Popular Posts

Monday, 28 March 2011

PEMBELAJARAN KONTEKSTUAL DALAM MATEMATIK SEKOLAH RENDAH.

by Wana
1.0                   PENGENALAN
Proses pengajaran dan pembelajaran merupakan sesuatu proses yang sangat dititikberatkan dalam pendidikan. Proses pengajaran dan pembelajaran matematik sekolah rendah menggalakkan kepelbagaian kaedah mengajar. Guru boleh memilih pendekatan dan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan kebolehan murid. Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran bergantung pada pengolahan teknik dan penggunaan bahan bantu belajar serta teknologi yang dapat merangsang dan menggalakkan murid berfikir secara kritis dan kreatif, inovatif, berkomunikasi, dan berinteraksi.

Pembelajaran secara kontekstual merupakan alternatif bagi meningkatkan minat pelajar untuk di dalam mata pelajaran matematik. Pembelajaran kontekstual ialah pembelajaran yang menggabungkan isi kandungan dengan pengalaman harian individu, masyarakat dan alam pekerjaan. Kaedah ini menyediakan pembelajaran secara konkrit yang melibatkan aktiviti hands-on dan minds-on.

2.0                   DEFINISI PEMBELAJARAN KONTEKSTUAL
Menurut Hull (1997), tujuan pembelajaran secara kontekstual ialah untuk membina asas yang kukuh dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, selain menggalakkan pelajar meminati mata pelajaran tersebut dan sekaligus mempertingkatkan prestasi keputusan peperiksaan mata pelajaran berkenaan di sekolah-sekolah rendah. Kumpulan sasaran utama bagi konsep pendekatan pembelajaran secara kontekstual ini ialah pelajar-pelajar yang mempunyai pencapaian sederhana.

2.1       Konsep Pembelajaran Konstekstual di dalam mata pelajaran  matematik
Konsep pendekatan pembelajaran secara kontekstual dalam pembelajaran matematik  bermakna ianya haruslah berdasarkan konteks kegiatan dan kejadian harian. Oleh itu, konsep matematik perlu dikaitkan dengan kehidupan harian pelajar secara eksplisit. Pembelajaran matematik yang dijalankan secara kontekstual dapat menggalakkan pelajar mengaplikasikan  konsep serta formula tertentu matematik  secara  bermakna di dalam aktiviti harian mereka. Oleh itu, pendekatan pembelajaran kontekstual membolehkan pelajar menghayati kerelevanan pembelajaran Matematik dengan kehidupannya sendiri.

 Mengikut teori Pembelajaran Kontekstual, pembelajaran hanya akan berlaku apabila pelajar memperoleh pengetahuan baharu yang bermakna kepada mereka. Oleh itu, proses pembelajaran akan berlaku lebih cepat apabila minda pelajar melihat perkaitan yang bermakna dan kelihatan berguna terhadap apa yang dipelajari. Pembelajaran Kontekstual adalah pembelajaran yang dikaitkan dengan kehidupan harian murid-murid. Pelajar belajar secara menyiasat dan kaitan antara bahan yang diajar dengan pengalaman kehidupan seharian dizahirkan. Murid tidak belajar secara teori sahaja tetapi dapat menghayati relevennya apa yang dipelajari dengan kehidupan mereka.

