Popular Posts

Saturday 26 March 2011

Huraikan faktor-faktor yang mempengaruhi sikap murid terhadap matematik

by Laily           
            Secara bahasa, Oxford Advanced Learner Dictionary (Hornby, 1974) mencantumkan bahawa sikap (attitude), berasal dari bahasa Italia attitudine iaitu “Manner of placing or holding the body, dan Way of feeling, thinking or behaving”. Sikap adalah cara menempatkan atau membawa diri, atau cara merasakan, jalan fikiran, dan perilaku. Free online dictionary (www.thefreedictionary.com) mencantumkan sikap sebagai a complex mental state involving beliefs and feelings and values and dispositions to act in certain ways. Sikap adalah kondisi mental yang kompleks yang melibatkan keyakinan dan perasaan, serta diposisi untuk bertindak dengan cara tertentu. Menurut Katz (1966), sikap adalah sesuatu yang mempengaruhi seseorang individu di dalam memberi nilai terhadap simbol objek atau apa yang disukai atau tidak. Seterusnya sikap adalah sesuatu yang terhasil dari perasaan, kepercayaan atau pemikiran seseorang terhadap objek psikologi. Sebab itu sikap memain peranan yang penting kepada setiap pelajar untuk mencapai kejayaan di dalam sesuatu perkara termasuklah matematik.

Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi sikap seseorang pelajar terhadap matematik. Antara faktor-faktor yang mempengaruhi sikap pelajar terhadap matematik termasuklah suasana pembelajaran matematik yang dilalui oleh pelajar itu sendiri. Jika suasana pembelajaran pelajar seronok dan dapat menarik minat mereka maka pelajar akan membentuk sikap positif terhadap matematik. Tetapi sebaliknya, sekiranya suasana pembelajaran matematik itu sendiri sudah sangat membosankan pelajar dan tidak dapat menarik minat mereka untuk terus belajar matematik maka sikap negatif secara tidak langsung akan terbentuk dalam diri mereka.
Guru perlu bertanggungjawab bagi memastikan suasana pembelajaran yang dialami pelajar adalah seronok atau sebaliknya. Pemilihan aktiviti, pendekatan, teknik atau kaedah sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berjalan merupakan faktor utama yang perlu difikirkan bagi menarik minat pelajar terhadap matematik. Secara tidak langsung, dari minat yang ada pada pelajar akan membentuk sikap positif pelajar terhadap matematik. Kepelbagaian dalam aktiviti semasa proses P&P berjalan juga mampu mengekalkan minat serta sikap positif pelajar terhadap matematik.
Sikap guru yang selesa dengan satu kaedah, teknik, pendekatan dan aktiviti dalam pengajaran mampu menimbulkan kebosanan pelajar terhadap matematik. Kegagalan guru menarik minat pelajar ini akan meninggalkan kesan negatif pelajar terhadap matematik seterusnya membentuk sikap yang negatif juga terhadap matematik. Guru juga perlu sedar tanggapan awal pelajar terhadap matematik sangat penting bagi menentukan sikap mereka terhadap matematik. Sekiranya guru berjaya menarik minat pelajar serta menyedarkan pelajar bahawa matematik itu menyeronokkan bermakna guru juga telah berjaya membentuk sikap positif pelajar terhadap matematik.
Selain itu, pihak sekolah melalui sesi motivasi dan guru semasa sesi pembelajaran mesti sentiasa memberi kesedaran kepada pelajar tentang kepentingan matematik ini dipelajari kerana ia adalah melibatkan kemahiran dalam kehidupan seharian pelajar. Belajar matematik sebenarnya adalah keperluan kerana ia melibatkan masalah seharianan. Kesedaran pelajar tentang kepentingan matematik untuk digunakan dalam kehidupan seharian mereka mampu membentuk kesan positif dalam diri mereka terhadap matematik.
Galakan daripada ibu bapa, keluarga terdekat, guru-guru serta rakan sebaya juga mampu mempengaruhi sikap pelajar terhadap matematik. Sekiranya ibu bapa, keluarga terdekat, guru-guru dan rakan sebaya sentiasa bersikap positif terhadap matematik di samping kerap memberi galakan serta sentiasa mengingatkan pelajar tentang kepentingan matematik maka sudah pasti pelajar juga turut mempunyai sikap yang positif terhadap matematik. Namun sebaliknya, sekiranya ibu bapa, keluarga terdekat, guru-guru serta rakan sebaya sendiri mempunyai sikap negatif atau fobia terhadap matematik ia akan turut sama mempengaruhi sikap pelajar terhadap matematik. Sebab itu galakan serta sikap positif semua pihak juga mampu membantu pelajar dalam pembentukan sikap terhadap matematik.
Namun begitu tidak dinafikan juga ada dalam kalangan pelajar yang mempunyai rasa kebimbangan yang tinggi terhadap matematik. Bimbang matematik sukar, tidak dapat menyelesaikan masalah matematik dan sebagai. Rasa kebimbangan terhadap kesukaran dalam matematik akan mempengaruhi sikap pelajar terhadap matematik. Sekiranya kebimbangan tidak ditangani dengan sebaik mungkin lama kelamaan dikhuatiri ia akan bertukar menjadi negatif terhadap matematik. Masalah kebimbangan pelajar perlu diatasi dan dikenalpasti melalui siri motivasi dan pemilihan aktiviti yang bersesuaian semasa P&P. Pengalaman dan galakan daripada guru-guru, ibu bapa serta rakan sebaya akan menimbulkan keyakinan diri yang tinggi dalam diri pelajar dan mengikis rasa kebimbangan yang ada seterusnya mampu membentuk sikap positif pelajar terhadap matematik.
Sikap guru yang sentiasa bersedia membantu pelajar, tidak memandang rendah terhadap kemampuan pelajar serta sentiasa memberi galakan terhadap usaha dan minat pelajar juga akan membantu pelajar minat dan bersikap positif terhadap matematik. Seorang guru yang bersikap positif terhadap pelajarnya akan sentiasa mencari jalan terbaik untuk membantu pelajar yang berpersepsi negatif terhadap matematik dengan mengajak pelajar melihat matematik dari perspektif yang berbeza dengan menggunakan segala kemahiran pendekatan matematik dan kepakaran psikologi yang ada pada diri guru tersebut. Guru yang mampu menarik minat pelajar dan menyedarkan pelajar tentang keseronokan yang terdapat dalam matematik dianggap berjaya membentuk sikap positif pelajar terhadap matematik di samping mampu membentuk keyakinan yang tinggi dalam diri pelajar terhadap matematik.
Sikap ketekunan pelajar juga tidak dinafikan mampu mempengaruhi pelajar dalam matematik. Sekiranya pelajar tidak cukup tekun, sabar dan fokus dalam menyelesaikan masalah matematik sudah pasti pelajar akan merasa cepat bosan terhadap matematik. Kebosanan ini jika wujud akan membentuk sikap negatif pelajar terhadap matematik. Sebab itu pentingnya galakan dan motivasi diberikan oleh guru dan ibu bapa bagi membantu pelajar membentuk ketekunan yang tinggi dalam diri mereka.
Daripada perbincangan di atas jelas menunjukkan pembentukan sikap pelajar terhadap matematik boleh diubah sekiranya kita sedar akan punca yang mempengaruhi sikap negatif pelajar terhadap matematik. Apa yang lebih penting sebelum mengharapkan pelajar bersikap positif terhadap matematik guru sebagai medium pengubah utama pelajar perlulah terlebih dahulu positif terhadap pelajar dan matematik itu sendiri.

No comments:

Post a Comment