matematik disebabkan pelajar mendapat bantuan daripada rakan yang lain. Seterusnya, pembelajaran koperatif juga berupaya membantu pelajar kolej mengatasi sikap negatif terhadap matematik (Higbee & Thomas, 1999). Pembelajaran koperatif juga memberi peluang kepada pelajar untuk mendekati sesuatu masalah dengan pelbagai cara. Jika pelajar bekerjasama dan berkongsi pendapat, membentuk penjelasan dan memberi makna kepada idea seseorang, mereka akan lebih yakin bahawa masalah boleh diselesaikan dengan pelbagai cara (Barb & Quinn, 1997). Menurut Barb & Quinn, 1997 lagi, hasil kajian mendapati kelas-kelas yang memberi peluang kepada perbincangan tentang pelbagai cara untuk menyelesaikan sesuatu masalah, mempunyai pelajar yang berpencapaian tinggi. Ini menunjukkan bahawa apabila pelajar terlibat secara langsung dengan proses pembelajaran, maka pembelajaran itu lebih bermakna kepada mereka.
            Tujuan kajian adalah bagi menentukan perbezaan pencapaian, kemahiran menyelesaikan masalah, kesedaran metakognitif, sikap terhadap matematik dan sikap terhadap penyelesaian masalah antara kumpulan koperatif dan kumpulan tradisional berdasarkan ujian pos. Kajian menggunakan reka bentuk eksperimen kuasi kumpulan kawalan tidak serupa dengan sampel kajian terdiri daripada 70 orang pelajar dari sebuah Kolej Matrikulasi. Di mana dua buah kelas menjadi kelas kawalan dan dua buah kelas lagi menjadi kelas rawatan. Lima alat kajian digunakan iaitu ujian pencapaian matematik, ujian penyelesaian masalah matematik, soal selidik kesedaran metakognitif, soalselidik sikap terhadap matematik dan soal selidik sikap terhadap penyelesaian masalah. Pelaksanaan kajian bagi kumpulan rawatan menggunakan kaedah pengajaran dalam kumpulan dan kumpulan kawalan menggunakan kaedah pengajaran secara tradisional.
Melalui dapatan kajian kesimpulan berikut telah dibuat iaitu bagi pencapaian matematik terdapat perbezaan yang signifikan antara kumpulan koperatif dan kumpulan tradisional yang menunjukkan kesan rawatan yang bermakna yakni selari dan menyokong dapatan kajian sebelumnya. Salah satu faktor yang mungkin member kesan positif dalam kajian ini adalah sistem ganjaran yang digunakan bagi kumpulan kecil yang berjaya. Sistem ganjaran diberi dalam bentuk individu dalam kumpulan koperatif berbanding mengikut kumpulan dalam kumpulan tradisional. Secara tidak langsung ia dapat membina akauntabiliti dan kerjasama kumpulan dalam diri pelajar.
      Bagi kemahiran penyelesaian masalah juga menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan antara kumpulan koperatif dan kumpulan tradisional yang juga menunjukkan kesan rawatan yang diberikan juga bermakna dan selari dan menyokong dapatan kajian terdahulu. Faktor yang membawa kejayaan kepada kumpulan koperatif boleh dikaitkan dengan teori Vygotsky tentang zon perkembangan proksimal (Vygotsky, 1978) yang menyatakan kolaborasi seseorang pelajar dengan rakan sebaya yang lebih berkeupayaan membolehkannya menyelesaikan masalah yang susah dan kompleks. Pembelajaran koperatif dapat membantu seseorang menjadi penyelesai masalah yang baik kerana melalui perbincangan seseorang itu akan mendapat pelbagai perspektif dalam penyelesaian masalah.
      Bagi kesedaran metakognitif dapatannya adalah bertentangan dengan dapatan terdahulu dan begitu juga dengan sikap terhadap matematik dapatannya adalah bertentangan. Manakala bagi sikap terhadap penyelesaian masalah pula menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara kumpulan koperatif dan kumpulan tradisional juga menunjukkan dapatan yang selari dengan dapatan kajian sebelumnya.    

No comments:

Post a Comment