Pembelajaran Kontekstual (PK)  berlaku dalam lima konteks, seperti berikut:-
        i.            Relating (menghubungkait) Belajar secara konteks dengan pengalaman hidup.
Contohnya: Murid melakukan aktiviti mengutip sampah di sekitar sekolah untuk menanam sikap cintakan kebersihan. Menerusi pengalaman ini murid dapat mengaitkan aktiviti yang dilakukan oleh ibu bapa mereka semasa membersihkan kawasan tempat tinggal mereka setiap hari
      ii.            Experiencing (mengalami) Belajar secara konteks melalui penerokaan, penemuan dan merekacipta.
Contohnya: Murid dibawa ke bilik matematik untuk menyaksikan demontrasi serta membuat latihan amali isi padu dan ruang. Pengalaman ini boleh digunakan di rumah apabila pelajar ingin membantu ibu mengemas peralatan dapur yang ingin disimpan ke dalam kabinet.
    iii.            Applying (menggunakan) Belajar secara konteks bagimana pengetahuan atau maklumat sedia ada boleh diguna untuk masa depan.
Contohnya: Murid mempelajari teori dan konsep tuas. Mereka dapat mengaplikasikan pengetahuan ini apabila bertemu situasi sebuah kereta yang tayarnya pancit tidak mempunyai jek. Dengan mengamalkan pengetahuan yang ada, murid boleh menggunakan konsep tuas untuk menggantikan jek kereta bagi membolehkan penukaran tayar
    iv.            Cooperating (berkerjasama) Belajar secara konteks perkongsian, memberi respons dan berkomunikasi.
Contohnya: Murid ditugaskan secara berkumpulan untuk menyelesaikan masalah  menerusi satu aktiviti yang memerlukan mereka berbincang dan bekerjasama dengan ahli kumpulan masing-masing . Hasil yang diperolehi adalah lebih baik disebabkan mereka menyelesaikan masalah secara bekerjasama.
      v.            Transfering (memindahkan) Belajar secara konteks dengan membina dan menggunakan pengetahuan sedia ada dalam diri pelajar.
Contohnya:
Murid mempelajari cara untuk mendapatkan sudut tegak dengan menggunakan Teorem Pythagoras. Murid boleh memindahkan pengetahuan segitiga bersisi 3m, 4m dan 5m untuk menghasilkan sudut tegak dalam aktiviti mengecat garisan gelanggang permainan.

Kelima-lima konteks ini boleh di acronim menjadi REACT. Untuk memudahkan amalan dalam kelas kita tumpukan P&P kita kepada perkara yang berkait dengan Hands On dan juga kaitan dengan kehidupan harian.

3.0       Kebaikan Kaedah Pembelajaran Konstektual
Jika proses pembelajaran hanya berpusatkan guru yang berterusan akan memberi implikasi negative kepada para pelajar. Implikasi tersebut ialah pelajar-pelajar tidak dapat berfikir secara kritikal, tidak kreatif mahupun inovatif dan akhirnya harapan negara untuk melahirkan masyarakat berpengetahuan tidak akan tercapai.

Terdapat beberapa kebaikan penggunaan kaedah Pembelajaran Kontekstual di dalam proses pengajaran dan Pembelajaran terhadap pelajar, guru dan sektor industri. Di antara kebaikan itu ialah;
a.         Kebaikan Pembelajaran Kontekstual terhadap pelajar
            i.          Dapat mengaitkan mata pelajaran dengan pekerjaan atau kehidupan.
            ii.         Dapat mengaitkan kandungan mata pelajaran dengan pengalaman harian.
            iii.        Boleh memindahkan kemahiran.
            iv.        Boleh meneroka dan mendapatkan bukti.
            v.         Boleh menguasai perkara abstrak melalui pengalaman konkrit.
            vi.        Dapat belajar secara bekerjasama.

b.         Kebaikan Pembelajaran Kontekstual terhadap guru
            i.          Dapat menjadikan pengajaran sebagai satu pengalaman yang berjaya
            ii.         Dapat mengaitkan prinsip-prinsip mata pelajaran dengan dunia pekerjaan
            iii.        Dapat menjadi penghubung antara pihak akademik dan vokasional atau industri.

c.         Kebaikan Pembelajaran Kontekstual terhadap sektor industri.
i.          Menerima tenaga kerja yang berpotensi untuk dilatih atau dilatih atau dilatih semula secara berkesan mengikut keperluan.
ii.         Menggerakkan industri ke dalam pendidikan sebagai rakan kongsi

Kesimpulan
Bagi menjayakan pendekatan Pembelajaran Kontekstual , semua pihak perlu bersetuju mengenai apa yang perlu dipelajari dan bersetuju mengenai strategi pembelajarannya. Di samping itu, sokongan daripada organisasi masyarakat diperlukan untuk menjayakan strategi pengajaran dan pembelajaran kontekstual. Sokongan luaran ini akan memberi galakan dan sumber-sumber untuk membantu murid dan guru mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif.
Guru haruslah memahami proses pengajaran dan pembelajaran supaya mereka dapat menghubungkaitkan pembelajaran dengan kehidupan seharian pelajar. Dahulu peranan seorang guru hanyalah sebagai penyampai ilmu pengetahuan kepada pelajar melalui pengajarannya. Tetapi sekarang peranan guru lebih kepada pemudah cara atau fasilitator dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah untuk membantu perkembangan potensi pelajar yang maksimum (Mohd Hanafi Kamal, 2001).

No comments:

Post a Comment